Monday 30 September 2013

Dia Seadanya Bab 14


A few hours before Oct 1st huh? Bagi yg nak tau apa hubungan antara Tareq & Inessa, awal2 sy minta maaf jawapannya di Bab 15, yg mungkin bab akhir DS di blog.


Mohon input dari teman2, sy budak br belajar...


Bab 14


Perempuan cantik itu namanya Inessa. Siapa Inessa? Kenapa semua orang nampak terkejut dan bagai tak suka Inessa ini datang? Soalan ini berlegar-legar di kepala Emmalyn. Takkan nak ditanya, kalau tanya pun tak pasti ada yang sudi menjawab. Sudahnya Emmalyn menjadi penonton, hanya memerhati Inessa memimpin anak kecil itu, melangkah ke arah beranda rumah Haji Abdul Aziz.


“Apa khabar Uncle dan Auntie?” sapa perempuan cantik itu. Sudahlah cantik lemah lembut pula. Tidak dijemput masuk, dia hanya berdiri di tangga, tangannya erat memegang tangan si kecil.


“Tareq dah lama balik? Kenapa tak bagi tau Nessa?” selembut pertanyaan, begitulah lembut sapaan mata Inessa ke arah Tareq.


Tareq menyepi, Hajjah Asma pula yang menjawab, “Tak ada sebab kenapa Tareq perlu bagi tau kepada awak ke mana dia pergi.”


Tersentak Emmalyn! Inilah kali pertama dia mendengar Hajjah Asmah bercakap dengan nada yang kasar dan bongkak. Drama apa ini?


“Tak adalah Aunty, kalau Nessa tahu Tareq balik ke Malaysia, awal-awal lagi Nessa dah bawa Aeril jumpa Papanya.”


Dagu Emmalyn jatuh ke lantai! Aeril jumpa Papanya? Papanya tu…. Tareq? Ye lah kan? Takkan papanya tu Andak Aziz!


“Melin! Jom tolong Uda basuh pinggan kat dapur!” suara Uda Jah yang memetir pun tidak dapat menggerakkan Emmalyn yang terkejut, masih tegak jadi patung cendana terbuntang mata merenung Inessa.


“Melin! Moh kita ke belakang,” tangan Emmalyn ditarik Uda Jah dengan kuat.


Bagai zombie Emmalyn melangkah ke dapur. Di telinganya terngiang-ngiang kata-kata Inessa, “….awal-awal lagi Nessa dah bawa Aeril jumpa Papanya.”


Uda Jah menyeret Emmalyn hingga ke sinki dapur, kemudian arahan diberi, “Basuh pinggan mangkuk tu, Melin!”


Sekali lagi bagai zombie, Emmalyn menurut arahan Uda Jah. Pinggan diambil, disental dengan span dan dibilas. Kepala masih terfikirkan tentang Inessa…dan ….anaknya….dan Tareq. Tareq suami Inessakah? Atau duda beranak satu? Kan betul aku kata hari tu… Tareq ini dark, mysterious and challenging!


“Aeril ikut Opah ye, nanti Opah bagi ais krim,” suara Uda Jah…. Siapa yang dipujuk? Laju Emmalyn berpaling ke belakang. Uda Jah masuk ke dalam dapur memimpin tangan si comel Aeril.


Melihat wajah Emmalyn yang terpinga-pinga, Uda Jah berbisik, “Orang-orang tua bertikam lidah, tak elok budak-budak dengar.”


“Melin, ambil ais krim dalam peti ais, kasi ke Aeril ni,” mengarah sahaja kerja Uda Jah. Lepas mengarah, dia berpatah balik keluar dari dapur.


“Uda! Uda nak ke mana tu?” Sungguhlah hairan Emmalyn….., dengan perangai Uda Jah, dengan perangai Tareq sekeluarga.


“Hush! Dendiam, Uda nak pegi tengok apekehei kat depan nun,” peringatan Uda Jah beserta jari telunjuk di bibir. Laju Uda Jah melangkah  ke hadapan, almaklumlah dia kan Angah Balom Clan – Online, nak pergi buat liputan beritalah tu!


