Thursday 30 May 2013

Seteguh Fayqa Bab 28 Bhg 1


Minggu ini dahsyat tensinya. Apa2pun tulis SF dikit2, nanti siap jg kan. 2ms shj. Hopefully sebelum Ahad boleh siap Bab 28 ini.



Bab 28

Cadangan Fayqa agar Dzariff mengajak Dzalia makan untuk berbincang tentang Khairul Izwan tidak dapat dilaksanakan dek kerana sibuk di pejabat. Lewat petang itu, Dzalia pulang dengan hati yang berdebar-debar. Bimbang jika abangnya menyebut lagi tentang hal dia bertemu janji dengan 'customer' hingga lewat malam.

Debarannya tidak reda-reda sepanjang mereka sekeluarga duduk makan malam. Ternanti-nanti si abang membuka mulut. Namun langsung terkunci mulut si abang sulung. Malam itu cuma Babah, Ummi dan Dzureen yang sibuk berbual sambil makan. Bercerita tentang Dzehan di Jakarta, Dzahim di U.K., tentang bisnis Haji Dzulqarnain dan tesis Dzureen.

Yang Dzalia pula sekali sekala menjeling ke arah Dzariff yang sekali sekala menjeling ke arah Fayqa yang tidak panggung-panggung kepala memandang nasi di pinggan. Memanglah gulai pisang ikan kering masakan Hajjah Azimah lazat hingga menjilat ke siku, tapi cara Fayqa yang fokus seratus peratus kepada butiran nasi di dalam pinggan amatlah menghairankan. Bagai yang dikatakan Dzalia pagi tadi, sesuatu betul!!

Usai makan malam, mereka sekeluarga bersama Fayqa bersama-sama menunaikan solat Isya berjemaah di ruang keluarga di atas. Selepas berwirid bersama-sama, mereka turun semula ke tingkat bawah untuk minum kopi bersama-sama. Esoknya hari Sabtu, maka malam itu Haji Dzulqarnain sekeluarga duduk bersama-sama menyambung gebang. Fayqa yang terasa bagai orang asing, menyibukkan diri mencuci pinggan mangkuk di dapur.

“Fayqa, mari duduk minum dulu,” teriak Hajjah Azimah dari ruang makan.

Terjengul Fayqa di pintu dapur, “Tak apa Achik, sikit je. Achik minumlah,” kemudian berpatah balik ke sinki, menyambung kerja mencuci pinggan mangkuk.

“Yin, kau pergilah tolong.... tau makan aja kau ni,” suruh Dzalia.

“Penatlah Kak, sehari suntuk tulis tesis, cair otak. Akaklah pergi tolong,” balas Dzureen.

“Yaya penat jumpa customer,” celah Dzariff, dengan nada perli.

Tersentak Dzalia terkena serangan abangnya. Semalaman menunggu serangan, tiada apa-apa, dia fikirkan di sudah selamat. Dengan muka yang cuak, perlahan-lahan Dzalia bangun.

Tetapi Dzariff yang lebih cepat berdiri, “Tak payah, biar Abang yang tolong,” lalu laju melangkah ke dapur.

Mulut ternganga, mata Dzalia dan Dzureen bertembung dan terus terangkat kening serentak. Mata Hajjah Azimah pula segera hinggap ke muka suaminya, ingin melihat reaksi si suami. Mata Haji Dzulqarnain pula tepat merenung pintu dapur dengan dahi yang berkerut. Mana pernah Dzariff mencuci pinggan mangkuk penuh satu sinki. Sebiji dua selepas makan pernahlah!

Fayqa yang sedang mencuci pinggan, terkejut melihat anak teruna Haji Dzulqarnain berdiri di sebelahnya, siap tolong bilaskan pinggan mangkuk yang sudah bersabun. Terhenti kerjanya sekejap. Matanya merenung pinggan yang sedang dibilas, kemudian orang yang sedang membilasnya.

“Awak buat apa ni?” terlepas soalan bodoh.

“Cuci kereta.”

Mencemik muka Fayqa mendengar jawapan Dzariff. Kemudian matanya mengerling ke arah pintu ke ruang makan. Bimbang kalau Haji Dzulqarnain atau mana-mana ahli keluarganya menjengukkan kepala ke dapur, melihat mereka berdua mencuci pinggan di sinki. Macam.... sesuatulah pula!

Pinggan di tangan Dzariff dirampas, “Dah, tak payah, tak payah, saya boleh buat sorang-sorang. Bukannya banyak, awak pergi duduk di depan. Bonding time with your family.”

Pinggan diambil balik dari tangan Fayqa, “I'd rather bond with you,” perlahan sahaja kedengaran.

Mamat ni buang tebiat ke apa? Tak pernah-pernah basuh pinggan, lepas tu kata nak 'bond' dengan orang pula. Bondlah sangat, datang Achik Zee, buat malu aku je. Saja tau dia ni! Kening Fayqa sudah bertaut.

“Bond mak bond... awak ni ada saja tau. Dah, dah,” pinggan cuba dirampas, tapi dipegang kuat oleh Dzariff.

Cuba ditarik sekali lagi oleh Fayqa, genggaman Dzariff lebih kuat, manakala tangan Fayqa pula bersabun.

“Let go.”

“No,” seboleh-bolehnya memang tak mahu lepaskan, bukan pinggan, tapi si pencuci pinggan depan mata ini.

“Dzariff,” seru Fayqa. Geram ada, gabra pun ada. Dibuatnya masuk siapa-siapa ke dapur ni karang. Eh, boleh tersenyum pula mamat ni.

“Dzariff!” dah naik satu oktaf. Makin melebar senyum sang jejaka kerana jarang sekali mendengar si gadis menyeru-nyeru namanya.

Kan dah keluar lesung pipit sepasang tu, adoooi....... ini yang aku lemah sekali ni, keluh Fayqa dalam hati.

“Nak basuh sangat? Nah, basuh semua!” Cepat-cepat tangan dibilas dan dilap dengan tuala kecil. Sebelum berlalu, sempat mengerut hidung kepada si jejaka.

Kerut hidung kat orang, comel sangatlah tu, fikir Dzariff. Aiseh, orang nak tolong dia, dia pula dah chow.

Tiba-tiba terdengar Dzureen menjerit dari ruang depan, “Jim! Surprise gila!”

