Wednesday 31 July 2013

Dia Seadanya Bab 6


Janji hari Rabukan, sorrylah terlambat sikit. Taip punya taip, panjanglah pula Bab 6 ni. Subuh tadi baru siap.


Projek no 2 muncul pula, kome! Dan si Alpha Male dengan cekapnya memerangkap si gadis yang asyik mengelak... jeng jeng jeng!!


Bab 6



Esoknya, hari Selasa, Tareq ke gym lagi. Sementelah sudah jadi ahli, kata mindanya. Tapi bila tiba di gym, matanya liar mencari Emmalyn. Akhirnya ternampak si gadis sedang berlari di atas treadmill, dengan lelaki metroseksual, si Rizairil berlari di atas treadmill sebelah.

“Humph, semalam dia kata hari ini nak ke kelas kick boxing? Aleh-aleh melekat pula dengan si Melin?” ngomel Tareq dalam diam. Kemudian baru tersedar, “Apa hal pulak aku kisah?”

Kisah tak kisah sambil buat senaman memanaskan badan, matanya asyik menjeling ke arah Emmalyn dan teman rangginya. Ceria sentiasa! Seperti biasa, Emmalyn menjadi pendengar, temannya yang banyak berceloteh. Mana tak rajin berceloteh, si pendengar asyik tersenyum lebar.

Bila Emmalyn dan Rizairil bergerak ke arah stesen dumbell, baru si gadis tersedar kehadiran Tareq. Sekali tangannya melambai, bagaikan menyapa, kemudian terus memulakan senaman untuk bahagian atas badan, bicep dan tricep. Sambil bersenam menggunakan dumbell, tak habis-habis Rizairil berceloteh, Emmalyn nampak bagai terhibur dan sekali sekala terlepas tawa kecil.

Selepas lima puluh minit, Emmalyn dan Rizairil menamatkan rutin senaman mereka. Sambil melangkah keluar bilik senaman, sekali lagi tangannya melambai ke arah Tareq. Kali ini Rizairil turut melambai, mahu tak mahu, Tareq terpaksa membalas. Hati mendongkol melihat mereka melangkah pergi bersama. Rasa pelik kenapa dia berasa begini malas dia nak fikirkan.

Keluar dari bilik persalinan perempuan, terkejut Emmalyn melihat si Alpha Male berdiri betul-betul berhadapan dengan pintu, bersandarkan dinding, tangan berpeluk tubuh. Sempat Emmalyn menjeling otot-otot kekar di tangannya. Jaga pandangan, Melin! Mata dilarikan ke atas, hinggap di wajah nan macho. Dada pula berdebar-debar semacam. Habis nak terngok ke mana? Akhirnya dia tercegat di hadapan si Alpha Male, mata tertancap ke lantai.

“Dinner?”

Okeykah pergi dinner dua malam berturut-turut? Was-was, manalah Emmalyn tahu hukum berdating, sebab tak pernah dia berdating sebelum ini. Kalau diiyakan sahaja, tak nampak macam murah sangatkah? Perlukah jual mahal? Jual mahal? Jual apa?  Argghh! Pening!

“Dinner?” kali kedua.

“Errrmm… errrmm… malam ni saya dah janji dengan Mama nak tolong dia buat goodie bag untuk kenduri berendoi anak sepupu saya,” bohong sunat, memang Mama minta tolong, tapi Emmalyn tak ada berjanji pun, lagi nak mengelak adalah. Jemulah dengan aktiviti keras tangan macam tu, kalau merayau tu anytime!!

“Oh, tomorrow night then.”

Di telinga Emmalyn terdengar macam ayat penyata, buka ayat soal. Confident je si Alpha Male ni, dia ingat aku ini apa. Malas nak bertelingkah, Emmalyn hanya tersenyum hambar.

“Bye,” tangan melambai separuh hati, kaki melangkah pergi.

Sang jejaka berbadan tegap memandang tak lepas-lepas hingga tubuh comel si gadis hilang disebalik pintu utama gym.

Petang esoknya sang jejaka ke gym lagi, terus ke bilik senaman, si gadis tiada di situ. Ah! Hari Rabu….zumba! Langkah dihayun ke bilik senamtari, namun di sana hanya kelihatan si mamat metroseksual, Rizairil. Dia tak datang hari ni? Tak sihat? Telefon pintar dikeluarkan, jarinya laju menekan-nekan skrin.

