Tuesday 29 July 2014

Dia Seadanya Bab 21 (Belum siap)

Dalam teruja SF nak terbit, tangan ni masih gatal hendak upkan 1 bab DS. Maka terima lah....

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN. MINAL AIDIL WAL FAIZIN.  Love you gals!


Bab 21


Jam lima setengah petang, tetamu-tetamu sudah beransur pulang, yang tinggal hanya saudara-mara yang membantu mengemas. Tareq mengajak Emmalyn ke bilik, mahu mandi dan menukar baju. Geng kutu rayau pun balik ke hotel kerana sebentar lagi mereka mahu bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

Keluar dari bilik air, Emmalyn melihat Tareq sudah segak bersiap, berpakaian berjenama. Bukan kemeja T Pagoda.

“Eh, nak ke mana? Takkan nak cuci periuk pakai segak-segak begini?” cuak rasa Emmalyn.

“Abang segak ya?” Tersenyum simpul Tareq mengusik isterinya. Perasan pun ada sebab kali pertama dipuji isteri.

Tersipu-sipu penganti perempuan. Usikan suami diabaikan dek kerana malu. “Abang nak pergi mana ni?”

“Eh, pergi mana lagi? Lepas nikah, pergi bulan madulah.” Nakal sinar mata Tareq, jelas ada rahsia yang disembunyikan.

“Melin tanya betul-betul ni,” tegur Emmalyn sambil menyikat rambut. Baju sudah dipakai dalam bilik air tadi, pengantin baru segan hendak tukar baju di hadapan suami.

“Abang pun cakap yang betullah.” Sejadah dibentang, selepas berastaghfar beberapa kali, niat solat dibaca lalu khusyuk Tareq mengadap Penciptanya.

Cakap betul? Bulan madu? Hari ini juga? Ke mana? Bertubi-tubi soalan muncul di minda Emmalyn. Bab merayau ni jangan buat main dengan Emmalyn. Selagi tak tahu destinasi bulan madunya, selagi itu, Emmalyn tak senang duduk. Sudahnya dengan dia terpaksa juga duduk di birai katil, menunggu suaminya selesai solat. Usai solat, Tareq berzikir pendek dan berdoa.

Elok sahaja, doa diaminkan, sepantas kilat Emmalyn merapati suaminya, duduk di sebelah berlapikkan tumit. Sang suami pula hanya melemparkan senyuman manis, suka benar mengusik isteri.

“Aaaabaaaaaang!” geram Emmalyn.

“Ye, sayang….” lembut Tareq menjawab.

Care to explain?” urrghhh! Tak sabar nak tahu!

About?” Tareq pura-pura tidak faham.

Rasa geram Emmalyn memuncak. Ada tak kes suami mati kena cekik pada hari perkahwinan? Black Widow pun bunuh pasangannya selepas bersama.

The honeymoon?” mencerun mata Emmalyn, nak pastikan Tareq cakap betul atau hanya mengusik.

“Yup. Honeymoon… you…and me…… travel together….” sengaja ayat tak dilengkapkan, mode mengusik tak habis-habis.

Wajahnya dirapatkan ke wajah suami, “When?

Today.” Sepatah sahaja jawapannya.

Hah! Hari ini juga? Wajah dirapatkan lagi, “Where?

Giliran Tareq pula merapatkan wajahnya, hingga tinggal hanya seinci jarak di antara mereka, “Ssssss….. secret!” Chup! Sebuah ciuman hinggap ke pipi Emmalyn.

“Aaaabaaaaaaang!!” protes Emmalyn, diikuti dengan tamparan ke bahu Tareq.

“Eh…. Ganas pula dia…,” Tareq buat-buat terkejut. Sedetik kemudian, aura nakal muncul semula, “I like!”

Jenuh Emmalyn merayu Tareq untuk memberitahu destinasi bulan madu mereka. Tareq pula bersungguh-sungguh merahsiakannya. Emmalyn disuruh bersiap dan jika dia sempat bersiap dalam masa dua puluh minit, sebuah klu akan diberikan. Apa lagi minah kaki rayau tu bukan main kalut menukar baju. Berdekah-dekah Tareq ketawa, sisi Emmalyn yang ala Mr. Bean ini sungguh menghiburkan. Sebelum kahwin dulu, dia fikirkan isterinya ini cool habis. Rupanya kena usik sikit, habis bertabur cool-nya.

“Abang, dua puluh minit mana sempat nak pack my bag!” kompelin Emmalyn, tangan memasang tudung ke kepala, mata menjeling jam di dinding.

“Beg dah siap pack,” suami kaki usik memaklumkan.

Dua buah back pack besar sudah siap sedia berisi pakaian mereka berdua tersandar di belakang pintu bilik.

“Abang, siapa pack beg Melin?” hairan!

“Una dan Pet.”

“Ha?!!”

“Don’t worry. Una dan Pet kata semua baju dan barang yang Sayang selalu bawa derang dah pack-kan.”

“Yang kecil-kecil pun?” Bertuah betul budak dua orang tu!

“Puan Emmalyn, yang kecil-kecil tu awak tak perlu. Kan namanya bulan madu!”

Astagaaaaaaa!!! Meruap merah muka Emmalyn, berdesup dia lari keluar dari bilik pengantin.

Meletus tawa Tareq. Seronok sungguh mengusik isteri. Dulu sebelum kahwin, Emmalyn tu cool cat habis. Lepas kahwin, manja macam kucing Parsi. Lebar senyuman pengantin baru.

Malu juga Emmalyn dengan saudara maranya yang sibuk mengemas dan mencuci. Sedap-sedap saja dia dan Tareq pergi berbulan madu, tinggal segala pinggan mangkuk dan periuk belanga kotor.

“Alah pergi sajalah. Kami dah biasa buat kerja ni,” halau Uda Razak, “kalau kamu tak nak pergi, Melin, bior Uda aja yang pergi. Seken hanimun, kata orang.”

Bersahut-sahut tawa sanak saudara. Berselang seli dengan usik-usikan. Emmalyn sudah tidak tahan. Terkocoh-kocoh dia bersalaman dengan sanak saudaranya. Ucapan terima kasih di atas bantuan mereka melancarkan majlisnya tidak putus-putus di bibir. Kemudian terus dia masuk ke dalam perut mini van kepunyaan Zahrain Alimin yang sedia menanti.

Rupanya semua sudah diatur dengan teliti. Zahrain dan geng kutu rayau akan menghantar pengantin baru ke KLIA.

“Sempatkah, Bang? Flight kita pukul berapa? Check-in? Passport ada? Visa perlu?” bertubi-tubi soalan dari Emmalyn.

“Em!” sergah Iman Fatihah, “just sit back and enjoy!”

“Abang Tareq, Em ni control freak. Setiap kali kami pergi merayau dia yang rancang semuanya, dari tiket kapal terbang atau keretapi, booking hotel, aktiviti. Pendek kata dari A to Z. Ha! Kali ini biarlah suami awak pula yang merancang."

Mencerlun mata Emmalyn memandang Iman Fatihah. Pet si mulut tempayan ni bukan boleh diharap, nanti entah apa-apa rahsia aku yang dia buraikan.

"Yalah, Em. Sit back and relax. I am 200% confident that Abang tareq will take care of you and the travel plans," sokong Nawwal Husna.

Apa lagi makin lebarlah senyuman pengantin lelaki, kena puji dengan kawan-kawan baik di hadapan isteri.

