Thursday, 12 January 2012

Projek memikat Suami 4

“Jadi ke Zahrain pergi makan malam dengan anak Haji Nuqman tu?” tanya Tan Sri Zainal. Air teh yang dihidangkan isterinya selepas usai makan malam, dihirup perlahan-lahan.

“Jadi, Bang. Tadi dia pergi jemput Husna lepas solat maghrib,” jawab Puan Sri Maimun.

“Sepanjang hari, masam saja muka dia di pejabat,” Tan Sri Zainal sudah mula memancing.

“Biar dia bermasam muka sehari dua ni, dari kita nak menjeruk perasaan sepanjang hayat dapat menantu tak senonoh,” jawapan isterinya. Memang tajam bunyinya tapi menghibur hati bagi Tan Sri Zainal, lucu! Habislah, Zahrain. Memang tidak ada peluang untuk melepaskan diri!

“Saya serahkah kepada awaklah Mai,” bukan Tan Sri Zainal mahu lepas tangan dalam hal ini, tetapi dia yakin isterinya pasti berjaya menundukkan Zahrain.

“Eh, mana boleh Bang. Dulu saya gagal dengan Zahra sebab awak tak mainkan perananlah.” Hai, ke situ pulak isteri aku ni, detik hati Tan Sri Zainal. Macam mana logiknya ni?

Melihat muka blur suaminya, Puan Sri Maimun menyambung,”Abang kena bagi tahu kepada dia, kalau nak berjaya dalam perniagaan mesti ada isteri yang sentiasa menyokong, isteri yang bijak membawa diri. Boleh dibawa ke tepi, ke tengah. Isteri pun penting untuk berjaya dalam perniagaan. Kalau Abang cakap begini, tentu dia akan dengar. Bukannya Abang tak tahu, anak-anak kita tu sentiasa dengar cakap awak.”

“Eh, awak kecik hati ke Mai. Bila pulak anak-anak kita tak dengar cakap awak?” Tan Sri Zainal cuba memujuk isterinya.

“Ah, tak perlulah awak pujuk. Tengok sajalah Zahra, sebab tak nak dengar cakap sayalah dia bawa diri ke Australia.”

Tan Sri Zainal tahu, kalau dah sebut pasal Zahra ke luar negara, baik jangan panjang-panjangkan cerita. Silap-silap haribulan berderai-derai air mata isterinya.

“Perlukah kita tergesa-gesa nak buat majlis tu? Biarlah budak-budak dua orang tu berkenal-kenalan dulu.”

“Saya tak sedap hati bang. Zahrain dah nak pindah ke condo  di tengah-tengah Kuala Lumpur tu. Awak pun tahu kan lokasi condo tu. Berapa minit saja dari kelab-kelab di KL tu. Nanti karang, saya pula yang tak boleh tidur malam. Kalau dia bawa perempuan balik ke condo dia, kita langsung tak tahu apa-apa.”

“Ish, awak ni, sampai ke situ pulak. Zahrain tu sedegil-degil dia, tidaklah sampai sanggup nak buat maksiat begitu.”

“Kalau Zahrain ok pun, Bang, perempuan-perempuan tu pulak memang saya tak boleh percaya. Dibuatnya mereka perangkap Zahrain di condo tu.”

“Perangkap apa pulak?” Isteri aku ni terlebih menonton filem-filem Hollywoood ke ni? Fikir Tan Sri Zainal.

“Perangkap sampai kena cekup berdua-duaan dengan Jabatan Agama ke? Perempuan sekarang mata duitan. Anak bujang awak tu bagai lubuk wang bagi mereka. Kesudahnya kita makan hati dapat menantu yang tidak senonoh” Boleh jadi betul juga cakap isteri aku ni. Minggu lepas Tan Sri Zainal terserempak dengan entah model mana sedang berjalan keluar dari pejabat Zahrain. Dipautnya lengan Zahrain bagai tidak mahu lepas lagi, dengan leher terlentok-lentok ke bahu Zahrain. Memang perempuan-perempuan zaman sekarang agresif!

