Monday, 7 July 2014

Dia Seadanya Bab 18 & 19

(Entah kenapa, skrg ni kalau tak menulis setiap malam, tak senang duduk. Wal hal keje opis bwa balik ke rmh punya la banyak. Niway, endingnya ada org kuchiwa....er.... over sangat ke part tu? Sila komen :)

Bab 18 



Malam itu juga kaum kerabat Ngah Balom bermesyuarat di rumah Encik Ehsan. Penuh halaman rumahnya dengan kereta-kereta saudara mara. Agenda pertama adalah isi perut dahulu. Sudah isi perut, nanti senang hendak berbincang. Tidaklah nanti ada perut yang berkeriut-keriut. Seawal petang sudah ada saudara mara yang datang tolong memasak juadah makan malam.

Usai makan, mesyuarat kerja kahwin bermula, pengerusinya Andak Usop. Walau pun dia bukan yang paling tua, tetapi seluruh kerabat Ngah Balom akur dia yang paling cekap mengurus. Almaklumlah, dia ahli perniagaan berjaya. Antara keputusan yang dicapai adalah:

Pertama, kenduri akan dibuat sekali harung. Sebab kalau hendak dua kali kenduri, maka dua kali penatnya. Orang tu, orang tu juga yang nak masak, siapkan hantaran, bilik pengantin, pelamin. Lagi pula kalau hendak buat rombongan pengantin lelaki dan rombongan pengantin perempuan, silap-silap orangnya samalah masuk rombongan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan dan orang yang sama masuk rombongan pengantin perempuan pergi ke majlis menyambut menantu.

            “Aku tak tahu,” kata Uda Razak, “dua-dua rombongan aku nak ikut. Kome-komelah yang tinggal tolong masak lauk kenduri.”

            Komen Uda Razak disambut dengan protes seisi kaum kerabat. Maka keputusannya satu kenduri sahaja. Tidak terlintas langsung niat hendak menggunakan khidmat syarikat catering kerana memang keluarga mereka sudah biasa masak secara gotong royong apabila mengadakan kenduri, tidak kiralah kenduri kecil atau kenduri besar.

Hajjah Asmah mengalah, biarlah kenduri di buat di rumah pengantin perempuan. Lagipun ini anak perempuan sulung si Lila dan Lila pun tak pernah menerima menantu. Dia sudah merasa berkenduri kahwin sekali, semasa Suhail kahwin dulu. Dan dia masih ada Eiyaad, adik Tareq. Nanti kenduri Eiyaad, boleh dia merasa buat kenduri kahwin sekali lagi di rumahnya.

            Puan Suhaila dan Encik Ehsan pula berbesar hati menyuruh Haji Abdul Aziz suami isteri menjemput seramai mana tetamu yang mereka mahu.

            Kedua, belanja kenduri kendara akan ditanggung oleh pengantin lelaki. Encik Ehsan cuba membantah, segan juga kenduri di rumahnya tetapi pengantin lelaki pula yang tanggung.

            “Tak apa, Ehsan. Tareq ni bertahun-tahun pergi jauh, mana dia pernah kongsi rezeki dia dengan saudara-mara. Inilah peluangnya,” rasional Haji Abdul Aziz. Idea kahwin cepat kan dari sebelah keluarganya, maka adillah Tareq yang menanggung segala belanja. Nanti kalau tidak cukup, dia boleh tambah. Tetapi dia yakin dengan gaji berlipat-lipat Tareq di Qatar, tentu Tareq mampu.

            Hal yang ketiga, mereka membahagi-bahagikan tugas. Dari mencetak kad kahwin, kerja menjemput sehinggalah memasak dan menggubah hantaran. Telangkai berjaya, Uda Jah, ditugaskan untuk mempersiapkan hantaran. Oh, ini memang tugas yang paling Uda Jah gemar. Nak harapkan meriah kenduri anak sendiri, dia tiada zuriat. Maka menumpang meriah kenduri anak-anak buahlah, jawapnya.

            Pada hari Selasa dan hari Rabu, Emmalyn tetap pergi kerja. Pada petang Rabu, sebelum dia balik, Andak Usop, bapa saudara merangkap bosnya, menegah Emmalyn dari datang bekerja esok sehinggalah majlisnya selesai.

            “Tapi, Andak, akaun tak settle lagi,” protes bakal pengantin.

            “Alah tak bangkrap company aku kalau kamu tak datang kerja, Melin,” selamba protes Emmalyn dikilas Haji Yusof. “Berlambak budak keluar universiti yang mencari kerja. Esok lusa, dapatlah aku gantinya.”