"Abang! Tadi Abang kata kalau Melin boleh siap dalam masa 20 minit, Abang akan bagi klu.... Bang... cakaplah Bang, kita nak honeymoon ke mana ini?"

(erk...dah pl 2 pg, sambung esok arr)


Wednesday 23 July 2014

Seteguh Fayqa - Cover!!

Alhamdulillah! Rezeki Ramadhan

SF adalah novel saya yang paling mencabar, maka bila ianya diterbitkan ada bittersweet feelings

Khabarnya, ada di pasaran pada 5 atau 6hb Ogos, bagus2 boleh beli pakai duit Raya

he he

p/s: happy dgn cover berlatarkan Cameron Highlands, my family has lots of sweet holiday memories there. Sekali pandang cam iras2 novel Syah Shah, bukan plagiat tetapi babak di CH ni lah yg readers sebut nak sebagai cover. Am just a people pleaser :)




Saturday 12 July 2014

Puppy Love (Bhg ke 2)

 Rasanya cerpen ini akan kekal dengan tajuk asal 'Puppy Love.' Baca dan bagi tau kpd sy, seswai tak tajuknya.

This part is especially for Lena Abdul & Amy Zainuddin.

Err..cerita belum habis tetapi dah ada gaya macam nak jadi cerpan (bukan cerpen). Niway, tak ada Bhg ke 3 ya, sebab saya nak hantar cerita ni ke sebuah penerbit. Mana tahu ada rezeki untuk dimasukkan ke dalam kompilasi cerpen sykt ini. Nanti kalau saya tulis sampai ending, tak boleh diterbitkan pula :)

Enjoyz!!

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - 


“Abang? Abang mana pula ni? Tengok pun tak pernah. Bukan sepupu sepapat kami. Agaknya kawan Abang Yeh….. Lantaklah dia, Ne’a,” omel Siti Soleha sendirian di dapur, kepala masih terfikirkan lelaki yang makan semeja dengan abangnya.

Dalam rumah penuh dengan jemputan, di laman rumah penuh dengan jemputan.  Jawabnya Siti Soleha kembali memerukkan diri di dapur. Kalau ikutkan hati mahu dia masuk ke dalam bilik tidur dan kunci pintu sampai ke subuh esok. Itulah perkara pertama yang terlintas di benaknya bila dia melihat Azrul Fahmi  melangkah masuk ke dalam rumahnya beberapa minit sebelum azan maghrib tadi.

Memang Encik Bekas itu perasan bagus. Putus tunang ikut suka hati dia, lepas itu selamba badak pula datang rumah bekas tunang. Mukanya langsung tiada rasa bersalah, santai sahaja dia bersalaman dengan Papa dan Abang Yeh.  Dulu pun Siti Soleha bukan berkenan sangat dengan akauntan lulusan luar negara itu. Mama yang terlebih berkenan hendak buat menantu. Nak-nak pula Mama memang sudah berpuluh tahun mengenali Auntie Chah, mak Azrul Fahmi. Sepanjang setahun bertunang, Siti Soleha mendidik hatinya untuk menyayangi lelaki yang disangka bakal menjadi suaminya. Tup-tup, tiada angin, tiada ribut, Auntie Chah dan Uncle Jak datang ke rumah dan minta maaf, Azrul Fahmi sudah seminggu bernikah. And no… bukan bernikah di sempadan, tetapi bernikah di Johor Bharu, akad nikah di rumah pengantin perempuan.

“Kami terpaksa….. buat hantaran bagai…. Maruah keluarga kena jaga juga kan?” terang Auntie Chah dengan linangan air mata yang tak henti-henti.

Ha! Itulah kata kuncinya….. maruah! Azrul Fahmi buat dia bagai dia tidak bermaruah. Kalau barang di kedai pun, nak ambil, nak pulangkan kena beritahu tuannya. Kalau Azrul Fahmi tidak mahukan Siti Soleha, buatlah cara elok-elok, datang putuskan secara beradat dengan keluarga.

“Sudah dia lanyak maruah aku, eeeii selamba badak sahaja datang malam ni!” menyumpah-nyumpah mulut Ne’a.

Nasib baiklah pinggan mangkuk dan cawan piring kotor tak henti-henti dihantar masuk ke dapur. Ada alasan kukuh untuk Ne’a terus berada di dapur. Sekali lagi telefon Ne’a berkelip-kelip. Tangan dilap, telefon dicapai.

“Ceh! Abang Yeh ni, nak kopilah pula. Sekali sekala balik, banyak akal sungguh.”

Dengan abang sulung kesayangan, mulut membebel tetapi hati tak sampai hendak bantah. Tak sampai berapa minit, siap kopi seteko. Ne’a letakkan dia atas dulang kecil lalu ditatang keluar.

Baru dua langkah keluar dari pintu belakang, Encik Bekas datang menegur, “Berat teko tu, Ne’a. Biar Abang tolong bawakan.”

Terhenti langkah Ne’a, wajah Azrul Fahmi direnung dengan kening bertaut. “Biar betul mamat ini? Nak tolong bawa tekolah pula. Tolong belah, boleh?”

Bebelan cuma dalam hati. Tanpa sebarang kata, dulang kopi diserahkan kepada Encik Bekas. Ne’a patah balik ke dalam dapur, ambil beberapa biji cawan dan piring, susun di atas sebuah lagi dulang dan melangkah ke pintu belakang semula.

Eh! Ada lagi Encik Bekas berdiri tegak di luar pintu. Setia menunggu.

“Setia? Heh!” Ne’a cemuh dalam hati.

Mode bisu diteruskan, Ne’a melangkah ke arah meja abangnya di bawah khemah. Dulang berisi cawan dan piring diletakkan ke atas meja. Dulang berisi teko kopi pun tiba juga. Elok diletakkan ke atas meja, tukang bawa kopi pula selamba duduk di kerusi sebelah bakal-abang-ipar-tak-jadi. Bukan sahaja duduk tetapi wajah Ne’a direnung bagai pungguk merenung bulan.

“Ya Tuhan, berilah aku kesabaran agar aku tak simbah air kopi seteko ini ke atas kepala Encik Bekas ini,” sempat Ne’a berdoa. Mulut pula membebel, “Abang tu kan ada kopi,” bibir dijuihkan ke arah meja sebelah, ada teko besar di atasnya, “nak juga torture Ne’a bancuh kopi lagi.”

“Itu teh tariklah. Abang nak merasa kopi kaw Ne’a, bukan selalu dapat rasa. Berkira sangatlah Ne’a ni.” Selamba Elyas mengutuk adik sendiri.

Kopi dituang ke dalam cawan.  Belum sempat Ne’a hulur, Tetamu Misteri sudah ambil dan cicip kopi panas itu.

“Ne’a bancuhkah ni?” tanya Tetamu Misteri dengan senyum simpul.

Apa punya soalan da? Teringin Ne’a nak jawab, “Tak, Neelofa yang bancuh.” Tetapi didiamkan sahaja, tak ingin hendak jadi gadis sinis.

“Dah besar Ne’a. Dah pandai bancuh kopi,” terbit lagi komen-komen pelik Tetamu Misteri.

Eleh, setakat bancuh kopi pun nak puji? Pelik. Psiko ke dia ni? Lagi satu apahal panggil aku Ne’a, Ne’a ni? Jumpa pun tak pernah.