Baru saja Tan Sri Zainal nak mengiyakan isterinya, kedengaran bunyi kereta masuk ke laman rumah mereka.

“Eh, itu bunyi enjin kereta Zahrain tu. Awalnya dia pulang,” kehairanan jadinya Puan Sri Maimun. Eh, baru sejam lebih dah pulang? Cepatnya makan malam Zahrain dengan Husna. Sempat berbual ke tidak tu?

Pintu hadapan rumah terbuka, Zahrain meluru masuk dan terus memanjat tangga naik ke atas.

“Zahrain, cepatnya habis dinner. Apa khabar Husna?” tanya Puan Sri Maimun. Terhenti langkah kaki Zahrain. Sepatutnya aku ke club saja selepas hantar budak itu pulang tadi, fikir dia.

“Zahrain letihlah Mama. Banyak kerja di pejabat, esok Zahrain nak ke pejabat awal.” Zahrain mencuba untuk melepaskan diri.

“Marilah sini, Zahrain. Minum teh dengan Mama dan Papa,” Tan Sri Zainal mengajak lembut. Ah, dah tak ada jalan nak lari lagi! Getus Zahrain dalam hati. Dengan langkah yang berat dia menapak ke ruang tamu rumahnya dan melabuhkan punggung di sebuah kerusi empuk.

“Apa khabar Husna?” Tan Sri Zainal menjalankan tugasnya. Kalau tidak settle hal ini, susah  hendak tidur malam ini. Tentu tidak berhenti isterinya membebel.

“Baik, Pa. Sihat saja nampak,” ringkas jawapan Zahrain. Sengaja dia hendak menunjukkan kepada Mama dan Papanya yang dia tidak berminat dengan budak hingusan itu.

“Zahrain dah berbincang dengan dia? Pasal keluarga kita nak pergi meminang dia?” suara Puan Sri Maimun kedengaran sangat lembut. Hm, an iron fist in a velvet glove, getus Zahrain dalam hati. Sedangkan Papa ahli perniagaan tersohor di Malaysia pun boleh dicontrolnya.

“Dah, Ma. Dia tak berminat.” Sakit hati Puan Sri Maimun mendengar jawapan anaknya. Acuh tak acuh saja si Zahrain ni! Sabar, Mai, sabar. Perlu ada strategi!

“Hai, Zahrain. Handsome macam kamu ni pun takkanlah tak boleh memikat Husna tu? Kalau Adira Sulaiman yang jadi kegilaan lelaki satu Malaysia ni pun boleh kamu pikat, apa tah lagi Husna?” walau lembut suara Puan Sri, ketajaman soalannya tetap jelas.

Eh, Mama tahu pasal Adira? Mama ada pasang spy ke? Cuak rasa hati Zahrain. Sejak dia mula keluar dengan beberapa orang wanita cantik, dia sangat berhati-hati agar berita ini tidak sampai ke telinga ibu bapanya.

“Adira Sulaiman? Tak adalah Mama. Dia tu kawan Najmi. Kami keluar beramai-ramai.” balas Zahrain cuba menutup rahsia.

“Kalau kawan Najmi, kenapa kamu pula yang menghantar bunga kepada si Adira tu? Bukan sekali dua pula tu?

“Rasyidah bagi tahu Mama ke?” Memanglah setiusaha aku ni tak guna betul. Dah tiba masanya untuk tukar setiausaha nampaknya.

“Selagi kamu belum berkahwin, semua perempuan yang kamu dekati, Mama pasti ambil tahu. Anak lelaki Mama seorang saja, takkan Mama nak biar berkawin dengan perempuan tak senonoh!”

Makin meninggi suara isterinya. Masak dengan perangai anak-anaknya yang tidak suka dikongkong, Tan Sri Zainal menggunakan taktik lembut.