Sudahnya tinggallah Emmalyn berdua dengan si comel bernama Aeril. Kau pandang aku, aku pandang kau. Bibir bawah Aeril sudah muncung terketar-ketar, tubir mata sudah berkaca. Entah apalah yang dilihatnya, didengarnya di hadapan tadi? Bergaduhkan mereka di beranda depan? Timbul rasa simpati kepada anak kecil ini. Walau siapa pun Papanya, dia tidak berdosa, malah menjadi mangsa drama orang dewasa.


Emmalyn merapati anak comel itu, lalu duduk punggung bertopangkan tumit di hadapan Aeril. “Jangan nangis sayang, Auntie Melin bagi ais krim ye. Aeril nak ais krim apa? Coklat? Stroberi? Eh, jom kita tengok dulu dalam peti ais ye. Apa agaknya ais krim yang ada. Auntie Melin suka coklat. Aeril suka ais krim apa?”


Cubaan Emmalyn untuk memujuk Aeril separuh berjaya. Soalannya terbiar sepi tidak berjawab oleh anak comel itu tetapi sebak di wajahnya sudah hilang. Laju tangan Emmalyn membuka pintu peti ais, sebekas kecil ais krim ditemui. Dengan cekap ais krim dicedokkan ke dalam sebuah mangkuk kecil dan diletakkan di atas meja. Tangan Aeril diraih dan anak kecil itu dibawa duduk di kerusi.


“Makan, sayang. Sedap ais krim coklat ni,” pelawa Emmalyn.


Aeril tidak berkutik, wajah Emmalyn direnung dengan mata bundarnya yang tidak berkelip.
Tidak biasa dengan aku agaknya, fikir Emmalyn. 


“Makanlah Aeril. Sedaplah ais krim ni,” pujuk Emmalyn.


Aeril masih tidak berkutik, matanya masih merenung wajah Emmalyn tanpa berkelip. Hairan Emmalyn. Agaknya anak comel ini sudah kenyang? Sudah makan sebelum sampai tadi. Atau…. dia anak manja yang perlu disuap?


“Auntie Melin suapkan, nak?” Emmalyn mencuba.


Angguk tidak, geleng tidak. Eh, budak ini tak reti bercakapkah? Terlintas di hati Emmalyn. Namun tangan Emmalyn bergerak juga, sesudu ais krim dicedok dan dihulurkan ke mulut Aeril. Tanpa banyak songeh, Aeril membuka mulutnya.
Eh, mahu pula dia makan, fikir Emmalyn. Berkerut dahinya memandang Aeril. Ais krim habis ditelan, Aeril kelihatan seperti menunggu lagi. Emmalyn mencedok sesudu lagi ais krim dan menghulur ke mulut Aeril. Seperti tadi, anak comel itu membuka mulutnya.


“Budak ini pendiam agaknya,” fikir Emmalyn.


Tiba-tiba terdengar nada suara-suara yang semakin meninggi dari hadapan rumah. Sekali lagi dahi Emmalyn berkerut. Macam semakin panas sahaja di luar sana.


Kerana tidak tahan ingin tahu, Emmalyn bangun dan berbisik ke telinga si comel, “Aeril makan ye, Auntie Melin nak ke depan. Kejaaaap je, okey?”


Bagai mata-mata gelap, Emmalyn menapak perlahan-lahan ke ruang tamu. Matanya meninjau-ninjau ke arah beranda. Terdengar suara kuat melengking Tareq dan esakan sendu Inessa.


“Dari dulu saya suruh awak buktikan! Awak yang tak mahu, tetapi awak tak habis-habis nak malukan saya dan keluarga,” kedengaran suara Tareq sedang marah.


“Tareq, sampai hati awak buat saya begini. Saya tak sangka betul lelaki yang saya sayang dan saya sanjung, sanggup buat saya begini,” balas Inessa, suaranya tenggelam timbul di celah-celah esakan.


“Tak habis-habis hendak tuduh anak saya. Kan saya dah katakan kalau awak tiada bukti, jangan datang cari Tareq, jangan datang cari kami!” boleh tahan keras suara Hajjah Asmah.


“Bukti? Bukti apa?” tanya si penyibuk Emmalyn.