“No gym?”

Hampir setengah jam baru jawapan diterima. Telefon bergetar di dalam poket. Dumbell diletakkan, skrin dibelek.

“Goodie bags belum siap.”

Goodie bags lagi? Ye ke? Atau si gadis nak mengelak? Bukan kata nak-buat-senangkah? Huh! Tipikal orang perempuan, kata saja nak-buat-senang. Ini apa? Dia sendiri yang buat-tidak-senang. Okay….we’ll see, dia nak-buat-senang atau nak-buat-susah. Kalau nak-buat-susah, tak payahlah! Biarlah aku hidup bujang sampai ke tua.

Setiap petang Tareq ke gym tapi Emmalyn tiada. Dia pasti kalau dia sms, jawapannya mesti goodie bag belum siap. Humph! Kalau dia nak mengelak, biar sajalah dia mengelak. Tareq tiada niat hendak mengejar. Dari dulu hingga sekarang, Tareq Abdul Aziz tidak pernah mengejar perempuan.

Baru Tareq hendak melangkah keluar dari bilik persalinan lelaki, berselisih pula dengan Rizairil, “Eh, Emmalyn tak nampak minggu ni ye? Hari Isnin saja dia datang. Selalunya hampir tiap-tiap petang dia datang.”

“Sibuk, ada kenduri keluarga katanya,” soalan Rizairil dijawab. Soalan di minda sendiri turut terjawab. Sah, si gadis mengelak!

Hujung minggu, hari Sabtu, bila tinggal dengan keluarga, aktiviti utama adalah berkenduri. Hendak mengelak, sudah sembilan tahun dia tidak berkenduri-kenduri ini. Tiga tahun semasa belajar di U.K. dan enam tahun semasa bekerja di Qatar. Memang tidak dapat mengelaklah kerana semasa kenduri beginilah emaknya dapat menjalankan projek mencari jodoh untuknya.

Biarlah Mama, asalkan dia bahagia. Cukuplah enam tahun Mama berendam air mata kerananya. Biarlah Mama perkenalkan dia dengan anak dara itu, anak dara ini. Tareq hanya buat muka selamba. Jodoh? Itukan Tuhan yang tentukan. Ha, ha, Mama berusaha, Tuhan yang tentukan.

Turun dari kereta, melangkah ke khemah, orang pertama yang dia nampak adalah Uda Jah, telangkai paling gigih di Ipoh. Dari jauh, Uda Jah sudah melambai!

“Mah! Sampai juga kau, ingatkan tak datang,” punyalah girang menyambut kawan baiknya.

“Ate…. dah pencen, apa lagi nak buat? Tak datang kenduri, tak berdunialah dengan orang,” jawab Hajjah Asmah.

Si Tareq pula berkira-kira, kalau ada Uda Jah, tentulah ada…. Ha! Tu dia, si gadis yang tekun mengelak darinya sepanjang minggu. Baru keluar dari rumah, berjalan ke arah khemah, dengan seorang anak kecil dalam dukungan. Terserlah aura keibuan, terpesona Tareq dibuatnya.

“Hoi! Tenung anak dara orang, tak berkelip-kelip mata!” sergah Uda Jah, pecah terburai tawa orang di sekeliling. Bebahang wajah Tareq.

“Melin! Sini!” ha, dah keluar siren semulajadi Uda Jah, “Andak Mah dah sampai ni.”

Emmalyn yang kalau boleh nak berpatah balik masuk ke rumah tiada pilihan lagi. Dah kena jerit nama begitu, semua orang sudah memandang ke arahnya, terpaksalah terus melangkah ke khemah. Tiba di meja keluarga tareq, dia bersalaman dengan Hajjah Asmah.

“Anak siapa ni, Melin?” tanya Hajjah Asmah, anak kecil dalam dukungan Emmalyn dicubit-cubit pipinya.

“Anak Kak Yah, cucu Alang Esah.”

“Oh, dah bercucu si Esah ye?”

Soalan Hajjah Asmah hanya dijawab dengan anggukan.