            “Andak, Melin ni kena buang kerjakah?” polos soalan Emmalyn.

            “Kamu bincang dululah dengan suami kamu tu. Dia itu nak kerja kat mana? Malaysiakah? Qatarkah? Kalau dia nak kerja di Qatar, dah tentu kamu kena berhenti kerjakan. Kalau dia nak kerja di Malaysia pula, di Ipohkah atau di KL. Di Ipoh ni mana ada kerja carigali.”

            Sempoi betul bapa saudara aku ni, fikir Emmalyn sambil terkulat-kulat memikirkan hujah-hujah Haji Yusof.

            “Kamu berdua dah berbincangkah belum?” sergah Haji Yusof.

            “Bincang apa, Andak?” soal Emmalyn, blurr habis.

            “Leeerrr, budak ini! Bincang hal kerja Tareqlah!” kan kena sergah lagi.

            “Belum.”

            “Ate… pergilah balik, sambil pergi cari hantaran, bincang-bincang. Pujuklah Tareq tu jangan balik ke sana lagi. Kesian emaknya, bertahun tunggu anaknya balik.”

            “Okey, Andak,” jawab Emmalyn, menonong keluar dari pejabat. “Melin balik dulu ye.”

            Keluar dari pejabat, Toyota tua datuk Tareq sudah sedia menunggu. Bakal tuning menjadi pemandu-tak-berbayar sekarang. Petang itu mereka perlu pergi ke butik pengantin sekali lagi. Nak cuba baju pengantin buat kali kedua.

            Dalam perjalanan ke butik pengantin, selepas satu, satu hal perkahwinan mereka dibincangkan. Nasib baiklah kedua-dua belah keluarga bersetuju untuk mengadakan majlis yang sederhana. Namun sederhana-sederhana pun, hampir 3 ribu orang juga jemputannya. Satu, kerana saudara mara yang ramai yang sememangnya wajib dijemput. Dua, kerana sahabat handai yang dijemput adalah sahabat handai dari dua keluarga.

            “Lin, esok cuti?” soal Tareq.

            “Haah.”

            “Jom gi KL.”

            “Nak buat apa?”

            “Beli hantaran.”

            “Hah? Nak beli hantaran sampai ke KL?” Dalam hati berkira-kira juga, aku ni ada duitkah nak beli barang-barang hantaran untuk dia? Tengok dari cara gaya Tareq berpakaian, boleh tahan juga…. Masuk dalam kategori penggemar barang-barang berjenama. Alamak! Mampus aku.

            “Kat sana, senang cari.”

            “Kat rumah bukan banyak kerjakah?” Cubaan lemah untuk mengelak.

            “Kita pergi pagi, balik hari.”

            “Ummi dan Mama kata apa?”

            “Green light.”

            Sudah habis alasan, dengan tiada pilihan, Emmalyn bersetuju, “Hmm hmm.”

            Jeda seketika. Toyota tua sudah menghampiri butik pengantin.

            “Lin…”

            “Hmm?”

            “Kita pergi Singapore nak?”

            “Hah?!!” Melampau si Alpha Male ni!


Bab 19 



Pagi Sabtu sebelum majlis Emmalyn, kawan-kawan baiknya naik dari Kuala Lumpur. Nawwal Husna yang beranak kecil turut datang bersama anak dan suaminya. Mereka merancang untuk menginap semalam di sebuah hotel di Ipoh.

            “Uit! Inilah yang dinamakan ‘Cinta tanpa ribut atau taufan’,” komen Pet, sambil tangannya laju berkerja mengisi cawan air mineral ke dalam goodie bags.

            “Ada-ada saja kau ni, Pet,” komen Nawwal Husna. Beg goodie yang dihulurkan oleh Pet disambut dan dimasukkan kuih baulu.

Baby Zayd, Daddynya yang dukung di luar rumah. Biarlah suaminya menjaga Zayd, fikir Nawwal Husna, sebab bukannya dia tahu pun macam mana hendak tolong kerja-kerja kahwin secara gotong royong ini. Yang dia tahu, kalau hendak berkenduri, panggil sahaja caterer, atau berkenduri di hotel sahaja.

“Yelah, Una. Ribut tidak, taufan tidak, tup-tup kahwin,” Iman Fatihah teguh dengan pendapatnya.

“Nak kahwin perlu ribut dan taufankah? Inilah yang dinamakan jodoh. Kalau dah tersurat di Luh Mahfuz tu, nikah juga,” matang komen Nawwal Husna, almaklumlah sudah jadi mak orang.

