Thursday 25 April 2013

Seteguh Fayqa Bab 21 & 22


Ahhh....after quite a long hiatus, susah juga nak menulis semula.  Bab ini memperkenalkan K.I. lelaki kacak bergaya lagi gentleman.... (ehem ehem kepada seorang penulis tu LOL)


Skrg sudah bab 22, sy rasa SF di blog sehingga bab 27 kut. Lepas itu saya rasa mungkin berbulan-bulan baru SF boleh siap. Memang tak boleh cepatkan sebab kerja di ofis memang menimbun.


Hmmm.... si jeneral akan semakin sengal dalam bab 23 :)


  
Bab 21



Tangan yang menolak pintu kaca terhenti, begitu juga langkah kakinya. Matanya tertancap ke arah lelaki kacak bergaya yang sedang berbual-bual dengan Dzalia di sofa butik.

“Dia lagi!! Hari-hari datang... tak perlu kerjakah? Dasar anak orang kaya! Bapa sakit terlentang pun, dia boleh curi tulang,” cemuh Fayqa dalam hati.

Nafas ditarik dalam-dalam, kaki dihayunkan semula, laju menuju ke arah bilik stok. Malas hendak menegur, biarlah mereka berbual.

“Pekah! Sini!” panggil Dzalia.

Tanpa memandang ke arah bosnya, Fayqa menjawab, “Saya banyak kerja nak setel dalam bilik stoklah, Kak Yaya.”

“Fayqa... sinilah dulu. Abang Iz dah lama tunggu ni,” suara Dzalia semakin lembut, bikin Fayqa malu untuk membantah.

Perlahan-lahan kaki melangkah ke arah sofa, kepalanya berputar-putar, “Abang Iz? Abang? Sejak bila?”

Tiba di sofa, Fayqa hanya diam berdiri. Lelaki kacak itu tidak ditegur.

“Lara sihat?” pembuka kata.

“Sihat,” jawab di mulut, di hati pula, “Hari-hari tanya... macam iya-iyalah kisahkan aku.”

“Dah makan?” lembut pertanyaan.

“Dah,” mulut menjawab, mata merenung rak baju di belakang sofa.

“Abang ingat nak ajak Lara pergi minum,” setiap hari mengajak, tidak jemu-jemu walau pun sudah masuk minggu kedua.

Dan setiap hari ada saja alasan yang diberi, “Saya baru masuk kerja, lagi pun saya kenyang lagi.”

Kasihan melihat pelawaan Khairul Izwan ditolak lagi, Dzalia mula membuat rancangan, “Pekah, hari ni kita balik awal! Ummi masak pengat pisang. Kalau kita lambat balik, habis nanti dibelasah dek Abang dan Yin.”

Hah! Dah bos ajak balik, bodohlah kalau ditolak. Tapi untuk memaniskan mulut, Fayqa bertanya juga, “Butik tutup awal ke Kak Yaya?”

“Tak, Tasha dan Mila ada. Nanti Kak Yaya suruh derang jaga,” jawab Dzalia sambil mengemaskan barang-barangnya.

Tidak sampai tiga minit sudah siap, “Dah, jom balik,” ajak Dzalia.

Baru sahaja Fayqa mahu membuka langkah mengikut bosnya, si bos mempelawa si kacak bergaya, “Jom, Abang Iz. Pengat pisang Ummi is out of this world, okay.

Terbeliak mata Fayqa, anak orang kaya ini nak ikut mereka balik sama?

“Out of this world?” soal Khairul Izwan dalam nada bersenda, “Interesting, lead on!”

Tiba di rumah, Haji Dzulqarnain dan Hajjah Azimah sedang berehat-rehat mengambil angin petang di beranda di sisi rumah. Khairul Izwan si kacak bergaya rupanya juga seorang yang bersopan santun. Tangan tuan rumah disalam dan dicium. Mulutnya manis bertanyakan khabar.

“Alhamdulillah, sihat. Mama dan Papa kamu apa khabar?” Hajjah Azimah berbalas bertanyakan khabar.

“Alhamdulillah. Papa sudah mula buat fisioterapi. Mama macam selalu perlu buat dialisis,” tenang jawapannya walaupun maha hebat dugaan yang melanda keluarganya.

“Banyakkan bersabar, Izwan. Dalam keadaan macam ini, Izwanlah yang menjadi ketua keluarga,” nasihat Haji Dzulqarnain.

“InsyaAllah, Pak Cik,” mulut masih tersenyum walaupun ada pilu di mata.

Diajak minum bersama, Khairul Izwan memohon izin untuk menunaikan solat asar dahulu. Lalu disuruh naik ke tingkat atas, menumpang solat di dalam bilik Dzahim. Dzalia yang juga perlu bersolat menjadi tukang tunjuk bilik.

Fayqa yang sedang “bercuti” meminta diri ke dapur untuk mengambil cawan dan mangkuk. Melangkah semula ke beranda dengan cawan dan mangkuk di atas talam, dilihatnya si sengal sudah duduk tercotok di meja taman bersama ibu bapanya. Mencebik bibir Fayqa, kalau boleh dia memang tidak mahu dekat langsung dengan si sengal itu.

“Fayqa duduklah sekali, rasa pengat Achik ni,” pelawa Hajjah Azimah.

“Kejap Achik, cawan dan mangkuk tak cukup lagi,” alasan Fayqa.

Masuk ke dapur, Fayqa ke pintu belakang. Berdiri di situ, mata dipejam, nafas ditarik dalam-dalam. Sudahlah ada si Khairul Izwan, abang tirinya, ditambah pula dengan si sengal. Bukan aku yang makan pengat, tapi jadi aku yang jadi pengat, keluh Fayqa.

“Ambil cawan dan mangkuk ke, buat cawan dengan mangkuk?”

Fayqa memusingkan badan, si sengal bersandar di jenang pintu dapur sambil berpeluk tubuh. Nafas ditarik dalam-dalam sekali lagi kemudian dilepaskan. Malas hendak menjawab, sebab akan pasti ada serangan balas. Kaki melangkah ke arah kabinet dapur, pintu kabinet dibuka, cawan, piring dan mangkuk diambil. Kemudian Fayqa melangkah ke arah ruang depan.

Melintasi Dzarif, tangan jejaka itu tiba-tiba merintangi jalannya. Terhenti langkah Fayqa, matanya lurus ke hadapan. Sudah masak dengan perangai si sengal, jika dipandang wajahnya, kosong selamba sahaja. Baik jangan dipandang, buat sakit hati.

“Something bothering you?” tanya jeneral.

“Yes, you,” mendatar jawapan Fayqa, tanpa perasaan.

Tangan jeneral jatuh ke bawah. Tanpa ucapan terima kasih Fayqa melangkah. Mata si jeneral mengikut susuk tubuh Fayqa, keningnya berkerut.

Tiba di meja taman di beranda sisi, Khairul Izwan sudah enak bersantai di kerusi empuk. Dzalia menjalankan tugas bagaikan perempuan Melayu terakhir, menuangkan teh panas ke dalam cawan dan mencedok pengat ke dalam mangkuk.