“Laaaa, Yad,” Elyas menyampuk, “Dah berbelas tahun kau tak jumpa Ne’a. Bancuh kopi dia pass, masak nasi lauk out!” Adik bongsu kena kutuk lagi. “Lima belas ke enam belas tahun? Kali terakhir kau datang rumah kami masa Tingkatan Satukan?”

Pernah datang rumah? Lima belas tahun dulu? Siapa dia ni? Berkerut dahi Ne’a cuba mengingatkan semula siapa Tetamu Misteri. Kawan sekampungkah atau kawan sesekolah? Kenapa Tetamu Misteri ini ingat sangat pada Ne’a, wal hal Ne’a tak ingat dia pun?

“Ha’ah, lepas tu kami pindah ke KL, aku tak pernah datang lagikan?” Tetamu Misteri mengiakan.

Tidak senang dengan sesi ‘Jejak Kasih’ bekas tunangnya dengan mamat-entah-dari-mana, Azrul Fahmi meminta kopi. Terpinga Ne’a seketika, dia sudah terlupa yang Encik Bekas turut duduk di meja yang sama. Kopi dituang tanpa sepatah kata.

“Dulu masa Abang datang main-main kat rumah Ne’a, Ne’a baru masuk taska. Comel bukan main, gigi depan rongak. Sekarang ni dah tak rongak tapi comel juga lagi.”

Komen-tak-diminta dari Tetamu Misteri disambut dengan tawa besar Elyas. Memang Ne’a kecil-kecil dahulu comel sangat-sangat. Mata sepet, hidung penyet, tapi comel.

“Dulu mulut macam bertih jagung, penat Abang nak melayan soalan-soalan ‘bernas’ Ne’a. Sekarang ni Abang tengok Ne’a berat mulut. Ne’a tak ingat nama Abang tapi Ne’a tak tanya pun,” Tetamu Misteri cuba memancing.

“Pastikah Ne’a boleh ingat nama Abang?” cabar Ne’a. Mamat ini boleh masuk kategori jejaka perasan macam Encik Bekas juga agaknya.

“Okey, Abang cuba,” senyum simpul di bibir sudah melebar. “Ingat tak masa Ne’a panjat pokok rambutan tu,” jari menuding ke arah pokok di sudut halaman, “lepas tu Ne’a tak berani nak turunkan? Ne’a jerit-jerit suruh Abang Ne’a panjat pokok tolong Ne’a turun, tapi Abang Ne’a tak mau. Dia ugut nak biarkan Ne’a atas pokok sampai Ayah Ne’a balik? Jadi Abang yang panjat pokok, tolong Ne’a turun.”

Blank. Dahi berkerut. Sejujurnya Ne’a tak ingat. Kecil-kecil dulu dia suka panjat pokokkah? Sudahnya Ne’a menjungkitkan kedua belah bahu, tak ingat!

Tidak mahu mengalah, Tetamu Misteri mencuba lagi, “How about this one? Ingat tak masa kita pergi ke sawah. Mak Ne’a tak kasi tapi Ne’a nak ikut juga. Masa menyeberang sungai guna titi batang kelapa, Ne’a jatuh ke dalam sungai? Abang yang terjun tolong Ne’a.”

“Dia melalak punyalah kuat. Wal hal air sungai tu dalamnya setakat pinggang saja,” komen selari Elyas sambil ketawa mengekek-ngekek.

“Iyalah setakat pinggang Abang, Abang besar tapi Ne’a kecil masa tu. Nasib baik tak lemas,” sakit hati Ne’a dengan komen Elyas, sedap mulut sahaja kutuk dia kaki melalak.

“Haaa…ingat pun Ne’a ….,” Tetamu Misteri tersenyum puas.

“Jatuh sungai Ne’a ingat. Siapa yang tolong, Ne’a tak ingat.”

“Ya Allah, mamat-perasan-nak-jadi-hero ni tarik Ne’a keluar dari sungai pun Ne’a tak ingat? Kalau tak ada dia, Ne’a dah jadi arwah tahu,” bunyi mulut-tak-de-insuran si abang.

“Choi, Abang ni,” kuat bahu abang ditampar. Geram.

“Okeylah, Abang tolong Ne’a ingatkan,” kata Elyas dengan senyuman nakal mula terukir di bibir, “Cuba jawab soalan ni. Kali pertama Ne’a tulis surat cinta, Ne’a hantar kat siapa?”

Surat cinta pertama? Surat cinta….. pertama! Laju mata Ne’a menuju ke raut wajah Tetamu Misteri. Mata bertembung, senyuman yang terpalit di bibir si dia, manis sungguh manis. Senyuman manis macam …..

Perlahan-lahan jari telunjuk dihalakan kepada Tetamu Misteri, teragak-agak mulut Ne’a menyebut, “A…… Abang……”
Dengan mata yang bersinar galak, dengan senyuman meleret-leret, si Tetamu Misteri sendiri menyambung, “…..Handsome!”

Terburai tawa besar Elyas dan temannya. Azrul Fahmi yang sedari tadi hanya menjadi penonton berasa jengkel kerana tidak tahu hujung pangkal jenaka Elyas dan temannya. Ne’a pula membahang rasa mukanya….

Oh no….. ini Abang…. Ei…..Eiyaad? Abang Eiyaad yang aku declare aku cinta kat satu family masa tadika dulu? Mak!! Maluuuuuuu!!!” jerit dalam hati sahajalah. Kalau jerit betul-betul, buat malu dengan tetamu-tetamu yang ada.

Buat kali kedua malam itu, Ne’a rasa macam hendak lari masuk ke dalam bilik tidur dan tak mahu keluar-keluar lagi. Tetapi melihat Eiyaad Abdul Aziz ketawa sehingga terhinggut-hinggut bahu, pesonanya kepada lelaki itu datang kembali. Dan Ne’a tersedar yang dia masih mengingati nama penuh lelaki kacak ini.

Tekak rasa kering. “Oit, tutup mulut, Ne’a, pandang lelaki sampai rahang jatuh ke tanah?” Mata terkulat-kulat, mulut ditutup.

“Ha! Ne’a dah ingat Abang, duduklah,” tetamu pula menjemput tuan rumah duduk. “Lama tak jumpa Ne’a, Abang teringin nak tahu apa perkembangan Ne’a sekarang.”

Perkembangan? Sesaat Ne’a menjeling kea rah Azrul Fahmi. Perkembangan terkini, saya dah jadi bekas tunang orang, Abang.

“Duduklah, Ne’a. Yad ni dari tadi bertanyakan Ne’a. Mana ‘budak kecik’ yang jatuh cinta kat aku tu, dia tanya,” tawa Elyas terburai lagi.

“Sadislah, Abang ni!” marah Ne’a, muka sudah mencuka.

Kerusi ditarik, lalu dia melabuhkan punggungnya. Kalau dia lari masuk ke dalam rumah, agaknya berbulan-bulan dia akan jadi bahan jenaka abangnya. Sekarang ini, dia perlu duduk di hadapan puppy love-nya dan bertahan, bertahan, bertahan dengan usikan abang. Dengan cara ini, moga-moga usikan Abang hanya semalam ini sahaja.

“Sadis? Ne’a tu yang sadis. Kecil-kecil dulu asyik torture Yad saja. Mana Yad pergi, nak ikut. Kalau orang tak bagi ikut, mulalah melalak. Mak pening kepala dengar Ne’a melalak, Yad pun kena paksa bawa Ne’a. Sampai nak pergi tengok wayang pun kena bawa Ne’a. Spoil sungguh. Orang nak tengok cerita action, aleh-aleh kena tengok cerita kartun,” panjang Elyas membebel.