Fayqa yang sedang melangkah ke arah bilik tidurnya, berhenti dan berpusing. Matanya dan mata Dzariff bertembung. Jim? Dzahim? Di sini? Bukan di U.K.? Laju-laju Fayqa melangkah ke arah pintu dapur. Dzariff pula kelam kabut membilas tangan dan menuruti Fayqa dari belakang.

Tiba di pintu dapur, terhenti kaki Fayqa. Jim! Dzahim sedang melangkah masuk ke dalam rumah dengan sebuah beg sandang kecil. Memang betul mamat bertuah itu sudah balik. Berubah air muka Fayqa, menjadi serius dengan mata yang tajam merenung Dzahim. Dzariff yang baru tiba di pintu dapur, terkejut melihat adik bongsu tiba-tiba berada di depan mata.

Tangguh lebih selesa? tanya hati Dzariff. Mata memandang Dzahim yang sedang dipeluk Babah dan Umminya di hadapan pintu rumah.....

Saturday 25 May 2013

Seteguh Fayqa Bab 27


kita hanya merancang, Tuhan yg menentukan. saya fikir bab 27 ni bab terakhir di blog, tengok2 belum lagi. sebab bab 27 terpanjang dek phone conversation between faye n jeneral.

kpd best fren saya Zarra Zuyyin, 9 ms ok!! tak tipu punya :) lebih dari cukup tu untuk 1 bab.

again apa2 penambah baikan (1 word or 2 words?) please komen. stail menulis saya, taiiiiiiip je, then up kat sini, tak de nak fikir banyak2. 

tanpa di TANGGUH lagi, jemput baca....


Bab 27



Pagi esoknya, rajin pula Dzalia turun ke dapur membantu Umminya dan Fayqa menyediakan sarapan. Sambil membancuh teh, Fayqa mencuri-curi pandang wajah Dzalia. Ceria semacam!! Macam... err... macam muka orang sedang bercinta.

“Adoi!”

“Kenapa Fayqa?” tanya Hajjah Azimah, dahi sudah berkerut bimbangkan Fayqa.

“Terlupa teko ni panas, nak angkat cenggitu saja, tak guna tangkai.”

“Fikir apa tu, Fayqa? Sampai teko panas tak sedar?” tegur Hajjah Azimah.

“Fikir tentang assignment, Achik,” tipu sunat.

Terhenti Hajjah Azimah dari mengacau bihun di dalam kuali, “Fayqa, kalau tak mampu nak bekerja dan belajar serentak, berhentilah dulu kerja tu. Fokuskan kepada belajar tu dulu. Belajar tu lagi penting. Fayqakan sekarang duduk dengan Achik, sewa tak perlu bayar, makan pula, makanlah seadanya dengan kami. Duit poket pun Achik boleh beri.”

Aduh, keluh Fayqa dalam hati. Malunya.. sudahlah menumpang, Achik Zee siap nak beri duit poket. Cepat-cepatlah habis belajar, boleh duduk sendiri macam dulu-dulu.

Aduh, keluh Dzalia dalam hati. Kalau Fayqa berhenti kerja, jenuhlah aku.... mana pernah dapat pekerja secekap Fayqa. Lagi pula tiada Fayqa …. tiadalah pula alasan nak berjumpa dengan Abang Iz. Oh no!!

“Tak apa, Achik. Bukan teruk sangat kerja kat butik Kak Yaya. Kalau Fayqa banyak sangat assignments, Fayqa buat sebelah malam.”

“Macam mana nak buat assignments sebelah malam, kalau kerja pun sampai malam baru balik?”

Uiks! Mana muncul pula si sengal ni? Pagi-pagi dah sampai ke dapur? Terpana Fayqa merenung Dzariff yang siap berpakaian pejabat. Err..... he looks.... very smart!

“Yang Yaya pun biar Fayqa kerja sampai malam-malam, tak fikirkah kalau dia nak buat assignment?” terbit soalan si jeneral.

Kelat wajah Dzalia mendengar soalan abangnya. Fayqa pula masih terpinga-pinga, kalau betul Kak Yaya sibuk sampai aku tak ada masa nak buat assignment, yang dia angkut aku ke panggung wayang tu apa hal?

“Yaya ada appointment dengan customer semalam,” jawab Dzalia.

“Lelaki ke perempuan?”

Dah dia buka agensi penyiasatan pula di dapur ni, Fayqa sudah menjuling ke langit. Wajah Dzalia yang tadi kelihatan ceria berseri-seri, sudah kelihatan merah berbalam-balam.

Laju tangan Fayqa mengambil lima biji pinggan yang disusun bertingkat lalu dihulurkan kepada Dzariff, “Tolong bawa ke depan.”

Jeneral di rumah Haji Dzulqarnain masih tidak bergerak, Fayqa bersuara sekali lagi, “Tolong..... please?”

Sudah dua kali diminta tolong, takkan tak tolong. Pinggan-pinggan yang dihulurkan Fayqa disambut dengan hati yang mendongkol. Cerita Yaya dan abang tiri Fayqa akan dikorek habis-habisan.

Bila si abang sudah melangkah keluar ke depan, pandangan mata Dzalia dan Fayqa bertaut. “Thanks,” mulut Dzalia bergerak tanpa suara.

Fayqa pula yang menjadi cuak, Kak Yaya pun nampak aku dan si sengal ke semalam? Erkk!! susahlah tumpang rumah orang ni, lepas tu pergi tengok wayang pula dengan anak terunanya, lepas tu terserempak pula dengan anak daranya, yang juga bos aku. Pening! Terangkat kedua-dua belah kening Fayqa.

“Dah siap,” kata Hajjah Azimah, mengejutkan Fayqa dari memikirkan tentang hidupnya yang semakin intrigue sejak semalam.

“Meh, Fayqa bawa ke depan Achik,” pelawa Fayqa sambil mengambil mangkuk besar berisi bihun gorang dari tangan Hajjah Azimah.

“Yaya, tunggu apa lagi? Bawa cawan dan piring tu ke depan,” tegur Hajjah Azimah bila melihat Dzalia masih lagi berdiri bersandarkan sinki dapur.

Walaupun berdebar hendak mengadap abang sulungnya di ruang makan, hendak tak hendak terpaksa jugalah Dzalia mengikut langkah ibunya ke hadapan. Tentu mengamuk Abang kalau dia tahu aku keluar tengok wayang dengan Abang Iz dan bukannya pergi berjumpa customer, fikir Dzalia. Dah la pula Kuch-Kuch-Hota-Hai dia kena kerja sampai malam pula tu. Habis aku!!