“Papa rasa sudah tibanya Zahrain berkahwin. Zahrain keluar dengan perempuan ini, keluar dengan perempuan itu, tak elok juga. Siapa yang tidak kenal keluarga kita di K.L. ni? Tersilap langkah sedikit, tercemar nama baik keluarga kita.”

“Papa tak percayakan saya?”

“Papa percaya tetapi kahwin itukan macam bina masjid, benda yang baik, buat apa ditangguh. Umur Zahrain pun kan dah nak masuk 30 tahun?”

“Kalau nak kahwin Pa, saya nak buat pilihan sendiri.”

“Zahrain, kalau pilihan kamu tu perempuan-perempuan pakai baju tak cukup kain, baik tak usah,” celah Puan Sri Maimun.

Nampak gayanya Mama dan Papa macam dah bulat keputusan nak jodohkan aku dengan budak ingusan baru habis belajar tu. Tadi aku baru cakap sikit, dah nak menangis, budak cengeng!

“Papa, anak Haji Nuqman tu muda benar. Baru habis belajar. Kalau nak cari isteri, sebolehnya biarlah yang boleh dibawa ke tepi ke tengah, ” Zahrain mula mempertahankan pendiriannya. Teringat dia pakaian budak cengeng tu tadi, tak boleh dibawa ke majlis!

“Kalau bukan Husna, kamu ada calon lain yang lebih sesuai?” sanggah Puan Sri Maimun. “Adira Sulaiman? Dania Rahim? Tasha Harun? Amanda Mustafa?” Nama model-model yang pernah dibawanya keluar disebut satu per satu macam machine gun memuntahkan peluru. 

Terdiam Zahrain. Wah! Apa lagi modal aku ni?

“Mama, siapa yang nak kahwin ni? Saya perlu pilih wanita yang boleh buat saya bahagia.” Aku tidak boleh menyerah, ini tentang hidup aku! Protes  Zahrain dalam hati.

“Bahagia? Mama tengok pakaian mereka, Mama sakit jiwa. Itu belum lagi bercakap pasal tingkah laku mereka yang terlentok-lentok. Mana-mana pergi pun mereka ingat mereka atas pentas buat catwalk. Nanti dah dapat anak, nak bela anak macam mana? Itu pun kalau mereka mahu beranak.” Pedas sungguh! Merah cuping telinga Zahrain.

Cepat-cepat Tan Sri Zainal cuba meredakan situasi. “Betul, cakap Mama kamu tu. Kalau nak cari isteri Zahrain, carilah yang teguh pegangan agamanya. Yang tutup aurat, yang solat, jaga tata susila sebagai Muslimah.  Kita kahwin ni bukan setahun dua. Kalau boleh biarlah seumur hidup. Kalau setakat cantik tu, tidak ke mana, Zahrain.”

“Papa, isteri saya pandai-pandailah nanti saya bentuk.”

“Kamu nak bentuk di mana, Zahrain? Di kelab-kelab tu?” perli Puan Sri Maimun. Pedihnya!Zahrain mengetap bibirnya. Walau geram bagaimana pun, dia tidak biasa menaikkan suaranya dengan Mama.

Makin panjang perbualan ini, makin tegang keadaan. Tan Sri Zainal membuat keputusan untuk menggunakan kuasa vetonya.

“Zahrain, Mama dan Papa tidak pernah minta apa-apa dengan kamu. Ini saja yang kami nak minta. Kalau kamu sayang Mama dan Papa, kahwinlah dengan pilihan kami.”

Zahrain meraup muka dengan kedua belah tangannya. Exactly like what Zahra faced three years ago! Kalau aku juga buat macam Zahra, lari ke luar negara sebagai protes, apa nak jadi dengan Mama dan Papa? Masa Zahra pergi dulu pun, Mama bagai separuh gila!

Nafasnya ditarik dalam-dalam.


No comments:

Post a Comment