“Bisinglah Abang ni! Bukan Abang yang tengok kartun, Abang tengok cerita action tu dengan kawan-kawan yang lain. Abang Eiyaad yang temankan Ne’a tengok kartun,” bersungguh-sungguh Ne’a mempertahankan diri.

Baru sahaja Elyas mahu membalas serangan kata adiknya, isterinya muncul, “Abang, tolong ambil tin susu Fana dalam kereta. Siang tadi Min lupa nak bawa masuk ke rumah. Kunci kereta dengan Abang kan?”

Elyas, si suami mithali segera bangun dan melangkah ke arah kereta, “Baik-baik kau duduk dengan dia, Yad. Nanti entah apa-apalah dia torture kau lagi.” Tawa besarnya mengiringi langkah kaki.

Ne’a mencemikkan mukanya kepada Elyas. Geram betul! Kalau nak mengusik tu bukan dia kira. Ada Encik Bekaskah, ada Abang Handsomekah, Abang Yeh apa peduli! Sudah ketap gigi, sudah kerut muka, baru Ne’a sedar mata Abang Handsome masih melekap di wajahnya. Allah! Malu!!


Dengan senyuman tak putus-putus di bibir, Eiyaad bertanya, “Eh, Ne'a ingat tak tahun bila kita pergi tengok wayang cerita kartun tu? Dah lama kita tak pergi datingkan?”

Tuesday 8 July 2014

Bab 20 (tak pasti dah siap ke belum)

Fatimah Yahya, this is for you. Siapa jadi kucing Parsi? :)
BTW, please pray for GAZA, its the least we can do



Bab 20



“Lin…. Lin……Liiiiiiin…..”

“Lin? Panggil akukah?” Mamai.

“Lin… Lin… Lin sayaaaang.”

“Sayang? Siapa sayang aku?” Separuh di alam mimpi, separuh di alam sedar, Emmalyn cuba memikirkan siapa Lin dan siapa sayang.

“Bismillahir Rahmanir Rahiiim.” Suatu kucupan lembut mendarat di kening kanan Emmalyn.

Bagai kucing Parsi yang gebu, Emmalyn mengeliat panjang. Tangan didepangkan ke atas, bahu kanan merapati telinga kanan, badan melentik menyerupai huruf C, “Yuuuuummmm.”

Tiba-tiba kedengaran tawa lelaki terbahak-bahak. Hah? Siapa di atas katil aku ni? Laju Emmalyn membuka mata. Oh no! Alpha Male! Tangan kanan menutup mulut. Eeee, gigi belum gosok, mesti mulut busuk. Alamak, muka pun belum basuh, mesti mata penuh dengan tahi. Akhirnya kedua-dua belah tangannya menutup muka.

Bila berhenti tawa si Alpha Male, Emmalyn meregangkan sedikit jari jemarinya lalu mengintai sang suami.

“Yum?” soalan pendek dari suami, disambung dengan tawa terbahaknya. “Lin, you are soooo cute!”

Hah? Gigi tak gosok, muka belum cuci, dia kata aku comel? Rabun ke apa Alpha Male ni?

Dengan tawa yang bersisa, terbit arahan pertama suami kepada isteri, “Bangun, Sayang. Solat subuh.”

Solat? Muka masih ditutup dengan tangan, si isteri menjawab, “Saya ABC.”

Tsk! Tapak tangan hinggap ke dahi, Tareq mengomel kepada diri sendiri, “Aiseh, itu pun kau lupa.”

Tergeleng-geleng kepalanya. Tidak biasa hidup dengan seorang wanita, ABC, ABC ni manalah dia ingat. Get use to it, Tareq! You have a wife now.

Oooops, sorry, sorry. Go back to sleep,” kata si Alpha Male, sambil bangun dari katil, termalu sendiri.

“Alaaaaa… do you have to go?” Di atas katil, Emmalyn merintih melihat kelibat suaminya masuk ke dalam bilik air. Walaupun malu dengan mulut yang berbau dan mata yang bertahi, rasa macam nak cuddle-cuddle lama-lama di atas katil dengan suami.

Suami? Yes, Emmalyn, that is your husband. My husband. MY. HUSBAND. My husband!! Yahooooo!!!! That deliciously drippingly handsome man is my husband!

Mata tertutup, bibir tersenyum lebar, otak memikirkan hanya Tareq yang kacak, Tareq yang macho, Tareq yang…. yang…. yang… segala-galanyalah, si pengantin perempuan mengeliat lagi.

Seriously, Lin. You are too cute in the morning.”

Automatik terbuntang biji mata. Suami yang kacak, yang macho, yang segala-galanyalah, sedang berdiri di birai katil merenung tepat ke arahnya…. yang mulut berbau….. yang mata bertahi……

Oh! Noooooo…… berdesup Emmalyn lari masuk ke dalam bilik air.

Mata mengikut kelibat tubuh isteri. Laju. Macam Speedy Gonzalez, fikir Tareq. Cute! Too cute!

Selesai solat Subuh, Tareq tercari-cari isterinya. Bilik air kosong. Katil sudah berkemas.

“Lajunya dia bersiap. Yelah, Emmalyn tu bukan jenis perempuan yang pakai mekap tebal. Bedak sikit, lip gloss sikit.”

Dengan hati yang senang, Tareq menyambung ibadahnya dengan berzikir, diikuti dengan doa. Hari pertama menjadi suami, dia berdoa kepada Ilahi agar membantunya menjalankan tanggung jawab sebagai pemimpin keluarga dengan baik. Dia juga mendoakan kesejahteraan ibu bapanya, ibu bapa mertuanya serta seluruh ahli keluarga besarnya. Akhir sekali dia mendoakan agar majlis kesyukuran yang akan diadakan hari ini akan dilimpahi dengan berkat dan lancar.

Usai berdoa, dia mengambil tuala dan melangkah ke bilik air. Selesai bersiap, dia melangkah ke luar bilik, mencari suri hatinya yang ghaib sedari tadi. Destinasi pertama adalah dapur. Betul pun telahannya. Isterinya sibuk membantu mama, ibu-ibu saudara serta sepupu-sepupu perempuannya menyediakan sarapan pagi.

Belum sempat Tareq berkata apa-apa, dia sudah disergah oleh Ucu Leha, “Cari bini kamukah, Tareq? Ada nuuun, usahlah risau. Tak ada ke mana dia.”

Riuh gelak tawa kaum ibu yang sibuk bekerja di dapur. Baru hendak membuka mulut, sudah Ateh Yam pula mengusik, “Baru seminit bini kamu ni masuk dapur, udah datang mencari ye? Rindu bebenor ye?”

“Ate, orang baru menikah. Macamlah kome tak faham.” Alamak! Olong Besah yang sudah melebihi 80 tahun usianya pun mengusik jugakah?

Dengan muka yang sudah berbahang-bahang, Emmalyn mengambil sebuah dulang besar yang berisi cawan dan piring lalu dihulurkan kepada Tareq. “Bawa ke khemah.” Pendek arahannya, mahu Tareq cepat-cepat beredar dari dapur sebenarnya. Tak tahan kena usik.