Di meja makan, Haji Dzulqarnain dan Dzariff sudah duduk menunggu sarapan dihidang. Dzureen jarang turun bersarapan bersama, dia sering tidur lewat malam kerana sedang menyiapkan tesis sarjananya. Hampir pukul sepuluh pagi baru dia akan turun untuk bersarapan.

Fayqa meletakkan mangkuk bihun yang dibawa lalu menyendukkan bihun ke dalam pinggan dan dihulurkan untuk semua orang. Dzalia kelihatan resah bagai tidak senang duduk di kerusi.

“Appointment dengan customer semalam di mana Yaya?” sesi soal siasat sudah bermula. Haji Dzulqarnain suami isteri yang tidak tahu apa-apa tenang menjamu selera.

Kali ini Fayqa pun turut resah. Jika Dzariff menyebut yang dia terserempak dengan Dzalia di panggung wayang, bimbang dia jika kisah dia pergi menonton wayang dengan Dzariff turut diketahui Haji Dzulqarnain suami isteri. Ya Allah, menyesalnya pergi menonton wayang dengan si sengal. Sepatutnya mamat sebegini, buat sombong dengannya lagi bagus.

“Er... dekat sini-sini juga, Abang,” jawab Dzalia, sengaja memberi jawapan yang kabur.

“Betul juga kata Abang tu, Yaya. Fayqa kan sedang belajar. Yaya sibuk sangat, dia pula kena kerja lebih masa di butik kamu. Semalam sampai pukul sebelas malam, Fayqa belum balik. Ummi tak larat tunggu, Ummi masuk tidur dulu,” komen Hajjah Azimah kononnya mahu menyokong pendapat Dzariff.

Tapi sebaliknya terbuntang mata Dzalia mendengar Fayqa pulang sebegitu lewat. Mereka sama-sama bersolat Maghrib semalam. Lepas solat Maghrib, dia keluar untuk bertemu Khairul Izwan manakala Fayqa pula sudah bersiap mahu pulang. Ke mana Fayqa pergi hingga pukul sebelas malam belum pulang? Misteri nusantaralah, fikir Dzalia. Wajah Fayqa direnung penuh kehairanan.

Fayqa yang sedang menuangkan teh terasa berdebar. Tanpa dapat dikawal, dia mengerling ke arah Dzariff. Walau pun hanya sedetik dua, kerlingannya ditangkap oleh Dzalia. Diorang berdua ni... hmm...... mungkinkah......

“Sini-sini itu di mana Yaya? Seeloknya tak perlulah berjumpa dengan customer hingga lewat malam,” Dzariff menyambung sesi soal siasat. Selagi tidak dapat korek cerita sebenar, dia tidak akan berhenti.

Fayqa berasa bagai mahu menjuling ke langit! Sudah-sudahlah tu sengal oi! Nak berleterkan adik keluar malam, yang kau pun angkut anak dara orang hingga lewat malam apa kes? Tak faham sungguh, so control freak seorang ini.

Hangat hati Dzalia mendengar abangnya berkhutbah. Entah-entah dia dan Fayqa berdating hingga lewat malam. Walau pun dia belum pasti, ada kemungkinan juga Fayqa bertemu Farhan dan Daeng untuk berbincang tentang assignments. Tapi nak serkap jarang jugalah!

“Fayqa pula ke mana hingga lewat malam?” Abang yang mahu diserang balas, tapi Fayqa yang menjadi mangsanya.

Wajah Fayqa semakin pucat. Ya Allah, segannya jika Haji Dzulqarnain suami isteri tahu yang dia dan anak sulung mereka keluar tengok wayang semalam. Sudahlah kes dia peluk Dzariff hari tu pun belum hilang rasa malunya. Dijelingnya wajah Dzariff di sebelah, selamba kering mukanya.

“Semalam Fayqa..... Adoi!!!” belum sempat Dzariff menjawab, air teh panas sudah tercurah ke ribanya.

“Ooops.... eh, eh, maaf, maaf, tangan Fayqa macam nak terlepas tadi ......,” jenuh Fayqa meminta maaf, bimbang juga jika si jeneral meletup. Semasa menuang teh ke dalam cawan si sengal, sengaja dia “tercurah” ke riba sang jejaka. Dia tiada pilihan, bimbang dia jika Dzariff selamba memberitahu ibu bapanya yang mereka keluar tengok wayang hingga lewat malam semalam.

“Tak apa, Fayqa tak sengaja. Abang pergilah naik atas, tukar baju,” nasihat Haji Dzulqarnain.

Sebelum Dzariff naik ke atas, sempat dia merenung tajam ke arah Fayqa, bikin gadis itu gabra hingga tidak tahu bagaimana hendak beriaksi.

“Dzariff, janganlah nak marahkan Fayqa pula. Bukan dia sengaja,” tegur Hajjah Azimah.

Dzalia pula diam tidak berkutik. Sementara selamat ini, lebih baik duduk diam sahaja. Namun tidak berkelip matanya memerhatikan tingkah laku Fayqa. Baru sahaja dia bertanyakan ke mana Fayqa semalam, main tumpah-tumpah air pula.... selama ini tidak pernah pun tumpah air! Sesuatu betul!!

Dzariff pula terkocoh-kocoh naik ke atas dengan hati yang membara. Dia pasti Fayqa sengaja menumpahkan air teh tadi. Apa yang nak dibimbangkan, tengok wayang pun takut hendak mengaku? Bukannya pergi masuk hotel! Pakaiannya ditukar selaju yang mungkin lalu dia turun semula ke bawah. Tiba di bawah, yang ada hanya ibu bapanya.

“Mana Yaya dan Fayqa?” terpacul soalan.

“Dua-dua nak cepat. Fayqa ada kelas pagi ni, Yaya kata ada customer nak datang pagi,” polos jawapan Hajjah Azimah.

“Duduklah Dzariff. Nanti Babah cakap dengan Yaya, jangan buat appointment dengan customer sebelah malam. Kalau tak boleh elak juga, nanti Babah pesan suruh dia bawa staf seorang,” janji Haji Dzulqarnain, bersyukur sungguh dia punya anak sulung yang amat menjaga kebajikan adik-beradik.