“Na… kau doakan jodoh aku dengan Atai pun tersurat di Luh Mahfuz ye,” berubah nada suara Pet.

Sudah setahun dia memujuk ibu bapanya untuk menerima Atai, respon yang diberi kurang memberangsangkan. Setiap kali nama Atai disebut, ibu dan bapanya berlagak bagai tidak dengar. Bila Atai pergi menziarahi mereka, ibu dan ayahnya ke luar kota. Aleh-aleh, boleh pula bawa dia ke rumah kenalan mereka di Kota Kinabalu, sebuah keluarga Melayu Brunei yang mempunyai anak lelaki yang sebaya dengan Pet. Barulah Pet sedar, dulu sebelum dia menyebut dua kalimah syahadah, ibu bapanya sibuk mahu match make dia dengan Alvin. Sekarang selepas dia memeluk Islam, mahu match make dia dengan Awangku Feisol pula. Terlintas juga di benaknya, ibu bapanya mahu dia berkahwin dengan lelaki dari keluarga yang kaya sahajakah? Adakah itu syarat utama bagi ibu bapanya? Sedih…. Tetapi cepat-cepat Iman Fatihah mengingatkan dirinya supaya bersangka baik, apatah lagi dengan ibu bapanya sendiri.

            “Amiiiiiiiiiiin,” panjang harkat Nawwal Husna aminkan doa Pet. “Rajin-rajin buat solat hajat, rajin-rajin berdoa. Kalau itu yang terbaik buat kau dan Atai, Pet, InsyaAllah, tentul Allah makbulkan. Kalau tidak, Dia lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui.”

            Sayu wajah Pet mendengar nasihat ‘mak orang’ di sebelahnya. Nafas ditarik dalam-dalam. Jia yu! Jia yu! Iman Fatihah. Jangan putus asa. Selagi belum berjaya, usaha bagai yang Una katakan tu.

            “Eh, korang! Dah berapa jam duduk di sini, mengisi goodie bags? Maaflah menyusahkan korang,” sempat Emmalyn menyinggah sekejap, menegur kawan-kawan baiknya.

            Walaupun kaum kerabat Ngah Balom turun padang secara ‘full force,’ namun sebagai tuan rumah tak menang tangan juga dia dibuatnya. Sekejap-sekejap ada yang minta cello-tape, sekejap-sekejap ada yang minta set pinggan mangkuk untuk makan berhidang. Ada sahaja benda yang dia perlu carikan untuk bala jentera majlis perkahwinannya.

            “Apa pulak menyusahkan?” protes Nawwal Husna. “Bukan kena angkut beras berkampit-kampit pun. Isi goodie bags saja pun.”

            “Eh! Mana Zayd?” Emmalyn baru tersedar yang anak kecil Nawwal Husna tiada dengan emaknya.

            “Daddynya jaga. Biarlah anak bapa bonding time.” Bukan sinis pun, sejujurnya. Zahrain Alimin sentiasa sibuk. Maka bila hujung minggu wajib meluangkan masa dengan anak kecilnya.

            Emmalyn bangun menjengah ke luar tingkap memerhatikan keadaan sibuk di halaman belakang rumahnya.

            “He he, Una, iyalah Abang Zack bonding dengan Zayd. Bonding dengan periuk besar adalah,” mengekek-ngekek Emmalyn ketawa, melihat anak orang kaya ternama itu didera sepupu-sepapat dan bapa-bapa saudaranya.

            “Hah?!” melompat bangun Nawwal Husna, turut menjenguk ke luar tingkap.

Betul kata Em, suaminya yang selalunya bersut bagai di pejabat mewah di KL sedang mengangkat periuk untuk diletakkan ke atas tungku. Biarlah suaminya mengangkat periuk belanga. Sekali-sekala eloklah belajar hidup cara kampung. Rasa Nawwal Husna, suaminya kelihatan lebih macho  dengan kemeja T yang basah dengan peluh, dengan tangan kelihatan kekar mengangkat periuk dari bersut, bertali leher. Sampai menelan air liur dia merenung…. Oh my!

            Asyik merenung suami, kemudian baru Nawwal Husna tersedar, “Eh, Zayd mana?” Si daddy sibuk menolong team tukang masak, anak parking di mana?

            “Tu,” Pet yang turut menjenguk ke luar tingkap menjawab, bibirnya dijuihkan ke sudut halaman belakang rumah Emmalyn. “Anak kau dah jadi bola ragbi, Una. Dah kena pass-pass.”