Pukul sembilan pagi kawan-kawan baik Emmalyn sudah tiba dari hotel. Timbul rasa bersalah di hati Emmalyn kerana menyusahkan mereka. Kenduri kahwin Nawwal Husna dahulu diadakan di sebuah hotel terkemuka di bandaraya Kuala Lumpur. Dia, Pet dan Atai hanya pergi, makan dan pulang.

“Eh, kenapa datang awal sangat, korang? Berehatlah puas-puas di hotel. Semalam entah pukul berapa korang balik ke hotel pun aku tak sedar,” tegur Emmalyn.

“Kau ni halau kamikah, Em?” seperti biasa soalan Iman Fatihah straight-to-the-point.

“Bukan halaulah. Rasa bersalah tahu, korang ni berhempas pulas untuk kenduri kami,” jawab Emmalyn, sambil tangannya cekap menuang air kopi untuk kawan-kawannya.

“Tak apalah Em. Sekali-sekala seronok juga merasa kenduri gotong royong begini. Kalau di KL, kenduri di hotel dan di dewan sahaja,” balas Zahrain Alimin, suami Nawwal Husna.

“Angkat periuk belanga, kacau lauk seperiuk besar, goreng ayam berkilo-kilo, Abang kata seronok?” terkejut Emmalyn mendengar jawapan anak jutawab itu tadi.

“Sekali-sekala, nak merasa juga,” selamba jawab Zahrain. “Nanti kenduri Zayd, kita buat cara gotong royong begini.” Sempat pula berjenaka.

“Amboi, Zayd. Gigi baru sebatang Daddy kamu dah berangan nak terima menantu ye?” sampuk Iman Fatihah, mengekek ketawa.

“Haah, Em. Kau cepat-cepatlah beranak perempuan. Boleh kita berbesan,” belum apa-apa, Nawwal Husna sudah teruja.

“Hah, baguslah. Sorang baru tumbuh gigi sebatang, yang sorang lagi keluar pun belum, emak-emak sudah berangan nak berbesan. Nantikan budak-budak tu trauma kena kahwin paksa, siapa yang susah? Aku jugaaaaaak yang susah,” mulut penuh menguyah bihun goreng, sempat lagi membebel Mohd Tahir a.k.a. Atai.

“Apsal awak pulak yang susah?” tanya Iman Fatihah kehairanan. Dahulu berkau-beraku, sudah bercinta ini berawak-bersaya.

“Eh, kan saya ni favourite uncle derang. Apa-apa masalah, derang cari saya tau. Minta tolong kasi settle.”

“Zayd, iyekah Pak Long Atai ni favourite uncle?” Nawwal Husna mengagah Zayd.

“Eh, mestilah! Pak Long Atai favourite uncle nombor satukan, Zayd? Pak Ngah Tareq jatuh nombor duakan?” Atai pula mengagah Zayd.

Zayd yang kecil-kecil lagi nampak mudah mesra dengan orang, terkekeh-kekeh ketawa. Nampak giginya yang sebatang. Comel ya amat!

“Nah! Favourite uncle nombor satu. Ambil Zayd. Favourite Mummy nombor satu nak sarapan,” tanpa sempat tunggu Atai bersedia, Nawwal Husna meletakkan Zayd ke atas ribanya.

“Jom Zayd, kita breakfast sama-sama. Zayd nak nasi lemakkah nak bihun goring?” bersungguh-sungguh Atai bertanya kepada Zayd, macamlah Zayd tu sudah berumur tujuh tahun.

“Hoi!” jerit Una, Pet dan Em serentak.

Tareq dan Zahrain ketawa berdekah-dekah. Melepak dengan geng kaki rayau ini ada-ada sahaja.

Usai sarapan pagi, Tareq dan Emmalyn masuk ke bilik pengantin untuk bersiap. Memang adat keluarga mereka upacara bersanding diadakan awal kerana berderet-deret datuk nenek saudara dan ibu bapa saudara hendak menepung tawar. Upacara bersanding bukanlah suatu acara untuk menunjuk-nunjuk busana yang cantik atau pelamin yang indah. Tetapi upacara ini adalah suatu peluang untuk memperkenalkan ahli baharu dalam keluarga kepada keluarga mereka yang besar.

Sudahlah kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan bukan ahli ‘baharu’ dalam keluarga, maka sudahnya upacara persandingan Tareq dan Emmalyn menjadi suatu acara yang santai dan lucu. Jenuh Tareq kena buli.

Contohnya, datang seorang ibu saudara yang berusia pertengahan empat puluhan. Sebelum adat merenjis dijalankan, dia akan bertanya kepada Tareq, sambil menuding jari ke dadanya, “Ingat tak ni?”

Dan Tareq yang sudah Sembilan tahun tidak pulang ke kampong halaman hanya dapat mengenali satu perempat dari ahli keluarga besar mereka, yang rapat-rapat sahaja. Bila sudah masuk tiga pupu atau empat pupu, dia sudah tak ingat.

Dan bila dia tidak ingat, itu yang dia kena bambu, “Eeeeeeh, Tareq, Akak Odah yang tukar lampin kau dulu masa kau kecik-kecik tahu….”

Kemudian datang pula seorang lelaki tua yang berusia yang berusia lapan puluhan. Aksi yang sama dan soalan yang sama, “Ingat tak sapa ni?”

Dan Tareq hanya mampu tersenyum manis dan menunggu komen lucu dan agak memalukan.

“Aish, kamu ni, ini Atok Teh yang sunat kamu dulu tahu?!”

Adik lelaki Emmalyn turut mencuba nasib. Selepas merenjis, dia turut bertanya, “Ingat tak sapa ni?” Soalannya disambut dengan tawa berderai dari semua yang ada.

Kali ini Tareq dapat menjawab, “Ingat, adik Melin.”

Tidak puas hati, si adik menyoal lagi, “Nama?”

“Elyasa’.”

“Syabas betta.” Jawapan dari adik ipar baru yang membuatkan Tareq ingin bertanyakan isterinya samada Elyasa’ ini betul-betul hantu filem Hindustan atau sahaja main-main.

Majlis yang sederhana tetapi meriah, komen Atai kepada Iman Fatihah, buah hatinya.

Hopefully, ours will be the same,” komen si buah hati, wajah sedikit mendung.

“InsyaAllah,” jawab Atai penuh yakin, juga mahu menyedapkan hati si dia.



Monday 7 July 2014

Dia Seadanya Bab 18 & 19

(Entah kenapa, skrg ni kalau tak menulis setiap malam, tak senang duduk. Wal hal keje opis bwa balik ke rmh punya la banyak. Niway, endingnya ada org kuchiwa....er.... over sangat ke part tu? Sila komen :)

Bab 18 



Malam itu juga kaum kerabat Ngah Balom bermesyuarat di rumah Encik Ehsan. Penuh halaman rumahnya dengan kereta-kereta saudara mara. Agenda pertama adalah isi perut dahulu. Sudah isi perut, nanti senang hendak berbincang. Tidaklah nanti ada perut yang berkeriut-keriut. Seawal petang sudah ada saudara mara yang datang tolong memasak juadah makan malam.

Usai makan, mesyuarat kerja kahwin bermula, pengerusinya Andak Usop. Walau pun dia bukan yang paling tua, tetapi seluruh kerabat Ngah Balom akur dia yang paling cekap mengurus. Almaklumlah, dia ahli perniagaan berjaya. Antara keputusan yang dicapai adalah:

Pertama, kenduri akan dibuat sekali harung. Sebab kalau hendak dua kali kenduri, maka dua kali penatnya. Orang tu, orang tu juga yang nak masak, siapkan hantaran, bilik pengantin, pelamin. Lagi pula kalau hendak buat rombongan pengantin lelaki dan rombongan pengantin perempuan, silap-silap orangnya samalah masuk rombongan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan dan orang yang sama masuk rombongan pengantin perempuan pergi ke majlis menyambut menantu.