Dek kerana Fayqa menumpahkan teh ke ribanya, Dzariff terlupa seketika marahnya kepada si adik yang sudah pandai menipu. Keluar dengan jantan, dengan muka yang kering mulut menyebut berjumpa customer. Bihun goreng di dalam pinggan disuap, air teh yang sudah suam dihirup.

Masuk ke dalam kereta, nombor telefon Fayqa didail. Seperti yang dijangkakan, tiada jawapan. Enjin kereta dihidupkan, kemudian jari-jemarinya cekap menaipkan sms kepada si gadis.

“Why is it that my reproductive part always become your point of attack?” sengaja melemparkan tuduhan keras untuk membuatkan Fayqa rasa bersalah.

“Sorry. Mulut awak tak de insurans,” laju sahaja balasan diterima.

“Kita tengok wayang, apa yang nak dimalukan.”

“Yaya pun tengok wayang juga, kenapa sibuk nak berleter?”

“PICK UP YOUR PHONE!” semua huruf besar! Sudah keluar perintah si jeneral.

Telefon Fayqa berbunyi lagi. Entah apalah aura Dzariff, kalau dia beri arahan, tak reti Fayqa hendak melawan. Butang hijau ditekan.

“Dah sampai?”

“Belum, jalan jam.”

“Kalau Babah dan Ummi saya tanya, saya akan cakap kita pergi tengok wayang. Yaya, dua tiga kali saya tanya, dia tidak berterus terang. Itu bezanya.” Tanpa bermukadimah, Dzariff terus berhujjah.

“Huh... orang lelaki ni!”

“Apa huh orang lelaki ni?”

“Apa-apalah!” malas Fayqa mahu melayan. Di depan mata jam, di hujung telinga, mamat sengal! Sama-sama menjengkelkan.

“Faye....,” lembut Dzariff menyeru namanya, “apa yang awak nak cakap? Hmm?”

Walau pun hanya di telefon, hampir lemah lutut Fayqa yang mahu menekan clutch kereta.

“Faye...” sekali lagi namanya diseru lembut.

Hai, kena jawab ni … mahu diserunya berkali-kali, entah simpang mana yang aku masuk nanti, fikir Fayqa.

“The truth is not always everything,” Fayqa mula membuka bicara.

“Nope, without the truth, there is no trust,” laju Dzariff memotong cakap Fayqa.

Ha, tadi suruh cakap, kita cakap, laju dia potong. Habis, tak payah cakaplah, buat sakit hati saja. Terasa ringan jari Fayqa mahu menekan butang merah.

“Faye....,” seru Dzariff apabila Fayqa diam beberapa detik.

Faye, Faye, Faye! Dia nak aku langgar pokok ke? Fokus Fayqa! Silap-silap nanti bukan langgar pokok tapi cium bontot kereta depan tu.

“Awak yang call saya, awak nak dengar ke tak?” suara sudah naik satu oktaf.

Hai! Dia yang senang-senang siram teh panas ke atas kita, dia pula yang nak marah? Hairan juga Dzariff, marah kena siram dengan teh panas tadi sudah hilang. Siap tersengih lagi macam kerang busuk bila mendengar suara Fayqa yang sudah meninggi.

“Okey, saya dengar. Awak nak kata apa?”

“Iye, bercakap benar tu penting. Tapi kadang-kadang, tangguh sedikit lebih selesa.”

Tangguh lebih selesa? Cakap Bahasa Melayu, tapi aku tak faham. Serupa macam dia cakap Bahasa Tamil saja. Kenapalah susah sangat nak memahami orang perempuan ni, keluh hati Dzariff.

“Err... you have lost me,” haa... kan senang? Tak faham cakap tak faham.

Sambil menggerakkan keretanya seinci ke depan, Fayqa menerangkan, “Ye, Yaya keluar tengok wayang dengan Abang Iz. Tapi perlukah awak nak confront dia depan orang lain? Depan Achik Zee, depan saya? Boleh jadi dia belum bersedia hendak berterus terang.”

“Keluar dating sudah bersedia, nak bagi tahu mak dan abang belum bersedia? Logik apa tu?”

“Saya rasa awak belum tahu Inche Dzariff, tentang betapa misteriusnya hati seorang wanita. Logik dan perasaan wanita ni kadang kalanya tidak wujud serentak.”

“Okey, kadang-kadang perasaan wanita tidak logik. So, let's get back to Yaya.”

“Astaghafirullahilazim..... kenapalah awk ni tak boleh jadi understanding macam Abang Iz?”

Rasanya berasap telinga Dzariff mendengar dirinya dibandingkan dengan Khairul Izwan dan....err.... kalah pula tu.

“Faye, I am not stupid. Kalau awak cakap Bahasa Melayu yang jelas tentu saya faham,” ketara benar suara si jeneral sudah muncul semula.

Fayqa menarik nafas panjang, “Kak Yaya belum bersedia hendak begi tahu awak dan Achik Zee yang dia keluar dengan Abang Iz....”

“Kenapa?” laju Dzariff bertanya.

“Boleh jadi segan...”

“Kenapa?”

“Mungkin sebab belum jelas, antara dia dan Abang Iz. Kawan biasa atau kawan istimewa. She needs to be sure first. Nanti dia dah pasti, barulah dia beritahu.”

“Jadi sementara dia belum pasti, dia akan menyorok-nyorok keluar? Eh, orang perempuan ni tak tahukah, bahaya tahu keluar dengan lelaki tanpa beritahu keluarga.”

Habis tu, yang kau angkut aku sampai hampir tengah malam semalam, ada kau beritahu keluarga aku? Ini hujjah membidas Fayqa, tapi dipendamkan saja. Baik settlekan hal Yaya, sebelum masuk hal mereka yang Fayqa sendiri pun tak pasti hujung pangkalnya.

“Kalau awak hendak adik-adik awak berterus terang dengan awak, cubalah awak approach mereka dengan lembut. Contohnya, tanya Yaya elok-elok. Ini awak attack dia depan Achik Zee dan saya.”

“Attack? Mana ada?”

“Awak yang call saya kan, lepas tu saya cakap, tak mahu percaya pula!” naik semula nada suara Fayqa.

“Okey, okey....” Dzariff mengalah.

“Go have lunch with her, cakap lembut-lembut. Tanya elok-elok. Itu yang Abang Iz buat dengan saya.”

Bila Fayqa sebuat lagi nama abang tirinya, telinga Dzariff berasap kali kedua.