Prang!! Bunyi benda pecah di dapur. Emmalyn yang mahu memasang telinga di sebalik tingkap terkocoh-kocoh berlari ke dapur. Apa sudah jadi pada Aeril? Dalam hati Emmalyn berdoa agar anak pendiam itu tidak apa-apa.


Tiba di dapur, kelihatan mangkuk ais krim sudah berderai pecah di lantai, manakala pakaian Aeril pula sudah kotor tertumpah ais krim cair. Mungkin kerana terkejut, mata Aeril buntang ketakutan, bibirnya sudah terketar-ketar. Siapa yang melihat pasti berasa kasihan!


“Tak apa, sayang. Tak apa, mangkuk pecah, Aeril bukan sengaja buatkan? Accident…nak buat macam manakan? Aeril jangan menangis ye sayang, Auntie Melin ada. Nanti Auntie Melin buang kaca pecah, cuci lantai. Aeril jangan nangis,” sambil memujuk, belakang Aeril diusap-usap. Rasa hati bagai nak peluk sahaja anak kecil yang ketakutan itu tapi bajunya kotor, penuh dengan ais krim cair yang tertumpah.


“Hmm..baju Aeril kotor, kita bersihkan dulu. Meh, Auntie Melin dukung Aeril ke bilik air.”


Dengan berhati-hati mengelakkan kaca pecah di lantai, anak comel itu didukung Emmalyn perlahan-lahan dan dibawa ke bilik air bersebelahan dengan dapur. Bimbang hendak suruh Aeril berjalan ke bilik air, bimbang jika anak comel itu terpijak kaca.


Di bilik air, Emmalyn menyuruh Aeril membuka pakaiannya dan mandi. Sementara itu, dia kembali ke dapur, mengutip kaca pecah dan mengemop lantai. Selesai kerjanya, dia menjenguk Aeril di bilik air. Astaga! Anak comel itu hanya berdiri kaku, pakaian yang kotor pun belum dibuka. Agaknya anak manja orang yang kaya yang semuanya dibuatkan oleh pengasuh, fikir Emmalyn.


Buat apa hendak dimarah, budak kecil! Lalu Emmalyn membantu Aeril membuka bajunya dan mandi. Usai mandi, Aeriil dibalut dengan tuala sementara Emmalyn membilas pakaian anak kecil itu dan dimasukkan ke dalam sebuah beg palstik untuk dibawa pulang.


Aeril yang hanya berbalut tuala dipimpin ke hadapan. Dari bunyinya, pertengkaran di beranda masih belum selesai. Emmalyn membuat keputusan untuk menerjah sahaja. Takkan hendak dibiarkan Aeril separuh bogel berbalut tuala sahaja.


Muncul Emmalyn dan Aeril di beranda, terdiam semua yang berada di sana. Terlalu sibuk “berdebat,” mereka bagaikan sudah terlupa yang Emmalyn dan Aeril ada di dapur.

Teragak-agak Emmalyn membuka mulut, “Baju Aeril kotor terkena ais krim tumpah. Saya mandikan dia. Bajunya saya sudah bilas, ada dalam beg ini,” beg plastik berisi pakaian Aeril dihulurkan kepada Inessa.


“Aeril!!” seru Inessa, tubuh anaknya segera diraih dan dipeluk. Wajahnya cemas bukan main. Agaknya bimbang anaknya terluka kena kaca pecah, fikir Emmalyn.


“Aeril tak apa-apa?” buat seketika tubuh anak dibelek, lalu selendang di kepala ditanggalkan dan digunakan untuk membaut bahagian atas tubuh Aeril yang terdedah.


Tareq yang melihat, berdengus dan melangkah masuk ke dalam. Terpinga-pinga kedua ibu bapanya serta para tetamu, baik yang diundang serta yang tidak diundang. Belum sempat sesiapa pun berbuat apa-apa, Tareq muncul semula dan gugusan kunci kereta di tangan.


“Ma, Tareq nak keluar. Tak boleh tengok muka perempuan ini lama-lama, terbakar hati saya,” Tareq membuka mulut. Nada suaranya masih keras dan tinggi.