Topik utama perbualan petang itu tentulah hal keluarga Khairul Izwan. Papanya sudah pulang ke rumah selepas hampir tiga minggu di hospital. Sekarang ini pelbagai rawatan yang dijalankan di rumah termasuklah fisioterapi dan urut tradisional. Manakala Mamanya pula sudah lama mengalami penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis. Mama Fayqa pula sudah berpindah dari rumahnya di Kuantan ke Kuala Lumpur untuk menjaga bapa tirinya.

Merah padam wajah Fayqa bila mendengar Khairul Izwan bercerita tentang Mamanya yang sekarang tinggal sebumbung dengan madunya. Walau pun perlu menjaga suami yang sakit tak bolehkah tinggal di rumah yang berasingan? Malu sungguh rasanya. Sedari tadi dia berdiam diri, kini makin terkunci lidahnya. Matanya tertancap ke arah mangkuk pengat di tangan.

“Fayqa tak melawat Uncle di rumah?” tanya Hajjah Azimah lembut.

“Tak, Achik, Fayqa sibuk dengan kelas dan kerja,” jawab Fayqa perlahan, matanya masih melekat ke mangkuk pengat.

“Hujung minggu kan boleh pergi melawat, Fayqa. Elok kita melawat orang sakit ni, dapat pahala,” nasihat Hajjah Azimah.

“Ya, Achik,” mulut menjawab ya, tapi entah apa yang tersemat dalam hati.

Semua mata memandang ke arah Fayqa, anak yang rasa terpinggir. Timbul rasa simpati pada si gadis muda. Sekali lagi berkerut dahi Dzariff.

“Kalau Fayqa nak, Kak Yaya boleh temankan,” pelawa Dzalia.

Fayqa hanya mengangguk lemah.

“Lara di tahun akhir ya?” tanya si abang tiri.

“Ya.”

“Kursus pengurusan perniagaan?”

“Ya.”

“Praktikum nanti boleh buat di syarikat Papa.”

“Tengoklah.”

“Atau di syarikat Pak Cik pun boleh,” celah Haji Dzulqarnain.

Barulah Fayqa mengangkat muka, memandang tuan rumah baik hati tempat dia menumpang, “Terima kasih, Pak Cik.”

Perbualan beralih kepada dunia perniagaan. Lega rasa Fayqa, lebih lama hal Mamanya disebut, lebih tidak selesa rasanya. Dia hanya berdiam diri, menghabiskan pengat pisang lalu meneguk teh di dalam cawan. Mangkuk dan cawannya dikumpul, lalu dia bangun.

“Dah sudah Fayqa?” tanya Dzalia.

“Dah.”

“Duduklah dulu, berbual dengan Abang Iz.”

“Nak ke dapur kak, nak tengokkan makan malam.”

“Izwan, Fayqa ni rajin sangat menolong. Ada dia, senang banyak Achik di rumah. Air tangan dia pun sedap. Izwan makan malam di sini ye,” pelawa Hajjah Azimah.

Berubah air muka Fayqa. Malas hendak mendengar jawapan Khairul Izwan, dia melangkah ke bilik tidurnya, mandi, kemudian masuk ke dapur untuk membantu Hajjah Azimah menyediakan makan malam. Terperuk dia di dapur sementara mereka yang lain menunaikan solat Maghrib. Usai solat Hajjah Azimah dan anak-anak daranya tolong menghidangkan makanan.

“Makanlah Izwan, masak lemak ini Fayqa yang masak,” pelawa Hajjah Azimah. Dzariff di hujung meja merenung tajam.

“Hmm, sedap macam masakan Auntie Fiza,” puji Khairul Izwan.

Bergenang air mata Fayqa. Mamanya masakkan untuk anak orang lain, anak sendiri menumpang di rumah orang. Malu jika yang lain melihat air matanya, cepat-cepat dia bangun.

“Fayqa terlupa nak ambil ulam, Achik,” laju kakinya dihayun ke dapur.

Semua mata memandang hingga Fayqa masuk ke dapur, kemudian tanpa dirancang mata mereka semua beralih ke piring berisi ulam pucuk gajus dan ulam raja di atas meja. Buat seketika mereka semua hilang selera untuk menyambung makan.

“Sabarlah, Izwan, nanti lama-lama lembutlah hati adik kamu itu. Makanlah Izwan,” seperti biasa dengan lembut Hajjah Azimah memberikan nasihat.

Adik? Fikir Dzariff. Adikkah kalau mak lain-lain, bapa asing-asing?


Bab 22



“Pekah, kita lunch sekali nanti,” khabar Dzalia. Hari Khamis, Fayqa tiada kuliah, seharian dia di butik Dzalia.

“Nak suruh Mila beli nasi bungkus ke Kak?”

“Tak kita makan kat luar,” jawab si bos.

No problem, kalau makan di luar selalunya Dzalia yang belanja. Haji Dzulqarnain sekeluarga memang pemurah, agaknya itu yang Allah murahkan rezeki mereka. Perniagaan mereka anak beranak memang maju. Butik Dzalia tidak pernah putus-putus dengan pelanggan. Hairan juga Fayqa sebab harga pakaian di butik Dzalia harganya ribu riban.

Tiba waktu rehat, mereka keluar menaiki Suzuki Swift kepunyaan Dzalia.

“Kita makan kat mana Kak?” hairan Fayqa bila melihat Swift Dzalia membelok ke lebuhraya.

“Adalah...sabar!” Itu sahaja jawapan Dzalia.

Selepas hampir dua puluh minit, kereta Dzalia membelok masuk ke halaman sebuah rumah agam yg indah tersergam.

“Rumah siapa ni Kak?” tanya Fayqa kehairanan, hatinya rasa tidak sedap.

Dzalia hanya melemparkan senyuman sebagai jawapan. Dan bila kereta Dzalia menghampiri anjung rumah itu, semakin lebar senyuman Dzalia. Di pintu depan rumah itu, Khairul Izwan sudah sedia menanti. Terlopong mulut Fayqa, matanya tajam merenung wajah Dzalia. Tetapi lidahnya tidak mampu berkata apa-apa, tidak sampai hati nak marah Dzalia. Wanita anggun itu bukan sahaja bosnya, malah lebih kepada seorang kakak.

“Selamat datang ke rumah Abang,” kata Khairul Izwan selepas dia dan Dzalia berbalas-balas ucapan salam, “jemputlah masuk.”

Kalau ikutkan hati Fayqa, mahu saja dia menghentak-hentakkan kaki, memprotes tidak mahu menjejakkan kaki ke rumah bapa tirinya. Bukan sahaja dia tidak selesa, malah dia juga rasa marah kepada Dzalia, menipu dia hidup-hidup. Lunch di luar konon!

“Auntie Fiza tak ada, dia bawa Papa ke hospital. Papa ada temujanji dengan doktor hari ini,” jelas Khairul Izwan.

So? Mama tak ada, si bapa tiri pun tak ada. Buat apa mereka bawa aku ke sini? Hidung Fayqa terhidu, ada helah antara si bos dan si abang tiri. Cuma dia tidak tahu apa helah mereka.

Khairul Izwan membawa mereka ke ruang makan. Di meja makan, Datin Raudhah sudah sedia menunggu. Isteri pertama Dato Ishak dan ibu Khairul Izwan!

“Dah sampai Lara, Dzalia,” sambut wanita pertengahan lima puluhan itu dengan senyuman manis di bibir, “Meh duduk, temankan Auntie makan.”