            Memang betul Zayd dah jadi bola ragbi. Sekejap sepupu Emmalyn yang dukung, sekejap bapa saudaranya. Semua orang geram melihat pipinya yang gembol. Nak-nak pula, bila kena gomol, bukannya dia menangis, lagi mengekek-ngekek ketawa. Suka mendapat layanan dari ramai orang.

            “Hoi!” sergah Kak Yah sepupu Emmalyn, “udah-udahlah mengintai bakal tunang awak tu, Melin. Takkan lari gunung di kejar. Malam ni dah boleh dakap-dakap.”

            Usikan Rukayyah disambut tawa terburai semua rakan taulan yang bergotong royong di ruang makan rumah Puan Suhaila.

            “Kak Yah ni,” marah Emmalyn, “orang skodeng anak Unalah.” Mukanya sudah merah bagai udang terbakar. Tak habis-habis jadi bahan minggu ini, sejak mak bapa Tareq datang merisik Isnin lalu.

            “Iyelah tu skodeng anak Una. Sebenarnya skodeng ‘Fahrin Ahmad’ dia. Malu nak ngaku le tu!”

            Hailah, Kak Yah, semakin hari ‘hailer’nya semakin kuat nak mengalahkan ‘hailer’ Uda Jah. Geram betul Emmalyn dengan sepupunya.

Tapi… memang mengancam habis Tareq yang sedang ‘beraksi’ di belakang, angau si Emmalyn, sedaya upaya cuba menyembunyikan senyumannya. Angkat periuk belanga, segala macam tapis berisi daging, ayam, sayur-mayur pun nampak… ehem… jantan. Itu baru pakai T-shirt Pagoda tu, malam ni dia pakai baju Melayu, bersampin bagai….. mahu pengsan aku!

Petang itu selepas Asar, majlis pertunangan Tareq dan Emmalyn selamat dijalankan. Walaupun majlisnya ringkas tetapi tetap meriah dengan kehadiran penuh kaum kerabat Ngah Balom. Selepas berehat sekejap dan menjamu selera dengan juadah ringkas yang disediakan, keluarga pengantin lelaki pulang untuk bersiap untuk majlis akad malam ini pula. Ahli keluarga yang lain pula meneruskan kerja masak-memasak di halaman belakang rumah. Di dalam bilik pengantin perempuan, kelam kabut sanak saudara menyempurnakan hantaran kahwin. Sudah siap sebenarnya, cuma last minute touch-ups.

Emmalyn yang turut sibuk membantu, sekejap-sekejap merenung cincin berlian mata satu yang asyik mengerdip-ngerdip nakal ke arahnya. Bagai tak percaya yang dia sudah menjadi tunangan Tareq. Memang berbaloi-baloi pandu kereta berjam-jam ke KLIA, konon-konon hendak menghantar buah hati balik ke Qatar. Tetapi sebenarnya buat drama sebabak! Nasib baik buah hati tukar fikiran tak jadi terbang ke Qatar, kalau dia terbang juga, sekarang ni tentu aku mandi tak basah, tidur tak lena.

“You couldn’t believe it, huh?” bisik Nawwal Husna, yang entah bila datang berdiri di sebelahnya. Matanya sama seperti Emmalyn, merenung cincin berlian yang berkerdip-kerdip nakal.

“It happened so fast,” balas Emmalyn, sambil tersenyum penuh bahagia ke arah kawan baiknya.

“Jodoh yang baik buat apa ditangguh,” pendek namun penuh makna komen Nawwal Husna.

“Alhamdulillah, that he is,” kebahagiaan yang melimpah ruah dizahirkan dengan titisan air mata yang menuruni pipinya.

“Ish…dah…dah, jangan nangis. Bukannya kau kena kahwin paksa macam aku pun,” gurau Nawwal Husna.

Terburai tawa dua orang kawan baik itu. Terkenang seketika jodoh Nawwal Husna yang juga datang begitu laju, jodoh melalui kedua belah keluarga.

Selepas Isya, keluarga pengantin lelaki datang lagi. Kali ini membawa lima dulang hantaran. Tok Kadhi sudah tiba dua tiga minit sebelumnya. Emmalyn diiringi sepupu sepapat perempuannya beserta Nawaal Husna dan Iman Fatihah turun ke ruang tamu untuk majlis akad nikah.