“Okay, okay, I get it.”

“Awak!”

“Apa?”

“Er... please.... jangan bagi tahu siapa-siapa ye, yang kita pergi tengok wayang semalam,” laju tergesa-gesa Fayqa membuat permintaan.

“Kenapa? Tangguh lebih selesa?” belum sempat tapis, meluncur keluar komen dari bibir Dzariff.

Tuut, tuut, tuut. Talian sudah diputuskan si gadis. Dzariff yang masih duduk di dalam kereta yang tidak bergerak, berfikir-fikir...... tangguh lebih selesa? Perlahan-lahan terbit senyuman meleret di bibir.

Wednesday 22 May 2013

Seteguh Fayqa Bab 26


fuh! so bz. 

Amaran dari jabatan kaji cuaca, Seteguh fayqa di blog mungkin hingga bab 27 atau 28. Lepas tu bila nak siap, jawapannya belum tahu....

Bab 26 ni 13 m/s fulamak...spt biasa tulis kelam kabut.... ada apa2 yg nak ditambah baik, bilang sama saya ya. One two three four....(lame joke tgh2 mlm)




Bab 26



Bila Dzalia kata mereka akan jalankan fasa kedua projek mereka, nampaknya mereka tekun benar menjalankannya. Setiap hari Dzariff hanya mampu melihat Fayqa diusung ke sana ke sini oleh 'abangnya.'

Pergi shopping, ulasan selari Dzalia,"Abang, si Pekah ni baik sangatlah. Abang Iz nak belikan dia baju, dia tak nak. Kalau Yaya orang offer cam tu, abis....."

"Habis....," sahut Dzariff dalam hati.

Pergi piknik, ulasan selari Dzalia, " Seronoknya Pekah kat PD tadi. Rupanya baru kali kedua pergi PD. Dulu pergi dengan rombongan kolej. Si Pekah tu yang tahunya kerja sahaja. Abang Iz kata minggu depan nak bawa Pekah pergi Genting Highlands..."

"Eleh...Genting...mana nak lawan dengan Cameron..." rengus hati Dzariff.

Pergi tengok wayang, ulasan si Dzalia," Lerr Abang, Pekah tu setahun sekali pun susah nak tengok wayang. Nak jimat duit katanya, kesiankan? Abang Iz kata kalau Pekah nak tengok wayang, tetiap hari pun dia boleh bawa..."

"Tengok wayang, bergelap bagai....."

Nak dihalang, siapa dia untuk menghalang Fayqa dari keluar dengan abang tirinya. Apa alasan nak diberi? “Awak tak boleh keluar dengan abang tiri awak sebab ….. saya tak suka?” Lame!!

Jadi bila Mushrifah membuka hujjah yang mereka patut ke Kuala Terengganu untuk memastikan penggambaran produk baru syarikat mereka, tanpa banyak fikir Dzariff bersetuju sahaja. Dari saat tiba di sana, bukan proses penggambaran yang difikirkan, tetapi tetaplah budak itu di ingatan. Lagi pun dengan Mushrifah yang tersangat teliti bila bekerja, sebenarnya dia tidak perlu nak tambah apa-apa lagi. Set penggambaran yang cantik, kru yang efisien dan penulis artikel yang profesional. Pastinya coverage produk rempah masakan syarikat mereka akan nampak menarik di dalam majalah masakan keluaran bulan hadapan. Kalau tak datang pun tak apa.

Malam pertama di Kuala Terengganu, mereka berdua menjamu kru penggambaran dan penulis artikel dengan hidangan barbeque di hotel terkemuka tempat penginapan di bandar ibu negeri itu. Malam kedua pula, kru dan penulis memilih untuk makan di bandar. Jenuh juga Mushrifah merengek teringin hendak turut makan di bandar, Dzariff tetap dengan keputusannya mahu makan malam di hotel sahaja. Tak ada mood nak merayau ke mana-mana! Mushrifah pula bila Dzariff tidak pergi, dia pun tidak jadi mahu keluar ke bandar.

Makanya makan malam mereka berdua sahaja di restoran hotel yang mengadap laut yang damai dan berlatarkan bandar Kuala Terengganu yang bermandikan cahaya. Tapi gaya Dzariff makan sama seperti dia sedang makan di rumahnya, langsung tidak menikmati persekitaran yang indah. Matanya hanya fokus kepada nasi goreng makanan laut di dalam pinggan. Mushrifah di hadapan menjuling ke langit! Bukan senang nak makan dengan dia dengan setting yang begitu romantik begini. Si dia pulak buat don't know!

Melihat teman makan merangkap rakan niaganya diam sahaja, Mushrifah mula membuka bicara, “Everything went well, huh? Actually it went beyond my expectations. Hmm, tak sabar nak tengok hasilnya dalam majalah tu bulan depan.”

“I had no doubts, Mush. Kalau you yang handle, mesti hasilnya excellent,” balasan Dzariff dengan nada suara yang mendatar.

Berseri-seri muka Mushrifah mendengar pujian si rakan niaga yang sudah lama mendapat tempat di hatinya. “Jif, untuk promosi kita lepas ni....”

“Mush,” Dzariff mendongak kepala memandang gadis yang duduk di hadapannya, “ boleh tak kita cakap pasal business sebelah siang saja? You ni workaholiclah, 24 jam fikir pasal business. Malam untuk berehat, okey.”

“Okey, kita nak cakap pasal apa?” ada nada mencabar di situ. Bukannya Mushrifah tidak kenal Dzariff, sudah berpuluh tahun mengenalinya. Selain dari business, tiada topik apa lagi yang diminatinya.

“Apa-apa sajalah,” jawapan pendek seperti biasa.

“Okey.... how about...,” terdiam sebentar gadis yang petah berbicara yang sentiasa menguasai perbincangan di bilik mesyuarat, “how about..... your dream house?” Entah bagaimana, topik itu yang melintas di kepalanya.

Timbul senyuman kecil di bibir Dzariff, namun cukup untuk melihatkan lesung pipit di kiri kanan. Terpukau Mushrifah dibuatnya! Lesung-lesung pipit yang bisa menukar wajah Dzariff dari seorang businessman yang sangat serius kepada …. kepada.... seorang jejaka yang tersangat menawan. Hai....kalaulah hari-hari boleh mengadap wajah menawan ini, desah hati Mushrifah. Kalau boleh hendak mengadap hingga ke tengah malam, hingga ke subuh esok!!