“When I get back, you better be gone. Aku tak mahu tengok muka kau sampai bila-bila. Kau baliklah ke rumah kau dan esok aku balik ke Qatar. Jangan diungkit-ungkit lagi cerita basi kita. Sudah-sudahlah kau burukkan nama aku dan keluarga aku,” keras suara Tareq, bagai petir menghentam bumi.


“Tareq! Tareq! Don’t leave me again, please I need you,” rayu Inessa, sambil cuba meraih tangan Tareq yang laju meninggalkan beranda rumah ibu bapanya.


“Tareeeeeq… please, you are my only hope….” Inessa meraung bagai sudah hilang akal.


Emmalyn yang memerhati, terlopong mulut. Mata terkebil-kebil dan hati tertanya, “Dia nak balik ke Qatar? Esok?”

Wednesday 18 September 2013

Dia Seadanya Bab 13


Kata seorang penulis popular, tak perlu naikkan bab DS lagi sebab minggu lepas sudah banyak saya naikkan. Tapi saya ini naikkan bab mana ada strategi. Asal terasa nak naikkan, saya naikkan. Itu yg skrg sampai 2 mss perlu disiapkan.

Mlm ni selagi tak naikkan bab, saya tak boleh tidur. So here is chap 13.


BAB 14 SAYA AKAN CUBA NAIKKAN AWAL OKTOBER, sebab 2 minggu ini saya sangat sibuk dgn kerja. Bukan sengaja nak nobatkan diri jadi Queen of Cliffhanger ok.

Saya cakap awal2 sbb kesian readers yg kata hari2 check blog kalau2 ada entry baru. OKTOBER ya!!


Camna? Cliche?




Bab 13


“Salam. Sabtu ni, Mama n Papa ada?” SMS dari Tareq.

Mama n Papa saja? Ish, macam mak bapa dia je yang disebut.

“Gi Parit Buntar, atok sedara sakit.”

“Sayang x pergi?”

Sayang?

“x”

“Ahad?”

“?”

Tidak sampai lima saat telefon Emmalyn berdering.

Bila diangkat, tanpa salam, tanpa bertanya khabar si Alpha Male berkata, “Sayang, cooperate boleh tak? My parents nak datang bincang pasal kita.”

Terkedu Emmalyn! Uiks, baru saja dia suruh jumpa Mama dan Papa semalam, pagi ini sudah berbincang pasal hendak datang? Bila dia berbincang dengan mak bapa dia?

“Okey,” itu sahaja yang Emmalyn boleh jawab.

“Okey Ahad?”

“Okey Ahad.” 

Selepas telefon dimatikan baru Emmalyn tersedar yang dia sepatutnya bertanya dahulu dengan Mama Papanya.

Selepas kerja, terus pulang ke rumah, tiada hati hendak ke gym. Rancangan Ahad dibisikkan ke telinga Mama. Puan Suhaila tersenyum lebar, bersyukur tidak terhingga kepada yang Esa kerana anak daranya bakal mendapat suami yang baik.

Sepanjang minggu itu hati Emmalyn berdebar-debar. Di pejabat berdebar, di rumah berdebar. Seminggu tidak ke gym, sebaliknya ke spa melulur badan, ke salon mencuci rambut, ke butik membeli baju. Entah mengapa taman hati berbunga-bunga penuh bahagia dan berasa mahu bikin diri jadi jelita.

Malam-malam si Alpha Male akan telefon dan mereka akan berbual-bual seketika. Berbual tentang keluarga, tentang kerja, tentang benda-benda yang mereka suka. Emmalyn tidak berani hendak bertanya tentang Ahad, bimbang dikira tidak sabar. Biarlah orang tua mereka yang menentukan. Yang dia pasti tidur malamnya lebih lena, dipenuhi dengan mimpi yang indah-indah.

Awal pagi Sabtu, ibu bapa Emmalyn ke Parit Buntar. Emil tolong pandu kereta, manakala Emmalyn tidak mahu mengikut, mahu membasuh dan menggosok baju kerja.

Pukul 8 pagi, telefon berbunyi menandakan pesanan ringkas masuk, “Jom jogging.”