            “Aku tak tahu,” kata Uda Razak, “dua-dua rombongan aku nak ikut. Kome-komelah yang tinggal tolong masak lauk kenduri.”

            Komen Uda Razak disambut dengan protes seisi kaum kerabat. Maka keputusannya satu kenduri sahaja. Tidak terlintas langsung niat hendak menggunakan khidmat syarikat catering kerana memang keluarga mereka sudah biasa masak secara gotong royong apabila mengadakan kenduri, tidak kiralah kenduri kecil atau kenduri besar.

Hajjah Asmah mengalah, biarlah kenduri di buat di rumah pengantin perempuan. Lagipun ini anak perempuan sulung si Lila dan Lila pun tak pernah menerima menantu. Dia sudah merasa berkenduri kahwin sekali, semasa Suhail kahwin dulu. Dan dia masih ada Eiyaad, adik Tareq. Nanti kenduri Eiyaad, boleh dia merasa buat kenduri kahwin sekali lagi di rumahnya.

            Puan Suhaila dan Encik Ehsan pula berbesar hati menyuruh Haji Abdul Aziz suami isteri menjemput seramai mana tetamu yang mereka mahu.

            Kedua, belanja kenduri kendara akan ditanggung oleh pengantin lelaki. Encik Ehsan cuba membantah, segan juga kenduri di rumahnya tetapi pengantin lelaki pula yang tanggung.

            “Tak apa, Ehsan. Tareq ni bertahun-tahun pergi jauh, mana dia pernah kongsi rezeki dia dengan saudara-mara. Inilah peluangnya,” rasional Haji Abdul Aziz. Idea kahwin cepat kan dari sebelah keluarganya, maka adillah Tareq yang menanggung segala belanja. Nanti kalau tidak cukup, dia boleh tambah. Tetapi dia yakin dengan gaji berlipat-lipat Tareq di Qatar, tentu Tareq mampu.

            Hal yang ketiga, mereka membahagi-bahagikan tugas. Dari mencetak kad kahwin, kerja menjemput sehinggalah memasak dan menggubah hantaran. Telangkai berjaya, Uda Jah, ditugaskan untuk mempersiapkan hantaran. Oh, ini memang tugas yang paling Uda Jah gemar. Nak harapkan meriah kenduri anak sendiri, dia tiada zuriat. Maka menumpang meriah kenduri anak-anak buahlah, jawapnya.

            Pada hari Selasa dan hari Rabu, Emmalyn tetap pergi kerja. Pada petang Rabu, sebelum dia balik, Andak Usop, bapa saudara merangkap bosnya, menegah Emmalyn dari datang bekerja esok sehinggalah majlisnya selesai.

            “Tapi, Andak, akaun tak settle lagi,” protes bakal pengantin.

            “Alah tak bangkrap company aku kalau kamu tak datang kerja, Melin,” selamba protes Emmalyn dikilas Haji Yusof. “Berlambak budak keluar universiti yang mencari kerja. Esok lusa, dapatlah aku gantinya.”

            “Andak, Melin ni kena buang kerjakah?” polos soalan Emmalyn.

            “Kamu bincang dululah dengan suami kamu tu. Dia itu nak kerja kat mana? Malaysiakah? Qatarkah? Kalau dia nak kerja di Qatar, dah tentu kamu kena berhenti kerjakan. Kalau dia nak kerja di Malaysia pula, di Ipohkah atau di KL. Di Ipoh ni mana ada kerja carigali.”

            Sempoi betul bapa saudara aku ni, fikir Emmalyn sambil terkulat-kulat memikirkan hujah-hujah Haji Yusof.

            “Kamu berdua dah berbincangkah belum?” sergah Haji Yusof.

            “Bincang apa, Andak?” soal Emmalyn, blurr habis.

            “Leeerrr, budak ini! Bincang hal kerja Tareqlah!” kan kena sergah lagi.

            “Belum.”

            “Ate… pergilah balik, sambil pergi cari hantaran, bincang-bincang. Pujuklah Tareq tu jangan balik ke sana lagi. Kesian emaknya, bertahun tunggu anaknya balik.”

            “Okey, Andak,” jawab Emmalyn, menonong keluar dari pejabat. “Melin balik dulu ye.”

            Keluar dari pejabat, Toyota tua datuk Tareq sudah sedia menunggu. Bakal tuning menjadi pemandu-tak-berbayar sekarang. Petang itu mereka perlu pergi ke butik pengantin sekali lagi. Nak cuba baju pengantin buat kali kedua.

            Dalam perjalanan ke butik pengantin, selepas satu, satu hal perkahwinan mereka dibincangkan. Nasib baiklah kedua-dua belah keluarga bersetuju untuk mengadakan majlis yang sederhana. Namun sederhana-sederhana pun, hampir 3 ribu orang juga jemputannya. Satu, kerana saudara mara yang ramai yang sememangnya wajib dijemput. Dua, kerana sahabat handai yang dijemput adalah sahabat handai dari dua keluarga.

            “Lin, esok cuti?” soal Tareq.

            “Haah.”

            “Jom gi KL.”

            “Nak buat apa?”

            “Beli hantaran.”

            “Hah? Nak beli hantaran sampai ke KL?” Dalam hati berkira-kira juga, aku ni ada duitkah nak beli barang-barang hantaran untuk dia? Tengok dari cara gaya Tareq berpakaian, boleh tahan juga…. Masuk dalam kategori penggemar barang-barang berjenama. Alamak! Mampus aku.

            “Kat sana, senang cari.”

            “Kat rumah bukan banyak kerjakah?” Cubaan lemah untuk mengelak.

            “Kita pergi pagi, balik hari.”

            “Ummi dan Mama kata apa?”

            “Green light.”

            Sudah habis alasan, dengan tiada pilihan, Emmalyn bersetuju, “Hmm hmm.”

            Jeda seketika. Toyota tua sudah menghampiri butik pengantin.

            “Lin…”

            “Hmm?”

            “Kita pergi Singapore nak?”

            “Hah?!!” Melampau si Alpha Male ni!


Bab 19 



Pagi Sabtu sebelum majlis Emmalyn, kawan-kawan baiknya naik dari Kuala Lumpur. Nawwal Husna yang beranak kecil turut datang bersama anak dan suaminya. Mereka merancang untuk menginap semalam di sebuah hotel di Ipoh.

            “Uit! Inilah yang dinamakan ‘Cinta tanpa ribut atau taufan’,” komen Pet, sambil tangannya laju berkerja mengisi cawan air mineral ke dalam goodie bags.

            “Ada-ada saja kau ni, Pet,” komen Nawwal Husna. Beg goodie yang dihulurkan oleh Pet disambut dan dimasukkan kuih baulu.

Baby Zayd, Daddynya yang dukung di luar rumah. Biarlah suaminya menjaga Zayd, fikir Nawwal Husna, sebab bukannya dia tahu pun macam mana hendak tolong kerja-kerja kahwin secara gotong royong ini. Yang dia tahu, kalau hendak berkenduri, panggil sahaja caterer, atau berkenduri di hotel sahaja.