Pengantin lelaki yang sudah menetap di Tanah Arab selama lima tahun, hampir terlupa dengan adat Melayu, tidak cover langsung! Tanpa segan silu, dia merenung pengantin perempuan menuruni tangga tanpa terkebil langsung. Petang tadi semasa majlis pertunangan, dia tidak dibenarkan datang. Maka, inilah kali pertama Tareq melihat Melin dirias sebegitu rupa. Sungguh berbeza dari riasan yang Melin kenakan seharian, bedak muka tipis dan lip gloss. Tak sangka mata Emmalyn boleh kelihatan sebegitu galak sekali, bagai bintang kejora.

“Ooiii, ‘Fahrin Ahmad’ ni. Kok ye pun dah berkenan, cover-cover sikit woi! Renung macam nak telan!” Entah sepupu mana mengusik, disambut gelak besar hadirin di dalam ruang tamu.

Emmalyn yang jalan dengan mata menunduk ke lantai terasa mukanya sudah panas membahang. Perlukah dera pengantin semasa saat-saat getir hendak akad nikah ni? Sudahlah jantungnya berdegup macam jantung kuda berlari, rasa nak pitam pun ada. Ini kena usik teruk-teruk pula. Ini yang tak seronok ada keluarga besar ni, asyik jadi bahan!

Emmalyn dibawa duduk di sebuah pelamin mini di sudut ruang tamu. Khutbah nikah dibacakan. Dengan lafaz Bismillah, Tok Kadhi menghulurkan tangan kanannya lalu disambut oleh Tareq. Lafaz akad dibacakan oleh Tok Kadhi, tangan kanan Tareq digoncang, lalu Tareq melafazkan akad dengan lancar. Maka dengan suatu lafaz sahaja termeterailah ikatan sah di antara Tareq Abdul Aziz dan Emmalyn Mohd. Ehsan.

Terdengar sahutan kesyukuran di kalangan semua yang hadir. Nawwal Husna dan Iman Fatihah adalah antara yang pertama merangkul Emmalyn diiringi dengan linangan air mata kegembiraan. Tareq pula dijabat tangannya oleh ahli keluarga. Adegan peluk memeluk pengantin perempuan dihentikan apabila doa selamat dibacakan.

Selepas doa selamat diaminkan, Tareq datang menghampiri Emmalyn, lalu sebuah kotak kecil dihulurkan oleh umminya. Kotak kecil dibuka, seutas rantai diambil lalu dipakaikan ke leher Emmalyn. Loket gelung-gelung ditaburi berlian, sedang elok tergantung di dadanya. Tangan suami disalami lalu dicium, dibalas pula oleh kucupan lembut di dahi isteri. Berkelip-kelip lampu flash dari entah berapa puluh kamera dan telefon pintar.

“Phee weet!” siulan nakal dari sepupu-sepapat mereka.

“Jangan lama-lama, Tareq,” rasanya itu suara Uda Razak.

“Shabas, bette,” lerrr itu suara Elyasa’, adik Emmalyn.

Usai, upacara membatalkan air sembahyang, pasangan pengantin bersalaman dengan kedua belah ibu bapa. Basah mata Mama Emmalyn, dia menangis kerana sayu juga hatinya mengingatkan anaknya yang akan ‘pergi’ mengikut suami, walhal terasa bagai Emmalyn baru sahaja pulang dari asrama sekolah menengahnya di selatan tanah air. Ummi Tareq pula, tangisannya sudah mencapai tahap banjir kilat. Leganya hati Hajjah Asmah Tuhan sahajalah yang mengetahui. Selama ini, tidak pernah putus-putus dia mendoakan agar Tareq bertemu jodoh yang baik setelah hidupnya kacau bilau dek perbuatan Inessa. Sekarang, dia berdoa supaya Tareq akan terbuka hati untuk membina rumah tangganya di tanah air.

Tok Kadhi serta para tetamu dijemput untuk menjamu selera di khemah di luar. Tareq pula meminta diri untuk naik ke atas, mahu menunaikan solat sunat pengantin baru.

“Eeeeyy, boleh percaya ke tu? Solat sunat ke agenda lain tu, Fahrin Ahmad oi!” Tak habis-habis pengantin kena usik. Tareq yang sedang memanjat tangga naik ke tingkat atas tersenyum lebar. Emmalyn yang mengikutinya dari belakang berdoa-doa agar muncul jubbah halimunan Harry Potter, agar di adapt mengghaibkan diri.

Masuk ke dalam bilik Emmalyn yang sudah dihiasi indah, Tareq terus ke bilik air dan mengambil wudhu. Emmalyn pula mengambil sehelai sejadah, dihamparkan mengikut kiblat, kemudian dia duduk di birai katil.