“Nak basuh baju.” Serius hari Sabtu adalah hari membasuh dan menggosok baju sedunia bagi Emmalyn yang bekerja.

“Tsk, boringnya. Hantar dobi je.”

“Hari Sabtu, hari dobi sedunia saya.” Jawapan Emmalyn mengundang senyum kecil di bibir Tareq.

“Tukang dobi pun perlu tenagakan? Jom breakfast!”

Pasal makan, tak perlu ajak dua kali, terus Emmalyn menjawab, 

“Jom.” Yay!! Pagi-pagi sudah dating dengan buah hati.

Ingatkan mahu ke kedai mamak, makan roti canai dan minum teh tarik. Sebaliknya si Alpha Male bawa dia ke kedai dim sum.

“Dim sum okey?” tanya Tareq sambil memarkir kereta.

“Okey,” jawab Emmalyn, hati sudah suka, semuanya okey.

Sedap makan, seronok berteman. What a perfect lazy Saturday!

Usai makan, masuk ke kereta, Tareq memandu ke arah Kampung Tersusun Tasek, bukannya ke Rapat Setia.

“Tareq! Kita nak ke mana ni?” suara Emmalyn sudah meninggi.

“Mak mertua awak pesan suruh kidnap. Dia nak ajar menantunya masak, dia takut anaknya kebulur lepas kahwin nanti,” sambil mengutuk, bibir Tareq tersenyum manis. Haila cair… cair….macam mana nak marah? Terima sahajalah hakikat yang awak tu tak pandai masak, Emmalyn!!

Melihat muka Emmalyn yang masam kena kutuk, Tareq mengusik, “Petua masak nombor satu, muka jangan masam. Nanti lauk yang dimasak jadi tak sedap.”

Hai, kita diam tak menjawab, menjadi-jadi perli si Alpha Male sorang ni! Surat khabar di riba diambil dan paha Tareq dipukul.

“Adoi! Brutalnya anak dara Pak Cik Ehsan ni,” Tareq pura-pura mengeluh, “tapi yang brutal-brutal nilah yang seronok!”

“Eeee….Tareq…. malulah!!” Jenaka-jenaka lucah memang Emmalyn tak nak layan.

Yang malu-malulah yang paling seronok, bisik hati Tareq sambil menjeling ke arah si dara di sebelah.

Kain baju sebaldi belum berbasuh, aku pula bertandang ke rumah orang, alahai Emmalyn, keluh si bakal menantu dalam hati. Hajjah Asmah menyambutnya dengan pelukan dan ciuman di kiri kanan pipi. Bila diberitahu Tareq yang mereka sudah bersarapan, Hajjah Asmah terus membawa Emmalyn ke dapur. Tareq mengekor bagai tidak mahu berenggang dari si buah hati.

Hajjah Asmah mengeluarkan bahan-bahan masakan ke atas meja. Bahan-bahan basah seperti ikan dimasukkan ke dalam sinki. Rasa segan menebal dalam hati Emmalyn. Itulah dia, faedah duduk serumah dengan Nawwal Husna yang pandai memasak, makan sentiasa sedap. Tapi dek kerana Una yang sentiasa masak semasa di Southampton, Emmalyn hanya pandai kupas dan mayang bawang.

“Melin tak pandai masak, Andak Mah,” buat pengakuan sahajalah, buat apa nak tipu.

Sengih sahaja Tareq yang mendengarnya, sedikit pun tidak pandang rendah kepada Emmalyn. Dia suka sikap gadis itu yang sentiasa berterus terang. Senang berkongsi hidup dengan orang yang tiada agenda tersembunyi. Lagi pun, memasak ni boleh belajar.

“Tak apa, Melin. Asalkan mahu belajar, nanti pandailah,” lembut jawapan Hajjah Asmah. Gadis baik hati dan budi macam Emmalyn ini satu dalam seribu. Sejuk hatinya jika dia dan Tareq bersatu. Sudah-sudahlah dengan pengalaman buruk yang Tareq lalui. Biarlah dia balik ke Malaysia, mulakan hidup baru dengan gadis sebaik Emmalyn.