“Mah, moh ler kita masuk ke dalam, majlis nak mula dah,” ajak Uda Jah.

Belum sempat Uda Jah dan Mama Tareq melangkah masuk ke rumah kenduri, nama Udah Jah dikelui, “Jah! Oh Jah!”

Semua mata berkalih ke arah seorang wanita pertengahan umur yang anggun bergaya.

Oh! No! Mak Chu Rida! Dan di belakangnya mummy’s boy, Hafizi! Emmalyn tidak dapat menahan dari menjeling ke langit. Si Alpha Male di sebelah yang bermata tajam sempat menangkap aksi si gadis. Apa hal pula ni?

“Jah! Lamanya tak jumpa, susahnya nak jumpa, macamlah duduk di London,” tegur Puan Norida sambil bersalam bercium pipi kiri kanan.

“Eh, dia yang asyik naik ke KL, manalah nak jumpa dengan kita,” jawab Uda Jah sambil memandang Puan Norida bersalam dengan Hajjah Asmah, “ini Asmah, sepupu sepapat kami juga.”

“Ha! Emmalyn, bila nak datang ke rumah Mak Chu? Fizi kata dah banyak kali dia ajak,” Emmalyn, calon utama menantu perempuan tunggal disapa.

“InsyaAllah, sampailah nanti Mak Chu,” jawab Emmalyn, tanpa berjanji yang konkrit.

“Eh, jom masuk ke dalam, orang dah nak marhaban tu,” ajak Uda Jah.

Maka tinggallah di meja itu, Emmalyn bersama projek kedua dan projek ketiganya. Ya Allah! Dia tidak berhenti-henti berdoa, janganlah yang kedua dan yang ketiga tahu tentang hal ini. Matanya melilau-lilau mencari jalan nak lari dari khemah ini. Habis kalau lari, anak Kak Yah ini nak ditinggalkan dengan siapa?

“Lama tak dengar berita awak, Melin,” Hafizi yang dahulu membuka mulut.

“Sibuk,” pendek jawab Emmalyn.

“Buat goodie bag,” sambung Tareq dalam hati.

“Err… ini Tareq, anak Andak Asmah. Tareq, ini Hafizi, anak Mak Chu Rida,” takkan tak perkenalkan, walau pun kalau boleh memang Emmalyn tidak mahu yang kedua dan yang ketiga berkenalan.

“Hafizi,” tangan dihulurkan.

“Tareq,” huluran tangan disambut.

“Melin, kenapa tak nak minta pun kerja tu? Kan Fizi dah kata Fizi boleh rekomen?” soalan ditanya kepada Emmalyn, tapi Tareq turut tekun mendengar.

“Malaslah.” Pendek, trademark Emmalyn.

“Malas? Come on, Emmalyn! Syarikat tu antara firma akauntan terbesar di Malaysia. Gajinya vavoom!”

“Kerja saya di sini pun okey.”

“Okey? With all due respect to your uncle, but surely a graduate from abroad like you could do better!”

Bibir Emmalyn tersenyum tawar. Buat masa ini dia tiada perancangan langsung untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Biarlah gajinya tidak setanding gaji di syarikat-syarikat besar di KL, tetapi dekat dengan keluarga yang sudah lama terpisah. Lagi pun dia lebih gemar dengan kehidupan di Ipoh yang tidak sesibuk KL, kerja tetap kerja tetapi masih ada masa untuk ke gym di sebelah petang dan makan bersama keluarga setiap malam. Dan boleh berkumpul dengan keluarga besarnya pada hujung minggu.

“Minta kerja tu ye?” bagai merayu pun iya.

“Fizi, buat masa ini saya selesa di Ipoh.”

“Atau Melin tidak mahu kerja di KL kerana Fizi ada di sana?” elok terbit soalan itu, Emmalyn sempat mengerling ke arah wajah Tareq buat sedetik. Jelas riak muka si Alpha Male itu sudah menangkap bahawa ada ‘sesuatu’ antara Emmalyn dan Hafizi.

Apa lagi yang boleh dibuat, soalan perlu dijawab. Hafizi sebiji seperti emaknya selagi tidak dijawab, soalan itu akan diulang-ulang. “Tak, Fizi. Memang sebelum balik dari U.K. lagi saya sudah buat keputusan hendak bekerja di Ipoh.”

“Fizi boleh minta kerja di Ipoh, Melin.”

Kening Tareq sudah terjungkit sebelah. Emmalyn menarik nafas dalam-dalam, “Eh, kerja Fizi kat sana kan vavoom gajinya.” Perkataan vavoom yang digunakan Hafizi tadi, digunakan Emmalyn.

“Melin…..”

“Eh! Pampers Rania dah basahlah,” bohong sunat lagi, Emmalyn cepat-cepat bangun dengan Rania masih dalam dukungannya, “Melin masuk tukar pampersnya dulu ye.”
Tanpa menunggu jawapan dari kedua jejaka, Emmalyn melangkah pergi.

Memang, dia pandai mengelak, fikir Tareq.

Hilang kelibat Emmalyn ke dalam rumah, mata kedua jejaka bertaut, “Jinak-jinak merpati,” komen Hafizi.

Komen Hafizi tidak dibalas, sebaliknya hati Tareq bertanya, “Projek ke berapa ni?”

Sepanjang-panjang majlis berendoi, Emmalyn menyorok di dalam rumah, hendak mengelak dari Hafizi. Usai majlis berendoi di dalam rumah, semua orang keluar untuk menjamu selera di bawah khemah. Jenuh Emmalyn meminta abang dan adik lelakinya untuk mengambil sepinggan nasi untuknya. “Ish, macam puteri raja!” cemik Emil dan Elyasa’. Ceh! Tak boleh minta tolong sikit, dengus Emmalyn dalam hati. Dah pukul 1.30 tengahari, manlah perutnya tak berbunyi-bunyi. Tapi lebih rela dia menahan lapar dari berhadapan dengan double trouble, Hafizi dan Tareq.
Baru sahaja perutnya berkeroncong, terjengul Tareq dengan sepinggan nasi di tangan kanan dan segelas air sirap di tangan kiri. Nasi dan air diletakkan di hadapan Emmalyn yang sedang bersimpuh di atas lantai.

“Makanlah.”

“Awak dah makan?”

“Dah, di luar tadi.”

Emmalyn bangun mahu ke dapur. “Nak ke mana pula tu?” tanya Tareq.

“Dapur, basuh tangan.”

Usai basuh tangan, patah balik ke ruang tamu, Tareq masih duduk bersila di situ. Tanpa segan silu, Emmalynn bersimpuh semula dan menjamu selera tanpa memperdulikan Tareq. Perutnya sudah lapar sangat!

Licin nasi di pinggan, air sirap diteguk. Eh! Masuk pula si Hafizi ke dalam mencari Emmalyn.

“Melin makan di dalam?” bukan ingin tahu tetapi hairan.

“Haah, sejuk di dalam,” jawab Emmalyn. Licik fikir Tareq.

“Melin, esok saya balik ke KL selepas Maghrib. Jom shopping esok?”

“Ah…Melin…”

Belum sempat Emmalyn hendak berikan alasan, Tareq memotong, “Emmalyn dah janji hendak pergi hiking dengan saya esok.”

Liciknya dia, fikir Emmalyn. Tentulah aku tidak membantah kerana aku memang hendak mengelak dari Hafizi.

“Oh!” melopong Hafizi seketika, wajah Tareq ditenung tajam. Siapa dia ini hendak memotong line? Sedar wajahnya ditenung, riak wajah Tareq tetap selamba.

Mata Hafizi berpindah ke wajah si gadis. Emmalyn mengangguk kecil, mengiyakan kata-kata Tareq tadi.

“Okeylah,” di mulut, di hati tidak, “minggu depan Fizi balik, kita keluar ye,” tidak mahu mengalah anak lelaki tunggal Puan Norida.

“InsyaAllah,” nak jawab apa lagi.

Tangan dihulurkan juga kepada Tareq. Memang Hafizi gentleman, itu Emmalyn tak dapat sangkal.

“Melin, saya jalan dulu.”

“Hati-hati drive balik ke KL.”

“Thanks, dear,” balas Hafizi, berbesar hati si gadis masih mendoakan untuknya.

Dear? Dear kah? Tanya Tareq dalam hati sambil mata memandang Hafizi melangkah pergi.

“Nombor berapa?” mata tetap memandang Hafizi, tetapi soalan ditujukan kepada Emmalyn.

“Dua.” Malas Emmalyn hendak berpura-pura tidak faham.

“Berapa projek semuanya?”

Ish malunya bercakap pasal projek-projek ni, dengan muka membahang, Emmalyn mejawab, “So far, tiga.”

“So far?” tanya Tareq dalam hati. “So far?” tanya hatinya sekali lagi.


Tuesday 23 July 2013

Dia Seadanya Bab 5


Hello all, minggu yang macam2 bagi saya. Bottom line tak produktif langsung. Siap bab 5 ni rasa macam achieve sesuatu juga.

Aomori Sakura, you nak I tukar tajuk DS, how about Projek Ketiga? LOL

What do you all think of this chap? Moga terhibur!




Bab 5



Esoknya, seharian Emmalyn sibuk di pejabat bapa saudaranya, kerja hingga tak panggung kepala kata orang. Makan tengahari pun cuma makan nasi bungkus di meja sambil menyemak akaun syarikat. Syarikat kontraktor bersaiz sederhana, kerjanya memang kurang mencabar, hanya tugasan rutin yang tidak mencabar minda. Tapi bagi Emmalyn, itu yang sesuai baginya sekarang. Sementara ibu bapanya masih ada, dia mahu bersama mereka sementelah dari usia 13 tahun dia pergi jauh nun ke selatan tanah air untuk belajar.

Yang seronok tentang kerjanya, tepat jam lima petang, dia sudah boleh pulang. Kerja memang tidak pernah habis tetapi dia masih mampu mengejar deadline. Ipoh pun tidak sebegitu sibuk seperti Kuala Lumpur. Dalam tempoh lime belas minit, dia sudah tiba di Senses Gym & Spa, yang sudah menjadi rumah keduanya di Ipoh. Emmalyn sukakan gym ini, terleta di kawasan yang kurang sesak, tempat perkir yang luas, kelas-kelas senaman yang pelbagai dan peralatan yang terkini. Memang selesa!

Laju Emmalyn menukar pakaian, baju kerjanya disimpan ke dalam beg yang dimasukkan ke dalam lokar berkunci. Kunci digantung di leher, di dalam baju T. Sedang elok sahaja dia masuk ke dalam bilik senaman dan muzik pun bermula. Senaman yang dipanggil zumba, memang menjadi kegemarannya. Dengan muzik, yang dipasang kuat, Emmalyn melupakan segala stres kerja dan stres keluarga yang sibuk mencarikannya jodoh. Kaki dan tangan dihayun mengikut arahan instruktor. Jika dia bergerak seperti orang sedang bersenam, memang dia cepat pancit. Tetapi jika gerakannya ditambah dengan lenggok tarian, kurang pula rasa letih. Itu yang menyebabkan zumba menjadi pilihannya.

Selepas fasa warm up, senaman zumba masuk fasa kedua, muzik yang dimainkan semakin rancak, lagu yang dimainkan adalah Hips Don’t Lie nyanyian penyanyi Amerika Latin, Shakira. Asyik melayan muzik dengan gerakan-gerakan yang meliang liuk serta goyangan pinggul, langsung Emmalyn tidak sedar sepasang mata yang tidak berkelip-kelip memandangnya dari luar tingkap cermin. Sang jejaka, tuan punya mata pula, hampir luruh dagu ke lantai melihat gerakan-gerakan seksi si gadis.

“My…. she can move….. she can definitely move…” hanya itu yang tersembul di mulut sang jejaka. Walau pun ralit menonton tarian si gadis, sempat juga terlintas di hatinya, “Kalau bini aku, mati hidup balik aku tak bagi masuk kelas senaman macam ini.”

Sejam masa berlalu terasa bagai sepuluh minit. Selepas fasa cooling down dengan pergerakan-pergerakan stretching, sesi zumba tamat. Instruktor yang cekap mantap diberikan tepukan penghargaan oleh mereka yang mengikuti senaman itu. Semasa Emmalyn meneguk air dari botol minumannya untuk menghilangkan dahaga, seorang jejaka kacak berbadan tegap menghampirinya. Bukan main mesra mereka berbual-bual. Jejaka di luar yang memandang melalui tingkap kaca tertanya-tanya siapa teman si gadis itu, berbual bagai teman rapat!

Emmalyn dan teman gymnya, Rizairil bersama-sama melangkah keluar dari bilik senaman. Terkejut besar melihat jejaka peneman naik bukit semalam, berdiri terpacak di luar. Macam pak guard!

“Eh! Awak datang hari ini? Awak tak call, saya ingat awak tak jadi datang,” terkejut betul Emmalyn, bukan dibuat-buat.

“Semalam saya ada cakap, jumpa di gym hari ini kan?” mulut menjawab, mata sempat mengerling ke arah jejaka di sebelah Emmalyn.

“Oh..ler…. minta maaf. Hmm…. Saya dah habis bersenam, awak nak saya tolong awak daftar masuk sebagai tetamu saya ke hari ini?” Sebenarnya Emmalyn sendiri tidak tahu apa yang Tareq mahukan.

“Tak apa, saya dah daftar sebagai ahli untuk tiga bulan.”

“Tiga bulan? Awak bercuti tiga bulankah?” Lamanya cuti… adakah kerja yang cuti tiga bulan, hairan juga Emmalyn.

“Saya pun tak pasti saya cuti berapa bulan.”

Kriptiknya jawapan, lantaklah dia nak cuti berapa bulan pun, apa aku gaduh? Tiba-tiba Emmalyn tersedar Rizairil masih lagi berdiri di sebelahnya. “Eh, lupa pula. Tareq, ini Rizairil. Riz, ini Tareq, sepupu saya.”

Kedua-dua jejaka berbadan tegap itu bersalaman.

“Kerja di mana?” tanya Rizairil, sekadar berbasa-basi.

“Qatar,” jawab Tareq sepatah.

“Jauhnya…. Balik bercuti?” Rizairil cuba menjadi kawan.

“Ya,” sepatah lagi, nampak benar Tareq tidak berminat untuk berkawan.

Emmalyn menarik nafas dalam, kasihan pada Rizairil, “Riz, jumpa esok ye?”

“Kick boxing class?” ajak Rizairil.

“No, thanks,” jawab Emmalyn sambil sama-sama tertawa kecil dengan Rizairil. Jejaka itu tak henti-henti mengajaknya mengikuti kelas kick boxing, walau pun sudah berkali-kali Emmalyn menolak. Dia langsung tidak berminat dengan senaman yang menggunakan gerakan-gerakan menumbuk dan menendang.

“Okeylah, zumba lagi Rabu ini?” Rizairil mengalah.

Sambil tersenyum, Emmalyn bersetuju, “Insyaallah. See you.”

Rizairil berlalu ke bilik menukar pakaian. Emmalyn dan Tareq yang masih tegak berdiri di koridor saling berpandangan. Timbul rasa janggal.

“So, awak nak pergi bersenam sekarang?” usaha untuk hilangkan rsa janggal.

“Esok sajalah. Awak dah nak balik?”

“Haah. Mandi, lepas tu baliklah.”

“Jom dinner.”

Ajak dating ke ni? Err … nak jawab apa? Dinner? Makan je pun.

“Bila?”

“Pick you up malam ni?”

“Lepas maghrib?”

“Okey.”

Balik ke rumah, bila Emmalyn memberitahu ibunya yang dia akan keluar makan malam dengan Tareq malam itu, lebar senyuman Puan Suhaila. Emmalyn pula tidak sedap hati. Tareq sekadar mengajak keluar makan, ibunya sudah menaruh harapan? Kalau tak keluar makan, nanti Uda Jah dengar, tentu kena bebel. Keluar dengan Tareq, salah. Tak keluar, salah. Semuanya serba salah.

Emmalyn menarik nafas dalam-dalam. Bayangannya di cermin direnung. Seluar jeans, baju T tangan panjang dan tudung bawal bercorak. Ringkas, itulah dirinya.
Melangkah turun ke tingkat bawah, Emmalyn mengingatkan dirinya… apa yang dia sendiri katakan kepada Tareq. Berkenalan, kalau tidak serasi, jadi kawan sahaja. Siapa suruh buat semuanya jadi complicated? Jodoh Tuhan yang tentukan, bersangka baik dengan Tuhan, akan ada jodoh yang baik untuknya.