Di atas meja pelbagai lauk pauk sedia terhidang, bagai menyambut tetamu istimewa. Layanan yang diberikan juga sangat mesra. Namun selera Fayqa sudah mati. Nasi yang dimakan terasa bagai pasir. Tingkahnya juga beku bagai salju. Bagaimana mahu mesra, Datin Raudhah dan Khairul Izwan bukan ada apa-apa ikatan kekeluargaan dengannya. Dzalia, Khairul Izwan dan Datin Raudhah pula rancak berbual mesra.

Sejak bila Kak Yaya rapat dengan madu Mama dan anaknya? Hairan sungguh Fayqa.

“Amboi sedapnya makan hari ini sebab makan berteman. Jika tidak tu Auntie makan sorang-sorang saya, Mama Lara sibuk kena suapkan Uncle. Izwan dan Izzati bekerja. Lara dan Dzalia selalu-selalulah datang ya,” komen Datin Raudah selepas selesai makan tengahari.

Mendengar Mamanya disebut, air muka Fayqa berubah. Dia sendiri tidak tahu apa yang dirasakan. Malu dengan Mama sendiri yang merampas suami orang? Marah dengan Mama kerana sewenang-wenang mahu menumpang kesenangan orang lain? Marah dengan Mama kerana melupakan Papa begitu sahaja? Entah, kerana isu Mamanya bukanlah sesuatu yang Fayqa suka fikirkan, kerana ianya hanya menyakitkan hati.

Fayqa yang bangun untuk membantu mengemas meja dihalang ibu tirinya, “Lara tolong tolakkan Auntie ke beranda. Lepas makan Auntie suka ambil angin di situ. Jemu asyik terperap dalam rumah.”

Bagaimana mahu mengatakan tidak kepada wanita sebaik Datin Raudhah. Tiba di beranda, terpegun Fayqa memandang taman mini ala Inggeris di situ. Indah dan mendamaikan, penuh dengan bunga-bungaan berwarna warni.

“Lara suka?” tanya Datin Raudhah, “Uncle upah syarikat lanskap bina taman mini ini kerana kasihan Auntie asyik terperap di rumah. Jadi terapi minda bagi Auntie.”

Mata mereka bertemu buat seketika. Kelu lidah Fayqa, timbul rasa simpati kepada wanita cekal di hadapannya. Timbul juga rasa bersalah kerana bahagia wanita ini dirampas ibunya sendiri. Matanya dilarikan ke lain.

“Duduk, sayang,” jemput tuan rumah, Fayqa hanya menurut.

“Auntie suruh Abang Izwan jemput Lara datang makan di sini. Dah lama Auntie nak berjumpa dengan Lara, sejak Uncle berkahwin dengan Mama Lara.”

Mendengar Mamanya disebut, Fayqa tunduk memandang lantai.

“Jumpa di hospital hari itu pun kelam kabut kan. Kita semua bimbangkan Uncle, tak sempat nak berbual panjang.”

Apa yang hendak dibualkan? Fikir Fayqa. Nak bual pasal Mama kacau rumah tangga dia? Fayqa menelan liur, tekaknya terasa kering. Waktu itu jugalah seorang pembantu datang menatang dulang berisi teko. Air teh dituang ke dalam cawan dan dihulurkan kepada Fayqa. Untuk Datin Raudhah pula, dihulurkan sebiji muk berisi minuman panas.

“Teh hijau,” maklum Datin Raudhah bila terlihat Fayqa merenung muk yang dipegangnya, “Auntie tak boleh ambil gula banyak-banyak.”

Mereka masing-masing meneguk air, mata melekap ke arah taman yang indah. Teringat pula Fayqa kepada Dzalia dan Khairul Izwan. Ke mana mereka? Berdating di dalamkah?

“Lara, Auntie sangat terhutang budi dengan Mama Lara,” tajam renungan Fayqa bila mendengar kata-kata Datin Raudhah, tanpa disedari keningnya berkerut.

“Ya, sayang. Kalau Lara tengok betapa teruk Mama Lara menjaga Uncle, Lara akan tahu dia memang isteri yang baik. Bukan tak boleh dia lepaskan tangan, biarkan jururawat Uncle yang buatkan semua, mandikan uncle, suapkan makan.... tapi dia tahu Uncle lebih selesa jika dia yang buatkan. Auntie sendiri pun banyak yang dia tolong. Penat Mama Lara menjaga dua orang sakit di rumah ini.”

Mata Fayqa direnung sayu oleh wanita lemah lembut itu, “Auntie tak tahu macam mana nak balas budi baik Mama kamu.”

Dua pasang mata yang mula bergenang air mata bertemu. Cepat-cepat Fayqa melarikan matanya ke lain.

Selepas jeda seketika, Datin Raudhah mula berbicara semula, “Mama Lara selalu bercerita tentang Lara. Dia kata Lara anak yang bijak, ikut Papa Lara yang belajar hingga ke universiti. Tak ikut dia, SPM pun cukup-cukup makan saja. Wajah Lara pun lebih banyak ikut wajah Papa Lara. Katanya bila dia pandang wajah Lara, hilang sedikit rindunya pada Papa Lara.”

Mata Fayqa yang berlinangan tertancap ke wajah Datin Raudhah sekali lagi. Bagai tidak percaya Mamanya akan bercerita tentang Papa dengan madu sendiri.

“Dengan siapa lagi Mama Lara nak bersembang, jika bukan dengan Auntie. Dalam rumah ini, hanya kami bertiga dengan Uncle. Izwan dan Izzati malam baru balik. Takkan nak kongsi perasaan dengan jururawat, dengan pembantu rumah?”

Datin Raudhah menolak kerusi rodanya menghampiri Fayqa. Tangan gadis itu dielus lembut, “Rindu Mama Lara pada Lara sebesar gunung. Anaknya hanya seorang, takkan dia tidak sayang. Walau pun depan kami dia tunjuk wajah yang ceria, Auntie dan Uncle tahu dia sedih. Uncle pun selalu sebut nama Lara. Dia minta Abang Izwan pujuk Lara supaya berbaik semula dengan Mama Lara. Uncle, sejak dia sakit ini, semakin kusut fikirannya bila memikirkan hal anak-anak. Kasihan dia, Izzati buat perangai. Fauzan, anak Auntie Nita pun buat hal....”

Lara, anak Fiza pun buat perangai.... Fayqa menyambung ayat Datin Raudhah dalam hati. Fauzan, anak Auntie Nita? Oh, anak isteri nombor dua Dato Ishaq yang sudah dia ceraikan. Timbul bisikan syaitan di telinga Fayqa.... itulah siapa suruh gatal nikah sampai tiga. Dah sakit, baru nak sedar betapa susahnya menjalankan tanggung jawab?

“Uncle kahwin tiga bukan kerana kemahuannya....”

Tersentak Fayqa! Ah, Datin Raudhah ini boleh baca fikiran akukah?

“Auntie sakit sudah berpuluh tahun. Kasihan Auntie tengok Uncle, berhempas pulas membangunkan perniagaan, sambil menjaga Auntie dan anak-anak. Walhal Auntie sendiri tidak boleh menjalankan tanggung jawab sebagai seorang isteri....”