“Kenapa senyum?” soalan ditanya dengan hati yang berdebar-debar.

“Mush, you are so intuitive. That's why you are such a great businesswoman,” senyuman tadi sudah menjadi meleret-leret. Semakin jelas terserlah lesung pipit sepasang di pipi.

Senyuman disambut dengan senyuman. Kalau orang tidak tahu, mesti sudah menyangka mereka pasangan yang sedang memadu kasih. Makan malam sambil tersenyum-senyum memandang kau dan aku.

“So? Apa ceritanya?” Korek cerita sudah jatuh wajib hukumnya!

“I am looking at houses now,” Dzariff membuka cerita, tapi seperti biasa mukadimahnya pendek sahaja.

“Wow! Amazing! Wait, wait! You nak beli rumah? Mummy's boy yang asyik berkepit dengan mak, nak beli rumah?” Bukan hendak mengusik, tetapi susah hendak percaya yang Dzarii yang begitu rapat dengan keluarganya hendak berpindah ke rumah sendiri.....

“I love my mother and I love my family. See, I tak malu nak mengaku. Apa hilang macho ke seorang lelaki kalau mengaku sayangkan mak dan keluarga?” Wah! Jejaka serius ini ada mood nak berjenaka pula malam ini, sekali lagi terpegun Mushrifah dibuatnya.

Tak... tak hilang macho, jawab Mushrifah dalam hati, semakin bertambah macho adalah. Sebab pastinya lelaki penyayang begini akan menjadi suami dan bapa yang penyayang juga. Macam manalah aku tak jatuh hati dengan kau, my dear business partner!!

“Tak, I tak kata Mummy's boy sorang ni tak macho,” semakin berani Mushrifah menyusun kata, “tapi.... you kalau berminat nak beli rumah... ada dua kemungkinan sahaja.

“And they are?” tanya Dzariff terus terang.

“Satu....,” Mushrifah mengurut-ngurut dagu, “you are buying for investment...”

Dzariff mengangguk-angguk kepala, telahan yang bijak...

“Dua...,” sengaja berjeda, “ you beli rumah sebab nak kahwin!”

Meletus ketawa Dzariff, siap terbahak-bahak. Mushrifah memandang wajah rakan niaganya dengan penuh kehairanan. Susah hendak melihat Dzariff ketawa besar, sebegini. Kenapa sehari dua ni perangai Dzariff berbeza sungguh?

“Hei! Betulkah you nak kahwin?” berani sekali Mushrifah bertanya.

“Tentulah!” pendek lagi jawapannya.

Dagu Mushrifah sudah jatuh ke lantai!

“Siapa yang tak mahu kawin?” giliran Dzariff untuk mencabar, “you saja yang tak mahu kahwin, kerja siang malam pagi petang. Orang lain semua nak kawin.”

“Jif! Siapa kata I tak nak kahwin? Saya perempuan normal, okey? But back to you …. dah ada calonkah?” soalan ditanya tampak tenang, hati di dalam Tuhan sahaja yang tahu.

“Jodoh kita kan ditentukan Tuhan …..,” itu sahaja yang mampu dijawab Dzariff, dia sendiri belum tahu isi hatinya yang sebenar. Yang dia tahu, otaknya asyik teringatkan budak itu.

“Oh so mysterious..... sounds like there's already somebody in your heart,” tebak Mushrifah, dalam hati berkata alangkah bertuah jika akulah orangnya.

Sang jejaka hanya mampu tersengih, teringatkan gadis yang menumpang di rumah keluarganya. Diakah orangnya? Seriously?

Mata hinggap ke wajah gadis yang duduk di hadapannya, tapi hati pula hinggap di gadis yang nun di pantai barat sana. Tersengih pula tu, membuatkan Mushrifah ralit memandang lesung pipit sepasang di pipi. Merudum-rudum gadis itu jatuh hati.

“......... Kota Damansara, okey tak?”

Huh? Berkelip-kelip mata Mushrifah, apa benda yang Dzariff tanya?

“Huh?” Oh-so-not-elegant!

“I'm asking you.... Kota Damansara okey tak?”

Melihat Mushrifah yang masih lagi kebingungan, soalannya diperjelaskan, “I plan nak beli rumah di kawasan Kota Damansara, okey tak?

Eh, kenapa tanya aku, sempat juga terlintas di kepala. Mulut pula nakal, teringin hendak bertanya, “Is it important whether I think it's okay or not?”

“You kan pandai bab-bab business, hartanah, etc. So, I nak minta pendapat you,” sambung Dzariff.

Sebab tu saja? Terbit sedikit kecewa di hati Mushrifah. Kalau dia jawab, “Of course it's important dear, you pun nak duduk di situ juga kan?” mahu aku buat lompat bintang!!

Dek kerana Mushrifah tidak menjawab, Dzariff menyambung, “I nak sama area dengan rumah keluarga I. Senang, kalau Ummi Babah pening ke, demam ke, senang nak pergi jenguk. Kalau baby sitter sakit ke, boleh minta Ummi tengokkan anak.....”

Anak? Oh my!! Melayang-layang Mushrifah berangan ….. Beginilah agaknya rasa jika berbincang tentang masa depan dengan si dia …... Dan angan-angan itu berterusan sehingga Mushrifah dibuai lena malam.

Si dia yang diangankan pula tak mampu nak memejamkan mata. Nak kata panas, bilik hotel berhawa dingin. Nak kata tidak katil tidak selesa, tilamnya tebal berinci-inci. Akhirnya telefon pintar dikeluarkan dan dibelek-belek. Nombor telefon Fayqa direnung entah berapa lama. Ummi yang berikan hari tu, entah sebab suruh pesankan apa kepada Fayqa.

Nak mesej? Nak call? Nak mesej, nak call, ada hal apa? Hal apa, Dzariff? Hal hati kaulah! Biar betul aku ni? That girl?

Sedang otak masih lagi berdebat-debat, jari-jemari cepat sahaja menaip dan menekan butang send.

“Buat apa?”

Tidak sampai seminit, telefon berlagu. Amboi cepatnya dia jawab!

“Beratur.”

Ceh! Bagus punya jawapan, beratur ke mana? Budak ni memang nak kena!

“Beratur ke mana?”

“Ironman.”

Ceh! Tengok wayang lagi! Rasanya dia tahu dengan siapa, tapi gatal juga jemari nak bertanya....