Muncul Tareq dari bilik air dengan muka, ubun-ubun, tangan serta kaki yang basah dari wudhu, dia berkata kepada isterinya, “Pergilah ambil wudhu Sayang, Abang tunggu.”

Dengan muka yang merah padam, Emmalyn terpaksa menjawab, “Saya tak boleh.”

Laju terbit soalan dari mulut lelaki yang baru sangat-sangat menikah, “Kenapa pula tak boleh.”

Emmalyn terasa mahu menjuling ke langit! Apasallah lembap sangat Alpha Male malam ni?

“ABC,” jawab si isteri.

“ABC?” tanya si suami. Ini kod apa ni?

“Allah bagi cuti….” Mata tak lepas-lepas memandang lantai bilik.

“Allah bagi….oh!” Terpaku sebentar pengantin lelaki.

“Oh!” bisiknya sekali lagi, sambil bergerak ke sejadah.

“Oh,” dan sekali lagi. Ada… nada…. kecewa.

Lalu, laju-laju Tareq berastaghfar dan mengangkat takbiratul ihram.

Friday, 4 July 2014

Dia Seadanya Bab 17

(Bagi yg dah lupa citernya, sambungan dari part Melin propose kat Tareq kat KLIA. Huwaaaa azahm tahun tak baru, nak siapkan DS untuk penerbitan bulan Disember! Amvoi...konpiden nya.... Enjoyz... lepas ni ada ke lagi nak upkan DS...err...not sure)


Malam itu Hajjah Asmah mengiring ke kiri, mengiring ke kanan di atas katil. Air mata kering sudah, anak tengah sudah pergi. Sembilan tahun dia menunggu Tareq pulang, berharap sangat-sangat yang Tareq akan menetap terus di tanah air. Muncul Inessa, musnah…punah harapannya. Nafas ditarik dan dilepaskan dengan berat. Kenapalah buruk nasib anaknya yang seorang itu, bertemu dengan gadis seteruk Inessa. Dengan Emmalyn pula, sudahlah baik gadis itu, namun Tareq tolak pula…….haih! Nak fikir-fikir hingga sakit kepala pun apa gunanya. Pelipisnya dipicit-picit. Matanya dipujuk tidur.

Di tingkat bawah Haji Abdul Aziz tekun membaca Al-Quran. Sama seperti isterinya, malam ini susah untuknya tidur. Hatinya yang berselirat dengan duka mahu dilapangkankan dengan bacaan ayat-ayat suci.

Pabila jam melepasi pukul dua pagi, terdengar bunyi enjin kereta memasuki halaman rumah. Bacaan dihentikan seketika lalu Haji Abdul Aziz menjenguk ke luar jendela. Eh! Itu kereta abang Emmalyn. Bukankah Emmalyn kata mahu tidur di rumah kawannya di Kuala Lumpur selepas menghantar Tareq ke KLIA?

Pintu rumah dibuka serentak dengan pintu kereta Peugeot merah yang telah diparkir. Muncul kelibat Tareq dari perut kereta.

Belum sempat Haji Tareq berkata apa-apa, isterinya yang juga sudah tiba di pintu rumah bersuara, “Tareq!”

Si anak pula, mendengar panggilan ibunya, melebarkan senyuman dan melajukan hayunan langkah kaki. Tiba di anjung rumah, ibu yang sudah bersedia mendepangkan tangan dipeluk seerat-eratnya. Haji Abdul Aziz pula sambil memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi, memeluk isteri dan anaknya.

Selepas lerai pelukan tiga beranak, Tareq memaklumkan ibu bapanya, “Babah, esok kita hantar kereta Emil.”

Ibu yang berbahagia tiada tara membalas, “Sambil-sambil tu kita pinang adik Emil sekali.”

Si bapa tertawa, si anak tersenyum meleret.


Keesokan pagi, sewaktu Emmalyn masih di dalam bilik air, Haji Abdul Aziz tiga beranak sudah tiba ke rumahnya. Mahu menghantar kereta Emil awal-awal, bimbang jika Emil mahu menggunakannya untuk ke pejabat. Sementelah sudah ada di situ, Puan Suhaila menjemput mereka bersarapan bersama-sama. Terkocoh-kocoh Emmalyn bersiap, malu bakal mertua sudah tiba, bakal menantu belum siap pun lagi.