"Tareq mmg suka sangat gulai tempoyak," Hajjah Asmah mula berkongsi maklumat, balang tempoyak dikeluarkan dari kabinet dapur.


"Di Qatar ada ke tempoyak?" seingat Emmalyn, belajar di U.K. dulu pun tak pernah jumpa tempoyak.


"Buat apa nak cari tempoyak di Qatar. Orang yang nak makan tu ada di Malaysia," selamba Tareq menyampuk.


"Awak tak nak balik ke Qatar?" si lurus bendul Emmalyn bertanya.


"Awak nak ikut ke?" balas Tareq, wajah Emmalyn direnung tenang.


Terkejut dengan soalan Tareq, Emmalyn memandang ke arah Hajjah Asmah. Senyum lebar si ibu yang memasang telinga.

“Tahu siang ikan tak?” tanya Tareq. Ikan keli di dalam sinki diangkat lalu ditayangkan kepada Emmalyn.

Muka Emmalyn cemberut, marah dengan Tareq yang sengaja memalukannya di hadapan Hajjah Asmah. Sudah tahu orang tak pandai masak, depan emaknya jugalah nak bertanya. Tetapi kepalanya digeleng-gelengkan juga, memang tak tahu. Ikan mentah kalau dibeli di England, memang sudah siap bersiang.

“Sinilah,” panggil Tareq, kepalanya digerakkan tanda menyuruh Emmalyn datang ke sinki.

“Hah?” Mamat tangan berketul-ketul ini nak ajar aku siang ikan?

“Sini,” nada suara sudah meninggi sedikit, bagai bercakap dengan anak kecil yang degil.

Emmalyn mengerling ke arah Hajjah Asmah, bagai mahu minta pertolongan. Wanita separuh umur itu hanya tersenyum lembut. Suka hati bukan main melihat kemesraan antara Tareq dan gadis yang diharapkan bakal menjadi menantunya.

Tareq yang berdiri berhampiran sinki dirapati, “Awak nak saya buat apa?” tanya Emmalyn cuak.

“Siang ikan,” jawap Tareq, keningnya dijungkit, bagai mencabar Emmalyn.

Emmalyn pandang ikan, pandang Tareq, pandang ikan, pandang Tareq. Mahu hancur ikan ni aku kerjakan nanti. Habis tu apa yang hendak dimasukkan ke dalam gulai?

Melihat muka Emmalyn yang cuak, Tareq melembutkan suaranya, 

“Abang siang seekor, nanti Lin siang seekor ye.”

Anak sebut dirinya Abang, mak pula yang semakin lebar senyuman.

Ikan keli dipotong ekor, dibuang isi perut, dikerat dan dimasukkan ke dalam besen.

“Dah tahu siang ikan?” tanya cikgu kepada murid.

Si murid terkebil-kebil memandang cikgu. Siang ikan? Macam mana ek? Dia tunjuk tadi aku asyik perhati lengannya yang berurat-urat. Liur ditelan.

“Lin, tahu tak?” ulang Tareq sekali lagi.

“Demo sekali lagi boleh?” minta Emmalyn, mata berkelip-kelip sebab termalu asyik pandang lengan berurat Tareq bukan ikan yang disiang.

“Kelip-kelip mata kat cikgu, kena denda siang ikan. Nah,” seekor ikan keli diletakan di atas tapak tangan Emmalyn.

“Mak! Gelilah!” Kalau betul emak yang diseru ada di situ, tentu malu si emak dengan perangai anak daranya.

Tareq ketawa berdekah-dekah. Emmalyn bukan awek gedik. Kalau disebut geli, maka memang betul gelilah dia.

“Siang ikan geli, makan tak geli,” marah cikgu, konon.

“Tareq, serius licin badan dia.”

“Itulah ikan keli namanya. Ambil, siang,” Tareq mengarah.

Ish, jangan kasi malu Mama, Emmalyn. Dahlah Andak Asmah pun ada di sini. Mahu tak mahu, ikan geli diambil dan disiang.

Perlahan benar Emmalyn membuat kerja, sehinggakan Tareq bertanya, “Apasal tak reti masak?”

Malu besar, okey! Hot tak hot, mamat ni mulut tak bertapis!