Sesi kaunseling diri sambil turun tangga membuatkan Emmalyn tersenyum senang hati. Tiba di tingkat bawah, rupanya si Alpha Male sudah menunggu, sedang bersembang dengan bapa Emmalyn.

Tareq memanggung kepala memandang si gadis. Ringkas, ceria ….. menenangkan.
Emmalyn memandang Tareq. Kacak, hebat ….. misterius.

“Ah, Melin dah siap?” Bapanya bertanya benda yang terang.

“Dah, Papa. Kami jalan dulu ye,” tangan Papa disalam.

“Eh, tak tunggu Mama ke? Dia di atas tu.”

“Tak apalah, Papa. Cepat pergi, cepat balik,” jawab Emmalyn sambil melangkah ke pintu depan. Laju sahaja memakai sneakers merahnya.

Tiada pilihan, Tareq bersalam dengan Encik Ehsan dan meminta diri. Emmalyn sudah berdiri di tepi kereta Toyota antik datuknya. Pintu dibukakan untuk si gadis. Masuk ke dalam kereta, tanpa apa kata-kata, kereta bergerak meninggalkan rumah keluarga Emmalyn.

Ini boleh dikira datingkah? Apa takrif dating pun bukannya aku tahu. Mana aku pernah dating. Di Southampton, ke mana-mana pun, dengan kawan-kawan. Tak pernah berdua dengan lelaki begini. Hentam sajalah, Labu. Habis cuti dia balik Qatar, aku ke Beijing ke, Kyoto ke dengan BFF. Hidup tidak perlu complicated.

“Cepat pergi, cepat balik?” Dia ni keluar dengan aku sebab terpaksakah? Hmph, Tareq… dulu hotsuff, enam tahun tak pernah keluar dating, sekarang perempuan dating dengan aku kerana terpaksa? Hmm, skill sudah berkaratkah?

Kereta berhenti di hadapan deretan kedai. Keluar dari kereta, Tareq bertanya, “David’s Diner okey?”

“American? Saya ingat awak nak qadha makan masakan Melayu?”

“Teringin juga nak cuba makanan American. Di Qatar susah nak jumpa makanan American yang autentik.”

Melangkah ke David’s Diner, mereka memilih meja di luar. Makanan di pesan. Tareq memilih Mexican Burritos dan Emmalyn yang masih libang-libu walaupun sudah membuat keputusan untuk tidak membuat hidupnya complicated, memilih Grilled Salmon.

Berlalu sahaja pelayan, Tareq membuka mulut, “Kita ni sepupukah?”

“Hah?” Itu pula yang dia tanya?

“Kita ini sepupukah?”

“Ermmm, Uda Jah cakap moyang kita dulu sepupu. So datuk kita dulu, dua pupu. Bapa kita tiga pupu. Makanya, kita empat pupu,” panjang lebar Emmalyn bersogheh.

“Habis, kenapa awak cakap dekat Rizairil kita ini sepupu?” aik macam naik separuh oktaf pula suara si Alpha Male ini?

“Saya cakap kita sepupukah?” Mana aku nak ingat?

“Yes,” offensive saja bunyinya.

“Well, technically, kita empat pupu. Tapi boleh jelah kata sepupu tak?” selamba Emmalyn menjawab. Apa masalah si Alpha Male ini pun dia tak faham.

“Sepupu tu macam kita ni rapat sangat.”

Apa punya statement ni? “Okay, if you object, lain kali saya akan kenalkan awak sebagai EMPAT pupu saya.”

“Emmalyn…. Saya tak maksud macam tu…” baru nak perbetulkan salah faham si gadis, ada mamat-entah-dari-mana berdiri di tepi meja mereka.

“Melin!! Lamnya tak jumpa.”

“Eh! Abang Rudy!”
‘Abang Rudy’ memandang sekilas ke arah ke arah jejaka berbadan tegap di sebelah Emmalyn, “Dating ke? Kalau dating, Abang tak mau kacau.”

“Eh! Tak adalah, Abang. Mehlah, join kami. Ini Tareq, EMPAT pupu Melin.”