“Dengan siapa?”

“Abang Iz Kak Yaya.”

“Lewatnya.. bahaya.”

“Abang Iz ada.”

Ceh! Abang Iz, Abang Iz, Abang Iz, Abang Iz! Hati marah tapi jari-jemari berjalan juga...

“Sampai rumah nanti sms saya.”

Manalah ingat nak sms bila sampai rumah sudah hampir tengah malam! Sampai ke bilik tidur bantal memang sudah melambai-lambai panggil. Jawapnya kababoom!

Malam esoknya, bukan main terkejut Fayqa melihat si jeneral sengal bersandar di Kancil buruknya di luar butik Dzalia. Mukanya seperti biasa serius tidak beriak. Apa pula yang aku dah buat? Fikir Fayqa. Oh! Sebab tak sms semalam?

Kaki melangkah menghampiri Kancil. Dah tu nak balik naik apa lagi? Sampai di depan Kancil, si sengal masih belum bergerak. Kaku bersandar di pintu pemandu, tangan berpeluk tubuh, mata tajam memandang si gadis.

Nak kata apa? Ke tepilah? Atau.... bila balik dari Terengganu? Atau... bawa balik keropok lekor tak? Tersengih kecil Fayqa dengan lawak bodohnya sendiri.

“Kenapa lewat sangat bekerja?”

“Banyak customer nak kena settle.”

“Yaya mana?”

“Dia ada appointment dengan customer.”

“Dah makan?”

“Tak lapar.” Jawapan jual mahal.

“Dah solat?”

“Dah.” Wei....banyaknya soalan dia!!

“Jom,” butang remote kunci keretanya ditekan, selang dua biji dari Kancil Fayqa.

“Ke mana?”

“Teman saya makan.”

Mulut baru saja nak kata tak nak. Tapi bila si sengal sebut 'temankan dia makan,' macam tak mampu pula nak kata tidak. Hari tu seharian si sengal bawa dia ke Cameron Highlands untuk 'sort out her thoughts,' hari ini si sengal nak suruh temankan makan pun takkan nak menyombong pula.

“Kancil?”

“Tinggal sajalah kat sini...”

Wah, mentang-mentang kereta aku buruk, kereta pinjam...

“Takkan hilang ... hari tu tinggalkan kat Taman Metropolitan okey saja.”

Sempat Fayqa tarik muka masam, yelah tu kalau hilang pun berapa sen saja harga keretanya. Dzariff sudah tiba di keretanya. Pintu kereta dibuka untuk Fayqa. Wah! Gentleman juga mamat ni, sempat buat ulasan selari dalam hati.

Dalam kereta tidak ada sembang apa-apa. Janggal rasanya. Mereka hanya pernah sekali berbual panjang lebar, di Cameron Highlands hari tu. Tapi rasa sombong pula jika tak buka mulut, sudahlah menumpang di rumah keluarganya.

“Bila balik dari Terengganu?”

Oh, tau juga dia aku ke Terengganu, fikir Dzariff, rasa suka menerpa ke dada.

“Petang tadi.”

Cukuplah tu, fikir Fayqa. Sembang banyak-banyak, apa nak jadi BFF ke?

Kereta menghala masuk ke dalam parkir The Curve. Kecur air liur Fayqa, mengingatkan restoran ternama yang berbaris-baris di situ. Ha... tadikan bagi jawapan jual mahal. Kalau macam ni, kalau dia makan, aku makan jugalah, fikir Fayqa. Eeee tak malu.... Tapi bukannya mereka ke restoran tapi ke …... panggung wayang!

“Awak.... nak tengok wayang?” nada suara kurang berkenan.

“Takkan pergi panggung wayang nak beli baju?” Amboi sinis pula jawapan si sengal ini.

“Semalam saya baru tengok wayang,” Fayqa cuba memberikan alasan.

“Saya tahu,” aik! Lain macam saja bunyinya?

Tiba di kaunter tiket, Fayqa mencuba lagi, “Tadi kata nak makan?”

“Lepas tengok wayang, makanlah.”

Tengok wayang …. makan ….. ish macam berdatinglah pula!

“Pilih cerita,” adoi! Ajak tengok wayang pun masih lagi dengan nada perintah-perintah!

“Apa-apa pun asalkan jangan Ironman.”

Dzariff membelikan tiket wayang The Great Gatsby. Fayqa yang melihat berfikir, apa-apa sajalah! Pelik sungguh si sengal ni sorang, balik out station, angin tidak, ribut tidak, tiba-tiba ajak pergi tengok wayang. Tipu pula tu, kata konon nak pergi makan.

Beralih ke kaunter makanan, Dzariff belikan pop corn bekas besar, dua gelas minuman dan dua ketul hot dog. Lepas ni nak makan lagi? Tapi malas Fayqa nak komen. Masuk ke dalam panggung wayang, telefon Dzariff berbunyi. Segera di keluarkan dan skrin ditelek.

“Malam pun nak bincang hal business lagi,” dengus Dzariff, telefonnya dimatikan tanpa menjawab panggilan.

Melihat Dzariff mematikan telefon, Fayqa turut mengeluarkan telefonnya untuk dimatikan. Sedang menekan butang itu dan ini, terasa badannya diselimutkan. Kepala didongak, tubuhnya sudah dibaluti jaket Dzariff. Dengan penghawa dingin di dalam panggung, terasa bagai di Cameron Highlands sekali lagi.

“Nanti sejuk,” komen si jeneral.

Lampu dimatikan dan iklan-iklan dimainkan. Fayqa menghulurkan tangannya kiri dan kanan ke dalam lengan jaket. Memang dia tidak tahan sejuk. Tiba-tiba telinganya menangkap suara-suara yang sangat dia kenal.

“Gelaplah, itulah you, makan lambat sangat,” kompelin wanita sambil menuruni tangga-tangga wayang.

“Pegang bahu I,” jawab teman lelakinya.

Eh! Itu suara..... Fayqa memalingkan kepalanya. Hah! Kan dah kata! Abang Iz dan Kak Yaya!

Laju Fayqa memalingkan semula kepalanya. Kolar kemeja-T Dzariff ditarik kuat dengan kedua-dua belah tangan.