Cekap Puan Suhaila menyediakan mee goreng untuk keluarga dan tetamunya. Emmalyn yang tidak pandai memasak ditugaskan untuk membuat sandwic dan membancuh teh. Hajjah Asmah turut ke dapur.  Ate, sudah ada pertalian darah, memang dia tidak berasa janggal dengan ibu Emmalyn.

Siap juadah pagi terhidang, mereka menjamu selera bersama-sama. Berselera sungguh mereka makan, bahagia memikirkan keluarga mereka akan bersatu. Hanya Emmalyn sahaja yang merah berbahang-bahang muka, memikirkan topik yang akan dibuka selepas sarapan nanti.

Belum pun sempat habis bersarapan, Hajjah Asmah yang sudah tidak sabar-sabar lagi mencuit paha suaminya. Hampir terkucil ketawa Haji Abdul Aziz melihat isterinya yang kalut benar mahu memetik bunga di taman Encik Ehsan.

“Murahnya rezeki kami pagi ini,” Haji Abdul Aziz membuka bicara, “harap-harap rezeki murah kami ini akan berterusan. Manalah tahu kut-kut, menantu baru pun kami dapat pagi ni.”

Usikan Haji Abdul Aziz disambut dengan ketawa kecil di sekeliling meja. Sambil menundukkan wajah, Emmalyn bangun lalu mengutip pinggan-pinggan yang sudah kosong di atas meja.

“Mahu ke mana, Melin? Duduklah dulu. Kita bincang pasal hal Melin dengan Tareq kejap,” Hajjah Asmah menegur lembut.

Dengan wajah yang merah berbalam-balam, sempat Emmalyn mengerling ke arah Tareq. Meleret-leret senyuman si Alpha Male. Hish orang lelaki ni, mana ada reti malu, gerutu Emmalyn di dalam hati. Kemudian pandangan dilemparkan ke arah ibunya. Puan Suhaila menganggukkan kepala, tanda bersetuju suaya dia duduk. Hatinya berdebar bagai orang yang baru habis lumba lari 100 meter. Eeeeeesh, janggalnya rasa duduk mendengar orang-orang tua bercakap tentang jodohnya. Bukankah mengikut adat, yang perempuan kena masuk ke dapur? Bancuh air ke apa, kemudian bila orang-orang tua sudah habis berbincang, barulah gilirannya untuk keluar menghidang air. Ini adat apa yang keluarganya dan keluarga Tareq guna ini?

Encik Ehsan dan Puan Suhaila, sebagai ibu bapa sebelah perempuan, hanya berdiam diri menanti butir kata-kata dari sebelah lelaki. Mereka pun tiada pengalaman menerima menantu, maka mereka sendiri pun tidak begitu pasti apa yang perlu mereka katakan.

“Maaflah, Ehsan. Pagi-pagi kamu kalut nak ke pejabat, kami yang dah pencen ni pula kalut nak bermenantu,” Haji Abdul Aziz berjenaka sambil melegakan rasa janggal di sekeliling meja itu.

Terlerai lagi tawa kecil mereka. Emmalyn pula berdoa-doa agar ada lubang besar muncul di lantai supaya dia boleh masuk mengghaibkan diri. Di mata Tareq, manis sungguh Emmalyn yang tersipu-sipu, tunduk menekur merenung lantai. Agaknya apa reaksi Emmalyn kalau dia beritahu ibu bapanya dan ibu bapa Emmalyn yang sebenarnya Emmalyn yang mengajaknya kahwin semalam? Agaknya boleh pitam dara pujaan hatinya itu. Bagai mahu terburai tawanya bila terlintas idea gila ini.

“Tak apalah Abang Aji. Nak dirikan masjid ni, tentu bos saya faham kalau saya lambat ke pejabat,” balas Encik Ehsan.

“Anak yang nak bernikah, emaknya yang dah tak sabar-sabar. Selagi tak ikat hari ni, selagi tulah Kak Mah kamu tu menyebut-nyebut. Tak senang Abang dibuatnya,” isteri pula yang menjadi bahan usikan Haji Abdul Aziz.

Hajjah Asmah yang tidak kisah, menyambut usikan suaminya dengan ketawa lepas. Beg tangan dibuka, lalu sebuah kotak kecil dikeluarkan dan dihulurkan kepada suami.

Terkejut Emmalyn dibuatnya. Hah! Dah ada cincin? Siapa yang beli? Hajjah Asmah atau Tareq?

Kotak kecil dibuka, dari jauh kelihatan kilauan emas sebentuk cincin belah rotan. Terbuntang mata Emmalyn.