Renungan Fayqa dilempar ke arah buang-bungaan berwarna-warni di taman, segan mendengar rahsia rumah tanggan orang.

“Auntie yang minta Uncle kahwin lain sebab Auntie nak hilangkan rasa bersalah Auntie yang tidak dapat membahagiakan suami. Auntie Nita tu, kawan Uncle yang perkenalkan. Janda beranak satu. Auntie fikir apa salahnya berkongsi kasih bila Auntie sendiri dalam keadaan begini.”

Datin Raudhah menarik nafas panjang, “Rupanya Auntie Nita tidak betah berkongsi suami. Selepas beberapa bulan berkahwin, dia minta Uncle ceraikan Auntie. Bila Uncle tidak ikut cakap dia, dia mula memberontak. Semakin teruk keadaan Uncle. Kahwin dengan Auntie Nita bukan dapat meringankan bebannya, makin menambahkan beban. Itu pun sempat juga rumah rumah tangga mereka bertahan selama empat tahun.”

“Selepas setahun dua mereka bercerai, Uncle beritahu Auntie, ada janda beranak satu yang bekerja sebagai tea lady di pejabatnya di Kuantan. Orangnya sangat cantik, sehingga menjadi usikan pekerja-pekerja lain. Bila dirisik-risik, rupanya teruk keadaan janda ini. Pukul tiga, empat pagi ada sahaja lelaki jahat yang mengetuk-ngetuk pintu rumahnya. Sehingga dia ketakutan tidak dapat tidur. Di Kuantan, dia tiada saudara mara. Dia anak yatim dari Tawau, yang merantau ke Kuantan mengikut suami.”

Pada tika itu, mata Fayqa sudah tidak dapat lepas dari memandang wajah Datin Raudhah. Mama kena kacau? Dia sendiri tidak pernah tahu. Agaknya Mama tidak mahu dia bimbang lalu hal ini dirahsiakan

“Auntie ke Kuantan bertemu janda ini, bertanyakan khabar dia dan Auntie sendiri yang meminang dia untuk suami Auntie.”

Terasa bagai ada seketul batu dalam tekak Fayqa. Terasa sakit, setiap kali dia menelan liur.

“Auntie boleh lihat sendiri, betapa berbezanya perkahwinan Uncle dengan Mama Lara jika dibandingkan semasa dia bersama Auntie Nita. Tidak lagi murung, tidak lagi diam berkerut dahi. Pulang dari Kuantan, Uncle nampak ceria, nampak bahagia. Auntie pun tumpang bahagia bila Uncle bahagia. Mama Lara pun tidak pernah meminta yang tidak-tidak dari Uncle. Hujung minggu Uncle lebih kerap di Kuala Lumpur kerana Mama Lara tahu Izwan dan Izzati perlukan Papa mereka.”

Tangan Fayqa digenggam erat, “Lara, Auntie berterima kasih sangat dengan Mama Lara kerana dia dapat bahagiakan Uncle. Dan pada masa yang sama dia hormatkan perasaan Auntie. Cuma yang Uncle dan Auntie sedihkan, kerana kami menumpang kasih Mama Lara, Lara pula yang menjauhkan diri.”

Kepala Fayqa diusap lembut, “Lara, macam mana kami menumpang kasih dengan Mama Lara, boleh tak kami menumpang kasih dengan Lara juga? Uncle tu tentu hilang bebanan di dadanya kalau Lara mahu menjenguk Mama Lara di sini. Boleh ye, sayang?”

Saturday 13 April 2013

Seteguh Fayqa Bab 18, 19 dan sedikit 20


Terungkailah rahsia Fayqa....well, part of it. Maaf tak post semalam, balik ke rumah pengsan sebab pergi zumba petang tu. 

Minggu depan tricky you all, sebab saya out station...so agaknya 2 minggu baru ada bab baru...



Bab 18



Sejak peristiwa malam itu, semakin Fayqa mengelak dari si jeneral sengal. Dzariff balik dari kerja, tiada lagi Fayqa melepak di laman dengan adik-adiknya. Bila Dzariff ke dapur, ada saja alasan Fayqa, mahu menghantar bakul pakaian bersih ke ataslah, mahu seterika baju di bilik. Tiada lagi Farhan dan Daeng datang belajar bersama di meja makan.

Semakin giat Fayqa mengelak, semakin Dzariff teringin melihat gadis itu. Adik yang pergi jauh pun tidak teringat-ingat. Yang di bawah satu bumbung pula yang melekat di minda. Tanpa disedari jadual Fayqa dihafal, pukul berapa gadis itu bangun, masuk ke dapur, berhidang, bersiap dan bertolak ke kolej atau ke butik Dzalia. Petangnya pukul berapa Fayqa pulang, masuk ke dapur lagi dan tidur.

Jadi memang dia hairan besar bila Fayqa bergegas meninggalkan meja makan bila menelek skrin telefonnya yang berdering semasa makan malam. Jika Farhan atau Daeng yang menelefon, tentu akan dimatikan telefon yang berdering. Selepas selesai makan malam, barulah dia akan menelefon mereka semula.

Usai menjawap panggilan telefon di dapur, Fayqa duduk semula di kerusinya. Keruh air mukanya, itu jelas di mata Dzariff. Ahli keluarganya yang lain pula tidak sedar, sibuk makan dan berbual.

“Siapa telefon Fayqa?” tanya Hajjah Azimah, sudah terbiasa dengan sikap prihatin.

“Farhan, Achik,” senyuman di bibir, senyuman terpaksa.

“Dia nak apa?”

“Dia tanyakan pasal assignment, Achik.”

Tiada lagi soalan, ahli keluarga Haji Dzulqarnain enak menjamu selera. Dzariff di hujung meja ligat berfikir. Naluri hatinya yakin bukan Farhan yang menelefon tadi. Selalunya Fayqa kalau selepas bercakap dengan Farhan, lebar senyumannya. Siapa yang telefon sehingga sebegitu keruh muka gadis itu? Dato' gatal itukah? Dato' itu mencari Fayqa? Sakit hati Dzariff memikirkan kemungkinan itu.

Usai makan malam, laju Fayqa mengemas dan masuk ke bilik tidur. Dzariff masih di meja makan mengadap lap top, cuba menyelesaikan beberapa kerja tapi sebenarnya menunggu kalau-kalau Fayqa keluar ke ruang tamu. Sehingga tengah malam, bayang Fayqa pun tidak kelihatan. Dzariff naik ke biliknya di tingkat atas, tidak pula rasa mengantuk, lalu dia mengadap laptopnya lagi, membaca artikel-artikel tentang dunia perniagaan di dalam dan luar negara.

Tiba-tiba terdengar bunyi besi berkeriut. Macam bunyi pintu pagar depan. Dari kerusi meja tulis, lehernya dipanjangkan, menjenguk ke luar tingkap. Dalam kelam cahaya lampu laman hadapan, kelihatan kelibat orang membuka pintu kecil di sisi pintu pagar gelongsor automatik. Orang itu melangkah keluar, bukan melangkah masuk. Sudah tentu bukan pencuri, tapi gaya terhendap-hendapnya macam pencuri.

Laju otak Dzariff memproses, terhendap-hendap keluar, tengah-tengah malam. Siapa lagi jika bukan ….. Fayqa!!