“What?!!” belum sempat Dzariff membuka mulut, jari-jari Fayqa sudah menutupnya. Tangan kanan Fayqa masih di kolar bajunya. Wajah Fayqa hanya satu inci dari wajahnya. Tidak jadi Dzariff mahu bertanya. Terkejut kolar bajunya ditarik, tapi lebih terkejut lagi dengan keadaannya yang sangat rapat dengan Fayqa. Bagai pasangan mahu .... Tidak berkelip mata Dzariff memandang wajah Fayqa. Apa kena budak ni?

Selepas seminit dua, dengan mereka berdua masih berada di dalam posisi yang sama, Fayqa meninjau-ninjau sepasang kekasih yang duduk empat baris di hadapan mereka. Kolar baju Dzariff, dilepas kan. Jari telunjuk dibibir, kemudian ditunding ke arah pasangan itu.

Bibirnya dirapatkan ke cuping telinga Dzariff, “Kak Yaya dan Abang Iz.”

Jari telunjuk Dzariff dibengkokkan dua kali di hadapan muka Fayqa, tanda meminta Fayqa mendekatkan telinganya. Bibir Dzariff pula merapati cuping telinga Fayqa, perlahan-lahan dia berbisik, “So what?”

Berkerut dahi Fayqa! So what?!! Mamat ni!

Jarinya pula dibengkok-bengkokkan di hadapan wajah Dzariff, di cuping teling Dzariff dibisikkan, “Nanti derang nampak kita!”

Giliran bibir Dzariff sekali lagi di cuping telinga Fayqa, “So?”

Ternganga mulut Fayqa! Comel gila! Bibir Dzariff terenyum lebar. Mata Fayqa mencerun, oh! he is enjoying this!

“Jom keluar!” bisik Fayqa.

“Why?” bisik Dzariff.

“WHY?!!” dek kerana marah, terlupa pula nak berbisik.

“Shhhhh!!!” marah orang di sekeliling mereka.

Alamak! Malunya! Cepat-cepat Fayqa merendahkan tubuhnya dan memandang ke arah Khairul Izwan dan Dzalia, bimbang kalau mereka berpaling ke belakang. Semakin lebar senyuman Dzariff. Dah keluar lesung pipit sepasang! Tapi kali ini sedikit pun tidak cair hati Fayqa, lagi marah adalah. Orang panik, dia lagi suka!

“Awak, jom balik!” berbisik lagi.

“Lepas habis cerita nilah,” selamba bisikan balas Dzariff.

Malas melayan pe'el si sengal, Fayqa mahu mengangkat kaki sahaja. Tiba-tiba melingkar tangan kekar Dzariff dibahunya.

“Awak! Lepaslah,” protes Fayqa, suka-suki nak peluk orang.

“Jangan keluar,” keluar perintah.

“Saya nak ke bilik air,” helah Fayqa.

“Jom, saya temankan,” kilas Dzariff.

“Bukan jauh sebatu yang awak nak temankan.”

“Faye, kita tengok wayang ini sampai habis,” keputusan muktamad.

Terkumat-kamit mulut Fayqa membebel secara senyap. Dzariff di sebelah tersenyum lagi. Lebih seronok menonton si gadis di sebelah dari menonton wayang di layar.

“Hello, mister,” bisik Fayqa, jari dituding ke arah tangan kanan Dzariff yang masih hinggap di bahu kanannya.

Senyuman masih melekat di bibir, tangan kanannya dialihkan. Hot dog di dalam bungkusan dihulurkan kepada Fayqa. Gadis itu menggeleng-gelengkan kepala.

“Nak saya suap?” walaupun berbisik, gertak tetap gertak.

Dengan muka yang masam, hot dog diambil.

“Ngadap rezeki, jangan masam muka,” tegur Dzariff.

Sekali lagi berkerut muka Fayqa, segala benda semua dia nak control! Sengal betul mamat ini!
Dzariff di sebelah tersenyum lagi. Serius, usik budak ini lagi seronok dari tengok wayang. Setiap langkah Fayqa diperhatikan. Bungkusan hot dog dibuka, lalu disuapkan ke mulut. Kemudian dia tersedar yang dia sedang diperhatikan. Dengan mulut yang sedang mengunyah, dia menggerakkn kepalanya ke arah layar wayang, sebagai isyarat menyuruh Dzariff menonton wayang, bukan dirinya. Tersenyum lagi sang jejaka. Sekali lagi Fayqa menggerakkan kepalanya ke arah layar wayang. Comel sungguh, fikir Dzariff sambil memandang bibir Fayqah yang bersememeh dengan sos. Jarinya ditudingkan ke arah sudut bibir sendiri, sebagai isyarat bibir gadis itu comot. Buntang mata Fayqa, automatik dijelirkan lidahnya menjilat sudut bibir. Ralit Dzariff memandang, liur ditelan. Bila tersedar, laju matanya beralih ke arah layar wayang.

“Bahaya...,” bisiknya kepada diri sendiri.

Usai tayangan wayang, lampu panggung dinyalakan semula. Fayqa tidak peduli, beria-ia dia menyuruh Dzariff merendahkan tubuhnya untuk mengelak dari dilihat oleh Khairul Izwan dan Dzalia. Memang tak macho, menyorok-nyorok macam budak buat salah. Tapi garangnya Fayqa, berkali-kali bahunya ditumbuk bila Dzariff degil masih tegak duduk di kerusi. Hmm, kali pertama kena tumbuk dengan perempuan! Tersengih lagi Dzariff.

Lama selepas Khairil Izwan dan Dzalia keluar dari panggung wayang melalui pintu di sebelah layar, barulah Fayqa dan Dzariff bangun dan melangkah ke pintu keluar. Tiba di luar, panjang tengkok Fayqa mencari kelibat Khairul Izwan dan Dzalia. Ternampak sahaja mereka di hadapan, jarinya memberikan isyarat kepada Dzariff. Lagak Fayqa sebiji macam Pink Panther yang menjejaki penjenayah. Mamat di sebelah selamba berjalan bagai tiada apa-apa. Fayqa menjadi stalker sehinggalah Khairul Izwan dan Dzalia masuk ke dalam BMW hitam milik abang tirinya.

Apabila kereta itu memecut pergi meninggalkan parkir bawah tanah kompleks membeli-belah itu, dengan dahi yang berkerut, Fayqa membuat rumusan, “There's something going on between those two.”

“Is there something going on between us?” itu pula yang difikirkan Dzariff, mata melekap ke wajah Pink Panther-wannabe di sebelahnya.