“Yelah, Una. Ribut tidak, taufan tidak, tup-tup kahwin,” Iman Fatihah teguh dengan pendapatnya.

“Nak kahwin perlu ribut dan taufankah? Inilah yang dinamakan jodoh. Kalau dah tersurat di Luh Mahfuz tu, nikah juga,” matang komen Nawwal Husna, almaklumlah sudah jadi mak orang.

“Na… kau doakan jodoh aku dengan Atai pun tersurat di Luh Mahfuz ye,” berubah nada suara Pet.

Sudah setahun dia memujuk ibu bapanya untuk menerima Atai, respon yang diberi kurang memberangsangkan. Setiap kali nama Atai disebut, ibu dan bapanya berlagak bagai tidak dengar. Bila Atai pergi menziarahi mereka, ibu dan ayahnya ke luar kota. Aleh-aleh, boleh pula bawa dia ke rumah kenalan mereka di Kota Kinabalu, sebuah keluarga Melayu Brunei yang mempunyai anak lelaki yang sebaya dengan Pet. Barulah Pet sedar, dulu sebelum dia menyebut dua kalimah syahadah, ibu bapanya sibuk mahu match make dia dengan Alvin. Sekarang selepas dia memeluk Islam, mahu match make dia dengan Awangku Feisol pula. Terlintas juga di benaknya, ibu bapanya mahu dia berkahwin dengan lelaki dari keluarga yang kaya sahajakah? Adakah itu syarat utama bagi ibu bapanya? Sedih…. Tetapi cepat-cepat Iman Fatihah mengingatkan dirinya supaya bersangka baik, apatah lagi dengan ibu bapanya sendiri.

            “Amiiiiiiiiiiin,” panjang harkat Nawwal Husna aminkan doa Pet. “Rajin-rajin buat solat hajat, rajin-rajin berdoa. Kalau itu yang terbaik buat kau dan Atai, Pet, InsyaAllah, tentul Allah makbulkan. Kalau tidak, Dia lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui.”

            Sayu wajah Pet mendengar nasihat ‘mak orang’ di sebelahnya. Nafas ditarik dalam-dalam. Jia yu! Jia yu! Iman Fatihah. Jangan putus asa. Selagi belum berjaya, usaha bagai yang Una katakan tu.

            “Eh, korang! Dah berapa jam duduk di sini, mengisi goodie bags? Maaflah menyusahkan korang,” sempat Emmalyn menyinggah sekejap, menegur kawan-kawan baiknya.

            Walaupun kaum kerabat Ngah Balom turun padang secara ‘full force,’ namun sebagai tuan rumah tak menang tangan juga dia dibuatnya. Sekejap-sekejap ada yang minta cello-tape, sekejap-sekejap ada yang minta set pinggan mangkuk untuk makan berhidang. Ada sahaja benda yang dia perlu carikan untuk bala jentera majlis perkahwinannya.

            “Apa pulak menyusahkan?” protes Nawwal Husna. “Bukan kena angkut beras berkampit-kampit pun. Isi goodie bags saja pun.”

            “Eh! Mana Zayd?” Emmalyn baru tersedar yang anak kecil Nawwal Husna tiada dengan emaknya.

            “Daddynya jaga. Biarlah anak bapa bonding time.” Bukan sinis pun, sejujurnya. Zahrain Alimin sentiasa sibuk. Maka bila hujung minggu wajib meluangkan masa dengan anak kecilnya.

            Emmalyn bangun menjengah ke luar tingkap memerhatikan keadaan sibuk di halaman belakang rumahnya.

            “He he, Una, iyalah Abang Zack bonding dengan Zayd. Bonding dengan periuk besar adalah,” mengekek-ngekek Emmalyn ketawa, melihat anak orang kaya ternama itu didera sepupu-sepapat dan bapa-bapa saudaranya.

            “Hah?!” melompat bangun Nawwal Husna, turut menjenguk ke luar tingkap.

Betul kata Em, suaminya yang selalunya bersut bagai di pejabat mewah di KL sedang mengangkat periuk untuk diletakkan ke atas tungku. Biarlah suaminya mengangkat periuk belanga. Sekali-sekala eloklah belajar hidup cara kampung. Rasa Nawwal Husna, suaminya kelihatan lebih macho  dengan kemeja T yang basah dengan peluh, dengan tangan kelihatan kekar mengangkat periuk dari bersut, bertali leher. Sampai menelan air liur dia merenung…. Oh my!

            Asyik merenung suami, kemudian baru Nawwal Husna tersedar, “Eh, Zayd mana?” Si daddy sibuk menolong team tukang masak, anak parking di mana?

            “Tu,” Pet yang turut menjenguk ke luar tingkap menjawab, bibirnya dijuihkan ke sudut halaman belakang rumah Emmalyn. “Anak kau dah jadi bola ragbi, Una. Dah kena pass-pass.”

            Memang betul Zayd dah jadi bola ragbi. Sekejap sepupu Emmalyn yang dukung, sekejap bapa saudaranya. Semua orang geram melihat pipinya yang gembol. Nak-nak pula, bila kena gomol, bukannya dia menangis, lagi mengekek-ngekek ketawa. Suka mendapat layanan dari ramai orang.

            “Hoi!” sergah Kak Yah sepupu Emmalyn, “udah-udahlah mengintai bakal tunang awak tu, Melin. Takkan lari gunung di kejar. Malam ni dah boleh dakap-dakap.”

            Usikan Rukayyah disambut tawa terburai semua rakan taulan yang bergotong royong di ruang makan rumah Puan Suhaila.

            “Kak Yah ni,” marah Emmalyn, “orang skodeng anak Unalah.” Mukanya sudah merah bagai udang terbakar. Tak habis-habis jadi bahan minggu ini, sejak mak bapa Tareq datang merisik Isnin lalu.

            “Iyelah tu skodeng anak Una. Sebenarnya skodeng ‘Fahrin Ahmad’ dia. Malu nak ngaku le tu!”

            Hailah, Kak Yah, semakin hari ‘hailer’nya semakin kuat nak mengalahkan ‘hailer’ Uda Jah. Geram betul Emmalyn dengan sepupunya.

Tapi… memang mengancam habis Tareq yang sedang ‘beraksi’ di belakang, angau si Emmalyn, sedaya upaya cuba menyembunyikan senyumannya. Angkat periuk belanga, segala macam tapis berisi daging, ayam, sayur-mayur pun nampak… ehem… jantan. Itu baru pakai T-shirt Pagoda tu, malam ni dia pakai baju Melayu, bersampin bagai….. mahu pengsan aku!

Petang itu selepas Asar, majlis pertunangan Tareq dan Emmalyn selamat dijalankan. Walaupun majlisnya ringkas tetapi tetap meriah dengan kehadiran penuh kaum kerabat Ngah Balom. Selepas berehat sekejap dan menjamu selera dengan juadah ringkas yang disediakan, keluarga pengantin lelaki pulang untuk bersiap untuk majlis akad malam ini pula. Ahli keluarga yang lain pula meneruskan kerja masak-memasak di halaman belakang rumah. Di dalam bilik pengantin perempuan, kelam kabut sanak saudara menyempurnakan hantaran kahwin. Sudah siap sebenarnya, cuma last minute touch-ups.