Selaju otaknya memproses, selaju itu jugalah kakinya berlari turun ke tingkat bawah. Kunci rumah yang digantung di dinding diambil, pintu depan dibuka, selipar disarung, lalu Dzariff berlari ke arah pintu pagar sisi. Cepat-cepat dia membuka kunci pintu itu dan berlari ke arah jalan. Sudah terlambat! Tiba di jalan, yang sempat dia nampak hanyalah sebuah kereta hitam meluncur laju ke hujung jalan.

Betulkah Fayqa yang terhendap-hendap keluar? Satu sahaja cara untuk pastikan. Dzariff melangkah semula ke laman rumah, pintu pagar sisi dikunci. Masuk ke rumah, dia terus ke dapur. Tanpa ragu-ragu, pintu bilik tidur Fayqa dibuka, suis lampu ditekan. Seperti yang dijangkakan, bilik itu kosong!

Subuh keesokannya...... Fayqa menyusup pulang ke rumah Haji Dzulqarnain. Badannya letih, kepalanya berdengung-dengung akibat tidak tidur dan penat memikirkan masalahnya yang belum selesai. Tangannya perlahan-lahan, berhati-hati memutarkan kunci membuka pintu dapur. Dia masih lagi berfikir-fikir bagaimana mahu mencari jalan untuk ….

“Pergi mana?!!”

“Hah!” terkejut besar Fayqa, kunci di tangan terlepas ke lantai.

Di kerusi meja makan dapur, jeneral sengal duduk berpeluk tubuh, matanya tajam merenung wajah Fayqa. Kecil, besar, kecil, besar, anak dara orang itu dipandang. Jika gadis itu adiknya, tahulah dia apa dia akan buat. Tapi untuk sentuh, waima jentik sekali pun, hukumnya haram!

Hilang terkejut, Fayqa menarik nafas dalam-dalam sambil matanya dipejam. This is the last thing I need right now, keluhnya dalam hati. Sah! Memang betul si jeneral ini ada membela jin, tahu saja segala gerak langkah orang.

“Saya letih sangat, saya nak solat dan tidur, please,” itu sahaja yang mampu dikatakan.

“Letih? Keluar malam sampai ke pagi, letih... Apa yang awak buat hingga letih sangat?” sinis suara si sengal. Sudah bangun dia dan kini berada betul-betul berhadapan dengan Fayqa.

“I said please.... please, boleh tak saya nak rehat sekejap saja?” memang Fayqa tiada mood hendak bertekak. Kalau perlu rayu, rayu sajalah.

“Saya tanya, awak tak jawab. Jawab sajalah, apa susahnya. Awak pergi mana?” soalan yang sama ditanyakan sekali lagi.

Tangan kanan memicit-micit pelipis, “Walau pun saya menumpang di sini, saya pun ada hak untuk privacy sendiri kan?”

“Privacy, yes. Merayau malam-malam, no, never as long as you're under this roof,” tegas Dzariff, tidak mahu berganjak walau seinci.

“Kita cakap hal ni lain kali boleh tak?” gumam Fayqa, menghayun langkah ke biliknya.

Serentak Dzariff bergerak selangkah ke kanan, menghalang langkah Fayqa. Denyutan di kepala Fayqa semakin kuat, sakit di hati boleh tahan juga.

“Saya nak solat dan tidur, please...”

“Soalan saya mudah saja, awak pergi mana? Kenapa tak mahu jawab? Apa yang awak sorokkan,” geram dengan kedegilan Fayqa yang berahsia membuatkan suara Dzariff semakin meninggi.

“Kalau saya nak sorok apa-apa pun, itu saya punya pasal!” suara Fayqa juga sudah naik.

Sabar Dzariff sudah entah ke mana, digenggamnya bahu Fayqa, digoncang-goncang, “Pasal awak sudah jadi pasal kami sebab awak tanggung jawab kami!”

“Eh! Lepaslah, lepaskan saya, lepaskan tanggung jawab tu. Tak siapa suruh awak bertanggung jawab pun,” tangannya cuba menolak tanggan Dzariff yang kuat mencengkam bahunya.

“Fayqa? Abang? Eh! Apa hal ni?”

Oh no!! Achik Zee! Awalnya dia turun ke dapur pagi ini? Habis! Habis semua cerita aku. Jenuh aku rahsiakan selama ini. Gelabah Fayqa bukan kepalang. Apa aku nak buat ni? Matanya laju memandang wajah Dzariff yang garang. Selagi dia tak dapat jawapan, dia takkan lepaskan, Fayqa pasti! No way out!

Agaknya sebab panik atau sebab pendek akal, tubuh Dzariff yang berada betul-betul dihadapannya didakap erat, erat seeratnya! Dalam hati sempat Fayqa berbisik.... maafkan Fayqa, Achik!

Terkejut, terperanjat, tergamam! Tapi kedua belah tangan Dzariff automatik melingkari tubuh Fayqa bagai itulah perkara yang paling natural baginya. Yes, she belongs in my arms, melekat dalam benaknya.

“FAYQA!! ABANG!! Astaghafirullahilazim......” tangan Hajjah Azimah di dada, mulutnya melopong. Bila Hajjah Azimah yang tidak pernah meninggikan suara sudah terpekik, baru terlompat si anak sulung.

Tubuh Fayqa dilepaskan, jari jemarinya menguak rambut di kepala dan terus melekap di situ. What have I done? Dzariff menyumpah-nyumpah diri sendiri. Kemudian matanya menyorot ke arah gadis di sebelah... Apa rancangan dia ni?

“Astaghafirullahilazim....,” Hajjah Azimah mengucap sekali lagi, “Apa ni Abang? Tanggung jawab apa yang Fayqa sebut tu? Abang dah buat apa pada Fayqa?”

Dalam kepala Hajjah Azimah macam-macam perkara yang menerjah masuk... takkanlah Dzariff sudah apa-apakan Fayqa? Ish..tak mungkin... Dzariff anak yang baik. Tapi dah jadi depan mata kepala sendiri.... Dahlah bapanya pun tak ada, out station lagi. Ya Allah, balik suami aku nanti, apa aku nak cakap? Terduduk Hajjah Azimah di kerusi meja makan dapur.

“Ummi, Abang boleh jelaskan....”

Belum sempat Dzariff habis bercakap, Fayqa sudah memotong, “Achik Zee, Fayqa minta maaf dari hujung rambut ke hujung kaki. Fayqa dah buat benda tak senonoh di rumah Achik...”

Hampir terjojol mata Dzariff memandang muka Fayqa! “Apa awak cakap ni, Fayqa?!”

Marah Dzariff tidak dipedulikan, “Fayqa rasa elok Fayqa pindah keluar dari sini. Lagi lama Fayqa di sini, nanti entah apa pula yang terjadi...”

“Astaghafirullahilazim....,” itu sahaja yang boleh Hajjah Azimah ucapkan, tangannya mengurut-ngurut dada.

“Fayqa! Could you please stop your game?!” suara Dzariff sudah meninggi.

“Yes, we should stop OUR game...now,” Fayqa memotong lagi.

Our game? OUR game? Licik betul budak perempuan ini, amarah Dzariff membuak-buak.

