Thursday 5 January 2012

Projek Memikat Suami 3

Sebulan sebelumnya......

“Awak yakin ke nak juga anak Haji Nuqman tu jadi menantu kita?” soal suaminya lagi.

“Abang, pasal perniagaan, memang itu bidang Abang. Pasal jodoh anak kita biarlah Mai yang uruskan,” jawapan Puan Sri Maimun berbunyi sedikit tegas.

“Abang bukan apa, bimbang juga nanti jadi macam Zahra pula,” lembut pertuturan Tan Sri Zainal. Dia memang sedia maklum, isterinya sangat sensitif bila hal Zahra, anak sulung mereka, disebut. Puan Sri Mai pura-pura tidak mendengar nama Zahra disebut.

“Bang, saya bimbangkan Zahrain.   Kalau sebelum ni, dia hanya gila kerja. Tapi sejak hujung tahun lepas, entah apa angin, dah  mula pergi kelablah, dah mula keluar dengan perempuan-perempuan baju tak cukup kainlah.” Hmm, kan dah naik sedikit nada suara isterinya itu.

“Hm, gamaknya awak dah dengar cerita pasal Zahrain dengan model terkenal tu lah ye?” pancing Tan Sri Zainal, walau pun dia dah tahu jawapan isterinya.

“Ye Bang, spy saya di pejabat Zahrain dah cerita. Awak mahu ke dapat menantu pakai baju tak cukup kain? Nanti orang kata, bapa mertua kaya raya, menantu  nak beli kain pun tak mampu.” Handal isteri aku ni, detik hati Tan Sri Zainal sambil menahan ketawa. Siap pasang spy lagi. Hm di pejabat aku  pun tentu ada spy tu.

“Memanglah saya pun tak berkenan. Buat malu saja kalau di bawa ke majlis-majlis syarikat. Tapi Zahrain tu keras hatinya dua kali lima dengan Zahra, dibuatnya perangai degilnya tu nanti, macam mana awak?” Sebenarnya malas Tan Sri Zainal nak memikirkan benda-benda sebegini. Baik dia fikir tentang rancangan memajukan perniagaannya.

“Itulah sebabnya kita perlu bersatu hati Bang. Kita tak boleh kompromi dalam hal ini. Anak lelaki kita seorang saja. Menantu perempuan kita pun seorang saja. Awak nak ke perempuan tak senonoh jadi menantu kita? Hai, minta Allah jauhkan azab macam ni dari kita. Saya bukan nak merendah-rendahkan orang. Tapi ini baru bab baju. Bab-bab lain macam mana? Clubbing lah. Entah-entah minum. Boy friend pun entah dah berapa orang. Kan baik kalau dapat menantu macam budak Husna tu? Sejuk hati saya,” panjang lebar bebelan Puan Sri Maimun.

Nampak gayanya macam case closed-lah, fikir Tan Sri Zainal. Isterinya dah bulat tekad hendakkan juga anak Haji Nuqman jadi menantu mereka. Bagus juga. Kalau nak tunggu pilihan Zahrain, sejak hujung tahun lalu, asyik cari perempuan cantik tak cukup baju. Entah kenapalah anak bujangnya seorang ini. Tak pernah-pernah buat perangai, tiba-tiba mula dengar cerita keluar dengan model ini, keluar dengan model itu. Agaknya dah tiba musim mengawan. Nak cari bakal isteri itu, tidak apa. Tapi kenapalah citarasanya tidak selari dengan tuntutan agama?

“Hm, awak pastikah menantu kita nanti seorang saja?” selamba Tan Sri Zainal mengusik isterinya.

“Ish, Abang ni, ke situ pulak. Tak pernah dibuat tradisi keluarga kita kahwin lebih dari seorang,” masam muka Puan Sri Maimun. Jawapannya disambut dengan ketawa berdekah-dekah suaminya.

Reda ketawanya, Tan Sri Zainal bertanya,”Anak Haji Nuqman tu betulkah kosong lagi? Budak belajar luar negara, takkan tak ada pilihan hati?”

“Saya dah selidik, Bang,” jawab isterinya dengan penuh pasti. Hai, takkan di rumah Haji Nuqman pun isteri aku ni pasang spy? Cepat-cepat Tan Sri Zainal menahan ketawanya.

“Awak tengok budak tu sekali saja, saya pun hairan macam mana yang awak boleh berkenan sangat dengan dia?” Sudah lama sebenarnya soalan ini bermain di minda Tan Sri Zainal.

“Yelah saya tengok dia sekali saja Bang. Tapi semasa saya di majlis kenduri abangnya, saya tengok sendiri betapa cekapnya dia mengasuh anak-anak buahnya. Lima orang, Bang! Mana yang dikelek lagi. Mana yang nak dibuatkan susu lagi. Mana yang merengek lagi. Semuanya dia jaga seorang-seorang. Tak sekali pun dia marah budak-budak itu. Kakak-kakaknya sibuk tolong menguruskan majlis.”

“Cekap mengasuh budak pun awak berkenan?” Tan Sri Zainal bagai memprovok isterinya. Dia sengaja mahu memastikan keputusan isterinya.

“Bang, saya tengok saja Husna tu mengasuh anak-anak buahnya, saya dah boleh bayangkan. Kalaulah dia kahwin dengan Zahrain, tentu dia nak anak tiga, empat orang, macam kakak-kakaknya.  Tak mahulah saya menantu yang tak mahu anak sebab nak jaga badan.”

Betul juga cakap isteri aku. Anak kami pun hanya dua orang. Seorang dah membawa diri ke luar negara, entah bilalah akan berkahwin. Kalau Zahrain berkahwin dengan perempuan yang tidak mahu beranak, hai, sunyilah hidup aku tua-tua nanti. Harta banyak-banyak pun apa guna kalau tidak ada anak cucu untuk menghiburkan hati.

“Lagi apa lagi maklumat yang awak korek?” tanya Tan Sri Zainal sambil tersenyum simpul. Inilah masanya dia nak tahu cara penyiasatan isterinya.

“Lepas majlis kenduri tu, saya tanya Datin Naemah, isteri Datuk Zahar tu. Datin Naemah kenal benar Hajjah Rahmah. Mereka pergi kelas ugama di masjid yang sama. Datin Naemah memang puji habis anak-anak perempuan Hajjah Rahmah. Sudahlah rajin, pandai memasak pulak tu. Aurat dijaga, solat tak tinggal. Belajar pandai. Apa lagi nak, Bang? Saya pun  ajak  Datin Naemah pergi bertandang ke rumah mereka. Pura-pura menyinggah. Memang baik benar Hajjah Rahmah tu. Abang kan dah lama kenal dengan Haji Nuqman?”

“Memanglah saya kenal Haji Nuqman, tapi kenal pasal perniagaan saja. Bab berniaga ni, saya puji Haji Nuqman memang orang yang jujur. Tapi pasal anak-anaknya saya tak tahu. Hari kita pergi kenduri anak lelakinya itulah kali pertama saya ke rumahnya.”

“Bang, kita buat kenduri arwah hujung minggu ni, nak?” lembut suara memujuk isterinya.

“Kenduri arwah apa, Mai?”

“Kenduri arwah untuk cari peluang berkenalan dengan bakal besanlah.” Amboi, memang isteri aku ni strategis, bisik hati Tan Sri Zainal, sekali lagi menahan ketawa.

1 comment: