Bab 16 bhg 1
“Saya pernah tidur dengan dia. Beberapa kali.”
Jantung Emmalyn bagai mahu luruh. Sesak dada, oksigen bagai tak masuk. Hah!! Tahanlah kau, Emmalyn. Tahan telinga, tahan sabar. Sudah ada perempuan datang bawa anak, mengaku anak dia, kau nak juga si Alpha Male ini.
“Saya dulu…. jahil,” jeda seketika dan nafas ditarik dalam-dalam, bukan mudah mahu membuka pekung kepada gadis yang berjaya menawan hatinya, “Allah Ta’ala bagi otak yang cerdas, saya tak bersyukur, saya take it for granted. Belajar di U.K. dulu semuanya mudah. Tak perlu nak pulun belajar macam orang lain, waktu lapang saya hanya nak seronok. Malam-malam hu-ha hu-ha di club, di bar, di pub. Hujung minggu merayau ke sana sini. Setiap ketika nak seronok saja. Muda hanya sekali, fikir saya.”
Emmalyn dikerling sesaat. She’s still here. Ingatkan lepas mukadimah tentang hidup lepas bebasnya di U.K. dulu, gadis ini akan lari, tidak tunggu lagi. Tapi, Emmalyn Mohd Ehsan masih di sini, di hadapannya. Masih mahu jadi isterinya? Hairan.
“Emmalyn, awak dan keluarga awak, orang baik-baik. Seeloknya carilah lelaki yang baik juga sebagai suami awak,” nasihat dari orang yang mengaku kejahilannya dahulu.
“Keluarga saya, keluarga awak jugakan. Kan awak EMPAT PUPU saya,” Emmalyn mengingatkan Tareq.
Tersenyum kecil mereka berdua mendengar istilah ‘EMPAT PUPU’ yang sentiasa boleh bikin telinga Tareq berbulu. Terlintas di minda Tareq, Emmalyn ini gadis istimewa, dalam keadaan begini pun masih mahu menceriakan aku. Kalaulah aku boleh memiliki gadis istimewa ini… tapi sebaiknya…biarkan dia dapat jodoh yang lebih baik.
“Keluarga kita orang baik-baik. Awak pun orang baik-baik,” puji Emmalyn. Bila dilihatnya Tareq mahu memotong cakapnya, cepat-cepat dia menyambung, “Awak orang baik, ……solat tak tinggal, sopan santun, hormat mak bapa.”
“Pasal Inessa, itukan sejarah lama. Bumi mana yang tak pernah ditimpa hujan. Manusia tentu ada pernah khilaf, yang penting awak sudah berubah,” tenang tutur Emmalyn, sambil merenung lembut jejaka yang duduk semeja dengannya.
Tareq hanya merenung cawan kopi di hadapannya yang masih tidak bersentuh. Malu hendak panggung kepala untuk menatap wajah Emmalyn. Bagaimana hendak jadi ketua keluarga jika dengan isteri sendiri pun dia terasa hina.
“Dosa saya itu… besar sangat. Lepas Inessa mengandung, mak bapa dia buat laporan kepada penaja biasiswa saya. Teruk mak bapa saya, turun naik pejabat penaja biasiswa saya, buat rayuan supaya jangan tarik biasiswa saya,” Tareq jeda seketika sambil mengacau kopinya perlahan-lahan,
“Saya anak yang teruk. Abang sulung saya, Abang Sohair jauh lebih baik dari saya. Tak belajar ke luar negara pun tapi masih membahagiakan Ummi dan Ayah. Habis belajar, pinang girl friendnya, sekarang sudah beranak. Dia anak penyejuk hati Ummi dan Ayah. Saya ni anak yang hanya menyeksa mereka. Jenuh emak bapa saya menanggung malu. Sengaja mereka minta tukar kerja ke Terengganu, nak sorokkan muka dari saudara mara dan kawan-kawan. Cerita saya buntingkan anak dara orang, menjadi topik hangat di mana-mana. Ummi dan Ayah yang mula-mulanya bangga, anak tengah mereka bijak, dapat biasiswa belajar ke luar negara. Tapi akhirnya, apa yang mereka dapat? Ya, saya tamat juga belajar tapi lumpur yang terpalit di muka mereka tu, adalah ‘hadiah’ yang mereka takkan pernah lupakan.”
Emmalyn tidak putus merenung Tareq yang masih tidak memanggung kepala. Cubaannya untuk mengutip klu tentang perasaan hati jejaka yang begitu istimewa di hatinya.
Nafas ditarik, hati sang jejaka yang lara, cuba dipujuk, “Tareq, saya tak pernah kenal emak bapa awak dulu. Yang saya kenal hanya mereka sekarang. Dan apa yang saya nampak, mereka sayang sangat dengan awak. Tak nampak pun mereka marah dengan awak, tak nampak pun mereka kecewa dengan awak.”
Sekali lagi nafas dihela, mengumpul kekuatan untuk menyatakan sesuatu yang mungkin semakin melukakan hati sang jejaka. “Sebenarnya…. Awak yang kecewa dengan diri awak……. Awak yang marah dengan diri awak….. Bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan….”
Kepala dipanggung, wajah Emmalyn ditenung dalam-dalam, “Yes, I am disappointed with myself. Yes, I am angry with myself.”
Sudah, Emmalyn!! Bukan kau nak pujuk dia, kau kutuk dia, buat dia makin negatif! Sebakul marah dihadiahkan kepada diri sendiri.
Payah! Tapikan ini lelaki yang aku mahu kongsi hidup bersama-sama, grow old together. Don’t give up, Emmalyn!
Renungan tajam Tareq dibalas dengan renungan yang lembut. “Dah enam tahun awak kecewa dan marah dengan diri sendiri. Dah tibanya masa awak cari kemaafan dalam diri awak untuk seorang lelaki istimewa bernama Tareq Abdul Aziz.”
Renungannya ditalakan ke atas, nafas ditarik kasar, matanya berkaca, “Saya tak berani, Emmalyn.”
Wallahi! Aku cintakan lelaki ini!! Jerit hati Emmalyn. Melihat kesengsaraan Tareq, dia rasa bagai mahu memeluk lelaki itu. Peluk erat, rapat-rapat dan usap belakangnya lembut-lembut. Namun batasan iman masih menjadi benteng kuat buat Emmalyn, hujung meja dipaut kuat-kuat agar tangannya tidak terbang hinggap ke tubuh Tareq.
Sekali lagi mata Tareq hinggap ke wajah Emmalyn, “Saya tak berani kerana saya takut saya akan jadi Tareq yang dulu…. Tareq yang jahil.”