“Achik, biar Fayqa keluar dari rumah ini. Fayqa minta maaf, Achik,” belum sempat Dzariff atau Hajjah Azimah berkata apa-apa, Fayqa meluru ke dalam biliknya dan mengunci pintu.

Telefon bimbitnya dikeluarkan dan jari jemari laju mendial nombor, “Boleh datang ambil saya sekarang tak? Saya tunggu di depan rumah. Kalau boleh secepat mungkin ya. Saya nak elakkan masalah dengan tuan rumah.”

Di luar bilik kedengaran suara Hajjah Azimah dan anaknya bercakap-cakap. Tanpa memperdulikan mereka, laju tangan Fayqa mencampakkan pakaian dan buku-bukunya ke dalam beg. Ambil yang mana sempat sajalah, yang penting dia perlu keluar dari rumah ini sebelum rahsianya pecah. Tak sampai lima minit Fayqa sudah siap berkemas, barang-barangnya pun bukannya banyak. Pintu bilik dibuka.

Terbuntang mata Hajjah Azimah melihat beg yang dijinjit oleh Fayqa. “Fayqa, apa-apa pun, tunggu dulu. Jangan terburu-buru nak pindah. Fayqa nak ke mana? Achik susah hati kalau Fayqa keluar dari rumah ni.”

Tubir mata Fayqa mula panas, tersentuh hatinya dengan kebaikan hati Hajjah Azimah. Walaupun dia berbuat tidak senonoh, tiada maki hamun dari wanita itu. Malah, masih bimbangkan keselamatan dirinya.

“Achik, biarlah Fayqa pindah. Ini yang terbaik, Achik.”

“Abang, minta maaf dengan Fayqa. Janji dengan dia yang Abang takkan buat benda-benda tak senonoh pada dia lagi,” arah Hajjah Azimah kepada anak sulungnya.

“Ummi! Kan Abang dah kata, Abang tak buat apa-apa kat dia. Yang Ummi nampak tu...”

Lagi cepat cabut, lagi baik, fikir Fayqa. Tangan Hajjah Azimah dicium, “Fayqa pergi dulu, Achik.”

“Fayqa! Fayqa! Nanti dulu....,” seru Hajjah Azimah kepada gadis yang sedang melangkah keluar melalui pintu dapur.

“Abang! Takkan nak dibiarkan Fayqa pergi entah ke mana tu?” Kata-kata Hajjah Azimah membuat Dzariff cepat-cepat mengekori Fayqa.

“Ummi, ada apa kecoh pagi-pagi ni?” dari ruang makan, muncul Dzalia dan Dzureen yang masih terpisat-pisat baru bangun tidur.

Dzariff di luar membuka langkah berlari mengejar Fayqa yang sudah berada di pagar depan, “Fayqa! Fayqa! Jangan pergi!”

Hajjah Azimah dan anak-anaknya bergegas keluar dari pintu dapur, terkocoh-kocoh berjalan ke lama depan mengikut sisi rumah.

Laju tangan Fayqa membuka pintu sisi pagar depan. Matanya meliar memandang ke arah jalan. Mana dia? Kenapa tak sampai lagi? Elok tiba sahaja kakinya ke tepi jalan sebiji BMW hitam berhenti betul-betul di hadapannya. Tanpa melengah masa, pintu hadapan dibuka, Fayqa masuk ke dalam dan kereta mewah itu meluncur laju meninggalkan rumah Haji Dzulqarnain.

Dzariff yang hanya terlewat beberapa saat, menjerit, “Fayqa! Fayqa!”

Hajjah Azimah yang masih menapak ke pagar tidak berhenti-henti berastaghfar. Dzalia dan Dzureen mengekori dari belakang.

Dzureen mencuit bahu Dzalia, “Kak Yaya, macam shooting drama.”



Bab 19



Terhenti langkah Hajjah Azimah bila melihat kereta hitam itu meluncur pergi membawa Fayqa, “Abang! Siapa yang datang ambil Fayqa tu?”

“Abang tak tahu Ummi,” mulut menjawab, dahi berkerut. Marah ada, bimbang pun ada di hati.

Tak boleh jadi ni, tak boleh dibiarkan sahaja. Laju Dzariff berlari masuk ke rumah, kunci motosikal adiknya dan alat kawalan jauh pagar dicapai. Pintu depan dibuka. Sambil melangkah ke arah motosikal Dzahim, topi keledar dipasang. Enjin motosikal mengaum. Pintu pagar dibuka.

Sambil menunggang motosikal keluar dari laman depan, alat kawalan pagar dicampakkan ke arah Dzalia, “Abang pergi cari Fayqa!” dan motosikal berkuasa tinggi itu menderum pergi.

Sudah bertahun tinggal di kawasan perumahan itu, Dzariff tahu jalan-jalan pintas ke jalan besar yang menghala ke lebuhraya. Tiba di sana, dia ternampak BMW hitam yang dinaikki Fayqa sedang membelok memasuki lebuh raya.

“Yes!” bisik Dzariff, “nak lari? Jom kita tengok ke mana kau nak lari.”

Tidak sampai 20 minit Dzariff mengekori BMW hitam itu, ia memasuki parkir bawah tanah sebuah hotel lima bintang. Dzariff memberhentikan motorsikal di luar hotel. Ketat dadanya, susah hendak bernafas bila memikirkan Fayqa mengikut lelaki ke hotel. Fayqa yang tidak tinggal sembahyang, yang sentiasa hormatkan orang tua.... dia jenis yang ikut jantan ke hotelkah? Kalau pemandu BMW itu saudaranya, kenapa dia tidak perkenalkan kepada kami sekeluarga? Memang gadis ini ada rahsia hitam yang nak disorokkan. Dzahim tahukah? Dzahim bersekongkol dengan Fayqa tentang rahsia ini?

Buat beberapa minit, Dzariff masih berdiri di hadapan hotel. Solat subuh belum, sekejap lagi habis waktu. Nak ke masjid, nanti entah ke mana pula gadis yang diekori. Apa-apa pun solat dululah, putus Dzariff. Takkan tak solat disebabkan budak perempuan sorang ni.

Usai solat Dzariff terconggok di hadapan hotel. Masuk ke hotel tadi mencari Fayqa, kata receptionist tiada gadis bernama Fayqa atau Lara yang menyewa bilik di situ. Takkan dia hendak ketuk pintu bilik satu per satu. Akhirnya, di situlah dia menunggu, berharap Fayqa atau BMW hitam itu akan keluar semula. Perut lapar belum bersarapan tetapi Dzariff tidak mahu ke mana lagi selagi Fayqa belum ditemui.

Hampir tiga jam menahan lapar dan geram, akhirnya tersembul BMW hitam itu keluar dari parkir bawah tanah. Tidak salah kereta sebab Dzariff cam nombor platnya. Cepat-cepat Dzariff memakai topi keledar dan mengekori BMW itu. Rupanya kereta itu menghala ke hospital. Hospital yang sama di mana Dzahim di rawat dahulu.

Dzariff memberhentikan motosikal agak jauh dari kereta hitam yang berhenti di foyer hospital. Pintu pemandu dibuka, seorang lelaki separuh umur keluar dan membukakan pintu belakang. Yang keluar dari pintu belakang adalah Fayqa. Segera timbul rasa lega di hati Dzariff.