“Orang anak manja Mamalah!” bisik Emmalyn, tidak mahu Andak Asmah dengar.

Tersembul tawa kecil Tareq. Emmalyn ini walau apa keadaan pun, tetap akan berterus terang.

“Kat U.K. makan apa?”

“Una tu terror masak kalah Chef Wan tahu. Saya dan Pet tukang kupas bawang saja,” sekali lagi jawapan Emmalyn mengundang tawa Tareq.

“Kahwin nanti?” sergah Tareq.

Terdiam Emmalyn, muncung bibirnya. Hmph, kahwin kau nak, Emmalyn, belajar masak malas. Ha, sekarang ni belajarlah betul-betul.

Tekun betul Emmalyn belajar masak dengan Tareq dan ibunya. Rupanya sudah bertahun hidup di rantauan, Tareq memang pandai memasak. Siap masakan, mereka berhidang dan makan bersama-sama. Sambil makan, sambil bersembang. Abang sulung Tareq, Sohair dan isterinya bekerja sebagai guru di Taiping. Adiknya, Ziyyad bekerja dalam bidang IT di Johor.

Usai makan tengahari, mereka solat zohor bersama-sama. Fikir Emmalyn selepas solat, Tareq akan membawanya pulang. Rupanya Hajjah Asmah mahu mengajaknya masak pengat durian untuk minum petang pula. Teringat juga Emmalyn kepada kainnya sebaldi yang belum berbasuh. Mahu berkeras pulang, Hajjah Asmah mengingatkan rezeki jangan ditolak. Dek sebab malu alah, Emmalyn masuk ke dapur kali kedua.

Pengat durian siap seperiuk, pulut Siam sedang dikukus, sampai lah Hajjah Khadijah a.k.a Uda Jah, saluran media rasmi Ngah Balom clan. Dapur Hajjah Asmah sudah menjadi Balai Berita pula. Respek betul Emmalyn pada Uda Jah pesara kakitangan kerajaan yang cekap menggunakan gajet. Gambar mereka masak bersama-sama diambil menggunakan telefon pintar, kemudia Uda Jah memuat naik ke Muka Bukunya. Baru sekejap sudah berpuluh ‘likes’ yang diterima. Antara komen yang diterima termasuklah “Bulan depan family kita kosong tak ada kenduri wei” dan dari adik Emmalyn, si Elyasa’, komen biasanya “Syabbas bette.”

Riuh rendah jadinya dengan kehadiran Uda Jah. Pulut dan pengat durian dinikmati di beranda sambil bersembang-sembang. Emmalyn selesa sangat dengan ibu bapa Tareq. Walau pun dia tidak pandai masak, Andak Asmah rileks sahaja. Manakala Andak Aziz, bapa Tareq memang sempoi orangnya.

Puas makan pulut dan pengat durian bertambah dua tiga kali, Emmalyn mula mengemas. Sebentar lagi tentu Mama dan Papa pulang dari Parit Buntar. Pinggan mangkuk kotor disusun ke atas dulang, Tareq tolong angkat ke dapur. Emmalyn sedang mengelap meja semasa sebuah kereta Audi putih menjalar masuk ke halaman rumah Haji Abdul Aziz. Terberhenti sembang di beranda, semua mata tertumpu ke arah kereta mewah tersebut.

Audi berhenti di hadapan rumah. Seorang wanita berbaju kebaya biru, bertudung kain chiffon putih keluar dari kereta dan membuka pintu penumpang. Seorang budak lelaki dalam lingkungan usia lima tahun turun, lalu dipimpin wanita itu berjalan menuju ke beranda.

“Siapa tu?” tanya Emmalyn sambil mengalih pandangan ke arah Hajjah Asmah.

Terkejut Emmalyn melihat muka ibu Tareq bagaikan toreh tidak berdarah. Dahi Haji Abdul Aziz berkerut, mulutnya rapat diketap. Uda Jah sudah ternganga.

“Siapa tu?” kali ini cuma di dalam hati.

Tareq yang baru sudah menghantar dulang berisi pinggan mangkuk kotor ke dapur muncul di pintu depan.

“Inessa!!”

Soalan Emmalyn terjawab akhirnya.