Emmalyn yang turut sibuk membantu, sekejap-sekejap merenung cincin berlian mata satu yang asyik mengerdip-ngerdip nakal ke arahnya. Bagai tak percaya yang dia sudah menjadi tunangan Tareq. Memang berbaloi-baloi pandu kereta berjam-jam ke KLIA, konon-konon hendak menghantar buah hati balik ke Qatar. Tetapi sebenarnya buat drama sebabak! Nasib baik buah hati tukar fikiran tak jadi terbang ke Qatar, kalau dia terbang juga, sekarang ni tentu aku mandi tak basah, tidur tak lena.

“You couldn’t believe it, huh?” bisik Nawwal Husna, yang entah bila datang berdiri di sebelahnya. Matanya sama seperti Emmalyn, merenung cincin berlian yang berkerdip-kerdip nakal.

“It happened so fast,” balas Emmalyn, sambil tersenyum penuh bahagia ke arah kawan baiknya.

“Jodoh yang baik buat apa ditangguh,” pendek namun penuh makna komen Nawwal Husna.

“Alhamdulillah, that he is,” kebahagiaan yang melimpah ruah dizahirkan dengan titisan air mata yang menuruni pipinya.

“Ish…dah…dah, jangan nangis. Bukannya kau kena kahwin paksa macam aku pun,” gurau Nawwal Husna.

Terburai tawa dua orang kawan baik itu. Terkenang seketika jodoh Nawwal Husna yang juga datang begitu laju, jodoh melalui kedua belah keluarga.

Selepas Isya, keluarga pengantin lelaki datang lagi. Kali ini membawa lima dulang hantaran. Tok Kadhi sudah tiba dua tiga minit sebelumnya. Emmalyn diiringi sepupu sepapat perempuannya beserta Nawaal Husna dan Iman Fatihah turun ke ruang tamu untuk majlis akad nikah.

Pengantin lelaki yang sudah menetap di Tanah Arab selama lima tahun, hampir terlupa dengan adat Melayu, tidak cover langsung! Tanpa segan silu, dia merenung pengantin perempuan menuruni tangga tanpa terkebil langsung. Petang tadi semasa majlis pertunangan, dia tidak dibenarkan datang. Maka, inilah kali pertama Tareq melihat Melin dirias sebegitu rupa. Sungguh berbeza dari riasan yang Melin kenakan seharian, bedak muka tipis dan lip gloss. Tak sangka mata Emmalyn boleh kelihatan sebegitu galak sekali, bagai bintang kejora.

“Ooiii, ‘Fahrin Ahmad’ ni. Kok ye pun dah berkenan, cover-cover sikit woi! Renung macam nak telan!” Entah sepupu mana mengusik, disambut gelak besar hadirin di dalam ruang tamu.

Emmalyn yang jalan dengan mata menunduk ke lantai terasa mukanya sudah panas membahang. Perlukah dera pengantin semasa saat-saat getir hendak akad nikah ni? Sudahlah jantungnya berdegup macam jantung kuda berlari, rasa nak pitam pun ada. Ini kena usik teruk-teruk pula. Ini yang tak seronok ada keluarga besar ni, asyik jadi bahan!

Emmalyn dibawa duduk di sebuah pelamin mini di sudut ruang tamu. Khutbah nikah dibacakan. Dengan lafaz Bismillah, Tok Kadhi menghulurkan tangan kanannya lalu disambut oleh Tareq. Lafaz akad dibacakan oleh Tok Kadhi, tangan kanan Tareq digoncang, lalu Tareq melafazkan akad dengan lancar. Maka dengan suatu lafaz sahaja termeterailah ikatan sah di antara Tareq Abdul Aziz dan Emmalyn Mohd. Ehsan.

Terdengar sahutan kesyukuran di kalangan semua yang hadir. Nawwal Husna dan Iman Fatihah adalah antara yang pertama merangkul Emmalyn diiringi dengan linangan air mata kegembiraan. Tareq pula dijabat tangannya oleh ahli keluarga. Adegan peluk memeluk pengantin perempuan dihentikan apabila doa selamat dibacakan.

Selepas doa selamat diaminkan, Tareq datang menghampiri Emmalyn, lalu sebuah kotak kecil dihulurkan oleh umminya. Kotak kecil dibuka, seutas rantai diambil lalu dipakaikan ke leher Emmalyn. Loket gelung-gelung ditaburi berlian, sedang elok tergantung di dadanya. Tangan suami disalami lalu dicium, dibalas pula oleh kucupan lembut di dahi isteri. Berkelip-kelip lampu flash dari entah berapa puluh kamera dan telefon pintar.

“Phee weet!” siulan nakal dari sepupu-sepapat mereka.

“Jangan lama-lama, Tareq,” rasanya itu suara Uda Razak.

“Shabas, bette,” lerrr itu suara Elyasa’, adik Emmalyn.

Usai, upacara membatalkan air sembahyang, pasangan pengantin bersalaman dengan kedua belah ibu bapa. Basah mata Mama Emmalyn, dia menangis kerana sayu juga hatinya mengingatkan anaknya yang akan ‘pergi’ mengikut suami, walhal terasa bagai Emmalyn baru sahaja pulang dari asrama sekolah menengahnya di selatan tanah air. Ummi Tareq pula, tangisannya sudah mencapai tahap banjir kilat. Leganya hati Hajjah Asmah Tuhan sahajalah yang mengetahui. Selama ini, tidak pernah putus-putus dia mendoakan agar Tareq bertemu jodoh yang baik setelah hidupnya kacau bilau dek perbuatan Inessa. Sekarang, dia berdoa supaya Tareq akan terbuka hati untuk membina rumah tangganya di tanah air.

Tok Kadhi serta para tetamu dijemput untuk menjamu selera di khemah di luar. Tareq pula meminta diri untuk naik ke atas, mahu menunaikan solat sunat pengantin baru.

“Eeeeyy, boleh percaya ke tu? Solat sunat ke agenda lain tu, Fahrin Ahmad oi!” Tak habis-habis pengantin kena usik. Tareq yang sedang memanjat tangga naik ke tingkat atas tersenyum lebar. Emmalyn yang mengikutinya dari belakang berdoa-doa agar muncul jubbah halimunan Harry Potter, agar di adapt mengghaibkan diri.

Masuk ke dalam bilik Emmalyn yang sudah dihiasi indah, Tareq terus ke bilik air dan mengambil wudhu. Emmalyn pula mengambil sehelai sejadah, dihamparkan mengikut kiblat, kemudian dia duduk di birai katil.

Muncul Tareq dari bilik air dengan muka, ubun-ubun, tangan serta kaki yang basah dari wudhu, dia berkata kepada isterinya, “Pergilah ambil wudhu Sayang, Abang tunggu.”

Dengan muka yang merah padam, Emmalyn terpaksa menjawab, “Saya tak boleh.”

Laju terbit soalan dari mulut lelaki yang baru sangat-sangat menikah, “Kenapa pula tak boleh.”

Emmalyn terasa mahu menjuling ke langit! Apasallah lembap sangat Alpha Male malam ni?

“ABC,” jawab si isteri.

“ABC?” tanya si suami. Ini kod apa ni?

“Allah bagi cuti….” Mata tak lepas-lepas memandang lantai bilik.

“Allah bagi….oh!” Terpaku sebentar pengantin lelaki.

“Oh!” bisiknya sekali lagi, sambil bergerak ke sejadah.

“Oh,” dan sekali lagi. Ada… nada…. kecewa.

Lalu, laju-laju Tareq berastaghfar dan mengangkat takbiratul ihram.