“Lelaki itu pemandu? Pemandu siapa?” tanya Dzariff dalam hati.

Selepas bercakap-cakap sebentar, Fayqa menapak ke pintu masuk hospital. Di pintu masuk seorang lelaki muda sudah menunggu Fayqa. Mata jantan Dzariff pun tak boleh menafikan lelaki itu sungguh kacak bergaya.

“Abang dia?” teka Dzariff.

Setelah Fayqa dan lelaki muda itu beredar ke dalam, dengan cepat Dzariff memarkir motosikalnya dan mengekori mereka dari belakang. Mereka menaiki lif ke tingkat atas. Selepas pintu lif tutup, laju Dzariff melangkah ke lif, matanya tidak bekelip memandang nombor-nombor di atas pintu. Satu, dua, tiga, empat. Lif berhenti di tingkat empat. Butang lif ditekan dan selepas beberapa minit, pintu lif terbuka. Dzariff melangkah ke dalam dan menekan butang nombor empat. Sambil menunggu life naik ke tingkat empat, berkerut dahi Dzariff memikirkan apa yang akan dibuatnya bila bersemuka dengan Fayqa dan lelaki itu. Atau dia hanya memandang dari jauh?

Tiba di tingkat empat, pintu lif terbuka, Dzariff melangkah keluar. Tanpa perlu membaca papan tanda di hadapan lif, Dzariff melangkah ke kiri ke sebuah pintu yang bertulis “Intensive Care Unit.” Di sinilah Dzahim dirawat beberapa bulan dahulu. Ahli keluarga Fayqa kemalangan?
Pintu ruang menunggu ditolak, tersentak Dzariff seketika, ada seorang wanita berusia empat puluhan sedang marah-marah.

“Sampai jantan tua tu nak mati pun kau nak kawal dia. Alah, jangan nak nafikan. Kau nak pastikan bila dia mati, semua harta dia dapat kat engkau. Aku bukan bodoh macam bini tua dia, aku boleh fikir!” Kedua belah tangan di pinggang, nampaknya dia sedang memarahi seorang wanita yang sedang duduk menangis teresak-esak di kerusi ruang menunggu.

“Mak cik, di sini tak boleh bising-bising, Mak Cik. Kalau Mak Cik nak bincang, kita turun ke bawah,” lelaki kacak yang menaiki lif dengan Fayqa cuba menenangkan wanita itu.

“Ah! Kau pun sama dengan bapa kau. Asyik nak menangkan betina sundal ini. Kalau kau tak jaga-jaga, satu sen harta bapa kaun pun kau takkan dapat, kau tahu!”

“Mak Cik, tentang duit ringgit tu kita bincang kemudian Mak Cik. Sekarang ni lebih baik kita bacakan Yassin, bacakan doa untuk Papa. Nanti bila Papa dah sihat, kita uruskan hal duit biaya Mak Cik dan Adik.”

“Nanti? Kau pun sama bodoh macam emak kau! Nanti, nanti. Kau tak tahu betina sundal tu dah sapu semua untuk diri dia.”

Fayqa yang sedari tadi berdiam diri di sebelah lelaki kacak itu sudah tidak dapat menahan sabar, “Puan, Puan nak cakap apa pun, itu hak Puan. Tapi tolong jangan panggil emak saya betina sundal. Mak saya isteri sah Uncle Shaq.”

Amaran gadis muda itu tidak dihiraukan, amarah sudah marak di dada, “Ah! Kau dengan mak kau pun sama-sama sundal....”

Pang!! Buat sedetik terdiam semua orang. Tiada siapa yang menyangka Fayqa akan menampar wanita itu.

“Lara! Mama tak pernah ajar Lara angkat tangan dengan orang yang lebih tua,” marah emak Fayqa.

Wanita yang ditampar Fayqa juga bagai sudah tersedar, “Hei, anak sundal, mak kau tak ajar, mari aku ajarkan..”

Tangannya sudah diangkat, mahu membalas tamparan Fayqa. Cepat-cepat tangan dan badannya ditahan oleh lelaki kacak tadi, “Mak Cik, jangan buat kecoh, Mak Cik. Ini hospital.”

Fayqa pula bagai tidak puas dengan sekali tamparan, tangannya diangkat sekali lagi. Biar hari ini dia ajar wanita angkuh ini puas-puas. Belum sempat tangannya mendarat ke pipi wanita itu, ada tangan yang menahan dari belakang. Sementara sebelah tangan lagi melingkar di pinggang Fayqa, menahan Fayqa dari mendekati wanita mulut celupar tadi.

Terkejut dipeluk dari belakang, Fayqa menoleh. Makin terkejut jadinya bila dia melihat yang memeluknya dari belakang adalah si jeneral sengal! Bukan sahaja Fayqa yang terkejut, emaknya, lelaki kacak dan wanita itu turut sama terkejut.

“Hoi sengal! Lepaslah!” jerit Fayqa sambil cuba melepaskan diri.

Sedar yang semua mata sedang memandangnya, Dzariff segera melepaskan Fayqa.

“Awak ini siapa?” tanya emak Fayqa.

“Awak buat apa di sini?” tanya Fayqa serentak.

“Nak pastikan awak selamat,” jawab Dzariff perlahan.

Suatu jawapan yang amat menghairankan emak Fayqa, “Lara, siapa lelaki ini?”

Fayqa menjeling ke atas. Bala! Bala!!

“Tak ada siapa-siapa, Mama,” jawab Fayqa.

Tangan kanan Dzariff direntap, Fayqa menarik si jeneral sengal keluar dari ruang menunggu Unit Jagaan Rapi. Tidak mahu menunggu lif, Dzariff ditarik menuruni tangga. Tiba di tingkat tiga, tangan Dzariff dilepaskan, bahu Dzariff ditolak kasar.

“Boleh tak awak pergi dari sini?” halau Fayqa sambil mengetap gigi.

“Kenapa? Kalau ahli keluarga awak sakit, tak bolehkah saya melawat?” tenang jawapan Dzariff.

“Pergilah! Pergilah! Pergilah!” sambil menghalau, bahu Dzariff ditolak-tolak, “Hidup saya dah cukup complicated, tak perlu awak nak buat makin rumit.”

Dengan wajah yang tidak beriak, dengan suara yang tenang, Dzariff menjawab, “Siapa kata saya nak rumitkan hidup awak?”

“Aaaarrggghhhh!!” jerit Fayqa, kedua tangannya digenggam geram. Si sengal ini tak kan mengalah, tak kan mengalah.

Mukanya ditekup dengan kedua belah tangan. Tidak rumit katanya? Uncle Shaq kena serangan jantung. Mama pula kena serangan bekas madunya. Bekas madu mama pula kena serangan aku. Tidak rumit kata si sengal?

Bahu terhinggut-hinggut, dia menangis teresak-esak. Lututnya terasa tidak mampu lagi berdiri. Fayqa duduk di atas tangga, menangis semahu-mahunya. Tidak apa lagi yang mampu Fayqa buat, hanya menangis.