Rudy tertawa kecil, tanganya dihulurkan kepada Tareq, yang menyambut dengan tidak begitu mesra. Sambil menarik kerusi untuk duduk, terlintas di kepala Rudy …. Emmalyn ni memang tidak banyak cakap tetapi bila buka mulut, banyak yang lucu yang keluar. “EMPAT pupu?”

“Haah, Bang. Moyang kami dulu sepupu.”

“Terror family Melin, boleh trace balik sampai ke moyang-moyang.”

“Dah kalau berkumpul tu, aktiviti utama, makan dan bersogheh. Eh, kami dah order, Abang orderlah.”

Rudy memesan makanan. Makanan yang dipesan sampai. Sambil makan, Rudy yang banyak bercakap. Bercerita tentang pengembaraannya terbarunya ….. Trans-Borneo Big Bike Challenge, menaiki motorsikal besar beramai-ramai dari Kuching, Sarawak ke Kota Kinabalu, Sabah.

Emmalyn yang gila merayau, mendengar cerita Rudy dengan penuh minat. Tentu best gila kalau boleh merayau dari satu hujung Borneo ke hujung yang lain. Tapi nak menonggek atas motor besar tu, err… sorrylah!

Tareq dengar dengan hati yang mendongkol, aku ajak dia keluar, dia pergi ajak mamat-entah-datang-dari-mana duduk semeja pula! Apa katanya? Berkenalan dulu? Kalau tak serasi, jadi kawan.

“Hang on a minute…. Is this what I am doing? Berkenalan dengan dia? Hm? Betulkah? Berkenalan?” Wajah Emmalyn direnung. A simple girl. 180 darjah jika dibandingkan dengan Inessa. Stop! Kenapa perlu banding dengan Inessa? Stop it, Tareq!
Habis makanan di pinggan, Rudy mula bercerita tentang rancangannya untuk mengembara menaiki motor sikal besar di Mongolia pula.

“Mongolia, Bang? Wow!”

That’s it! “Rudy, kami minta diri dulu ye,” Tareq meinta diri

“Hah?” terkejut Emmaly

“Haah, tadi awak yang janji dengan Papa awak kan? Cepat pergi, cepat balik,” Tareq bangun, cukup-cukuplah mendengar cerita hebat si Rudy.

Emmalyn tiada pilihan, terpaksa turut bangun, “Bang, lain kali kita cerita pasal Mongolia ye, Bang.”

“Sure, sure. Melin, kalau nak ikut, ekspedisi ini ada 4 wheel drive juga.”

“4 wheel drive?” wah…teruja Emmalyn!

“Emmalyn, saya pergi bayar bil,” Tareq sudah tidak sabar, tidak sempat lagi hendak menunggu pelayan datang membawa bil.

“It’s okay, it’s okay. Dinner is on me. Bukan senang nak jumpa Melin,” celah Rudy.

Malas hendak mengadap muka Rudy lagi, Tareq membalas, “Thanks, see you.”

“Bang, terima kasih ye,” eh, mamat tu sudah sampai ke kereta? Panjangnya kaki dia! Laju-laju Emmalyn mengejar si Alpha Male.

Masuk ke dalam kereta, kereta bergerak, macam perjalanan datang tadi, diam sahaja. Emmalyn tidak kisah, kepalanya berangan-angan tentang Mongolia. Tak pernah terlintas nak ke sana. Tapi kalau dia, Pet dan Atai sewa sebiji 4 wheel drive, ikut Abang Rudy, tentu gempaq!

Tareq pula memang kisah, lalu membuka mulut, “Rudy tu siapa? Pupu-pupu awak juga ke?”

“Hah?” dari Mongoli ke pupu-pupu?

“Rudy?”

“Oh, Abang Rudy….” Ish, macam mana nak cerita?

“Macam dalam Facebook, it’s complicated ke?” Tareq menembak.

Entah kenapa Emmalyn cukup alergik dengan perkataan complicated. Falsafah hidupnya nak hidup seringkas yang mungkin.

“Rudy tu projek pertama Uda Jah.”

“Projek pertama?”

“Uda Jah nak match-make saya dengan dia dulu,” berterus-terang, tak complicatedkan?

Projek pertama? Habis aku ni projek kedua? Errr… keduakah?