Pertama kali melihat gadis tabah dan kuat bernama Fayqa menangis teresak-esak, bukan tidak tersentuh hati Dzariff. Kalau diikutkan hatinya, ingin dia menarik gadis itu ke dalam pelukannya. Bagai subuh tadi. Tetapi subuh tadi, entah apa yang merasuknya, membuatkan dia terleka seketika, terlupa halal haram. Pagi ini, dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Maka, Dzariff turut melabuhkan punggungnya di atas tangga, selang beberapa anak tangga dari Fayqa. Mulutnya tidak berkata apa-apa. Bukankah dia sudah kata tadi, dia tidak akan rumitkan hidup Fayqa.

Di tingkat empat, ada ibu yang menjenguk ke bawah. Melihat anak gadisnya menangis, hatinya sayu. Jika tidak kerana perkahwinannya dengan Datuk Ishaq, Fayqa tidak akan jadi begini. Matanya turut memandang ke arah lelaki yang duduk menemani anak gadisnya di atas tangga. Siapa lelaki ini, yang begitu sabar menemani anaknya menangis?



Bab 20



“Lara tidak setuju saya kahwin lain. Dia memang anak manja Papanya. Sejak saya berkahwin dengan suami saya sekarang, Lara menjauhi diri,” air mata yang mengalir di pipi dikesat, “Tingkatan empat dia masuk asrama, selepas itu masuk kolej, kemudian universiti. Balik menjenguk saya sekali dua setahun. Duit belanja yang papa tirinya beri pun tidak disentuh. Dia bekerja menanggung diri sendiri. Tanda dia memprotes mamanya kahwin lain.”

Terdiam Dzariff dan ibu bapanya, tidak tahu mahu komen apa. Rupanya ini rahsia Fayqa Lara Lyana Abdul Rahim selama ini. Emak dan bapanya memang berasal dari Tawau tapi sudah berhijrah ke Kuantan sejak Fayqa berusia setahun setengah. Dan semenjak bapa Fayqa meninggal sepuluh tahun yang lalu, emak Fayqa masih lagi tinggal di Kuantan sebab suami keduanya mempunyai perniagaan di sana. Isteri tua suaminya pula tinggal di Kuala Lumpur.

Untuk menyedapkan hati emak Fayqa, Hajjah Azimah memuji anaknya, “Fayqa rajin budaknya, Fizah. Ringan tulang, kerja rumah dia yang banyak membantu. Solat tak tinggal. Budi bahasa pun elok.”

“Alhamdulillah, Kak Zee. Hati saya bimbang bukan main bila dia hidup sorang-sorang di Kuala Lumpur ini. Nak suruh dia duduk dengan keluarga suami saya, bukannya dia mahu. Keras hati tak boleh nak dikata apa,” kata Puan Hafizah tanpa berselindung.

“Tak apalah, Fizah. Sekarang ni kan Fizah pun sibuk menjaga Datuk Ishaq. Biarlah Fayqa tinggal dengan kami buat sementara waktu. Nanti bila Datuk dah sihat, kita bincang lain,” cadang Haji Dzulqarnain.

“Tak menyusahkan Haji sekeluargakah? Dari dia tinggal sorang-sorang, lebih baik dia tinggal dengan Haji. Tapi itulah saya malu sebab menyusahkan Haji sekeluarga,” balas emak Fayqa.

“Eh, apa pula menyusahkan, saya pula yang malu sebab sejak Fayqa duduk dengan kami, anak-anak saya mengada-ngada, semua jadi berat tulang. Fayqa tu dengan anak-anak saya dah jadi macam adik-beradik. Dengan Dzalia dan Dzureen, rapat bukan main,” jawab Hajjah Azimah, Dzariff di sebelahnya dijeling-jeling. Peristiwa subuh tadi sudah dijelaskan oleh Dzariff tapi Hajjah Azimah sudah sedar, ada gadis bukan mahram di rumahnya, dia perlu pantau tingkah laku anak lelakinya dengan lebih berhati-hati.

Sedar makna jelingan ibunya, Dzariff membuat riak selamba. Khilaf, walaupun sesaat, tetap khilaf.

“Kak Zee tolong saya pujuk Lara ya. Dia beria-ia hendak cari bilik sewa. Kalau dia tinggal dengan Kak Zee, tak adalah saya bimbang sangat. Sudahlah papa tirinya sakit teruk begini,” kata Puan Hafizah sebelum melangkah ke dalam ruang menunggu Unit Jagaan Rapi untuk memanggil Fayqa yang sedang membacakan Yassin untuk bapa tirinya.

Fayqa mengikut emaknya bertemu Haji Dzulqarnain suami isteri serta Dzariff dengan wajah yang merah padam. Kalau boleh, memang dia tidak mahu berjumpa dengan keluarga Dzahim lagi. Malu dengan perangai tidak senonohnya subuh tadi, malu dengan Dzariff tentang peristiwa menampar bekas madu Mamanya, malu dengan status Mamanya sebagai isteri nombor tiga, malu segala-galanya.

“Fayqa, Mama Fayqa sudah berbincang dengan Achik, dengan Pak Cik Nain, dengan Abang. Mama Fayqa bersetuju biar Fayqa duduk dengan keluarga Achik sementara Mama Fayqa menjaga Uncle Fayqa,” lemah lembut Hajjah Azimah memujuk anak gadis yang sudah dianggap bagai anak sendiri.

Makin tebal rasanya muka Fayqa. Malu sungguh dengan Achik Zee, macam-macam yang Fayqa buat, tapi Achik Zee masih lagi melayan Fayqa dengan penuh kasih sayang.

“Tak apalah Achik Zee. Biarlah Fayqa duduk di bilik sewa macam dulu, bukan Fayqa tidak biasa. Dah cukuplah Fayqa menyusahkan Achik sekeluarga,” Fayqa cuba mengelak.

“Siapa kata awak menyusahkan kami? Awak yang kata hidup awak cukup complicated dan awak tak nak rumitkan lagi. Bukankah duduk di bilik sewa itu rumit? Jadi awak sendiri yang buat hidup awak semakin rumit,” tajam komen Dzariff, terkejut emak Fayqa yang tidak biasa dengan caranya. Haji Dzulqarnain suami isteri pula sudah biasa dengan cara Dzariff menegur adik-adik.

“Saya rasa lebih mudah kalau saya hidup sendiri...”

Belum siap ayat Fayqa, Dzariff sudah memotong, “Mudah untuk siapa? Mudah untuk awak saja. Awak ada fikirkan emak awak? Mudahkah dia melepaskan anak gadisnya hidup sorang-sorang di Kuala Lumpur ini? Don't be selfish, Fayqa.”

Fayqa yang tadi tertunduk-tunduk malu, mengangkat muka merenung tajam wajah Dzariff, “Itu antara emak saya dan saya. Awak jangan masuk campur.”

“Salah, ini bukan hak awak untuk buat keputusan. You are not given a choice, Fayqa. Emak awak hendak awak tinggal dengan kami sementara bapa tiri awak tidak sihat. Tanggung jawab anak mengikut kata ibu. End of the story. Nanti bawa beg awak balik ke rumah.”

Berombak-ombak dada Fayqa menahan marah. Si jeneral sengal buat hal lagi! Emak Fayqa di sebelahnya hampir terlongo melihat cara Dzariff “menangani” keras kepala anaknya. Sudah bertahun-tahun Fayqa melayan keras kepalanya, kini buku sudah bertemu ruas. Perlahan-lahan terukir senyuman di bibir Puan Hafizah.