Kotak cincin diletakkan di atas meja, Hajjah Asmah bersuara, “Belah rotan je, Lila. Buat tanda. Nanti kalau dah jadi biarlah budak berdua ni yang pergi cari cincin tunang dan cincin kahwin. Nanti kalau kita cari, takut nanti tak kena dengan selera orang muda.”

“Eh… tak apa, Kak Mah. Kami tak kisah. Cincin, gelang tak penting. Yang penting kita nak dirikan masjid,” balas ibu Emmalyn. Anak dara sulungnya disunting orang, bahagia memenuhi segenap hati.

“Alhamdulillah, kalau kita sama-sama sudah berhajat nak bina masjid, nak dekatkan tali persaudaraan kita,” sambut bapa Tareq. “Hajat sebelah kami kalau boleh hendak dicepatkan. Yelah, perkara yang elok, buat apa nak ditangguh-tangguh. Ehsan dan Lila setujukah?”

“Betullah macam yang Abang Aji kata, perkara yang baik, jangan ditangguh,” jawab Encik Ehsan sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Syukur, syukur, Allah permudahkan hajat kita. Kalau Ehsan dan Lila tak kisah, boleh kita kira ini bagai kami datang merisik ye?” Haji Abdul Aziz meminta persetujuan ibu bapa Emmalyn sekali lagi.

Ibu bapa Emmalyn tidak henti-henti menganggukkan kepala.

Senang hati cadangannya diterima, Haji Abdul Aziz meneruskan kata-kata, “Kalau Ehsan dan Lila setuju, apa kata majlis bertunang kita adakan hari Sabtu dan akad kita buat sebelah malamnya?”

Emmalyn yang sedari tadi tunduk memandang lantai ruang makan rumah keluarganya, menimbang-nimbang dalam hati apa yang dikatakan oleh bakal bapa mertuanya, “bertunang Sabtu, bernikah sebelah malam. Hmm….. Sabtu. Sabtu? Sabtu?!! Sabtu yang mana?!”

Terpanggung kepalanya merenung Haji Abdul Aziz, keningnya berkerut. Baru sahaja hendak meluncur keluar soalan, Papanya terlebih dahulu bertanya, “Sabtu inikah, Abang Aji?”

Sabtu ini? Sabtu ini?!! Buntang besar mata Emmalyn. Dan semakin besar bila dia melihat bapa Tareq mengangguk. Sabtu ini!! Buat seketika, bagai berputar-putar ruang makan keluarganya.

Tanpa sedar dia tegak berdiri tiba-tiba, menyebabkan semua mata tertumpu kepadanya.

“Err…err….Melin nak cuci pinggan,” terbit suatu pengumuman yang kurang relevan.

Terkejut tiba-tiba Emmalyn bangun tegak berdiri, terkejut tiba-tiba dia buat pengumuman hendak cuci pinggan, maka terdiam mereka semua seketika.

“Err…err… Tareq…. Tareq…dia tolong Melin.” Astaga…. Apa yang kau merepek ini Emmalyn?

Pinggan kotor di tangan disuakan kepada Tareq. Tangan yang kosong menggagau-gagau mengutip cawan-cawan dan piring-piring di atas meja. Dan apa lagi… cabutlah! Cabut ke dapur.

Tiba di laluan tidak berpintu menghala ke dapur, Emmalyn menoleh ke belakang. Ibu bapanya dan ibu bapa Tareq masih melopong memandangnya. Tareq juga, dengan pinggan kotor yang dihulurkan Emmalyn di tangan, bontot masih melekap di kerusi.

“Abang nak tolong Melin cuci pinggankan?” Emmalyn sendiri sudah tidak pasti, soalankah atau arahan yang terbit dari mulutnya.

“Ha.. ha..,” jawab Tareq masih kehairanan.

Emmalyn menjegilkan mata, automatik terus berdiri Tareq dan mengikuti dara pujaan sambil mengisyaratkan gerakan kepala ke arah dapur kepada Umminya, bagai meminta izin.

“Pergilah, pergilah,” jawab Hajjah Asmah, “pergilah cuci pinggan mangkuk, periuk belanga Achik Lila kamu tu.”

Terburai tawa mereka berempat di meja sambil mata mereka mengiringi langkah Emmalyn dan Tareq masuk ke dalam dapur.

“Mereka tu dah berbincangkah Lila?” tanya Hajjah Asmah bila pasangan muda itu hilang dari pandangan.

“Entahlah, Kak Mah. Minggu lepas ada Melin khabar yang Tareq nak ajak mak bapa dia datang berbincang,” jawab Puan Suhaila.

“Semalam dia tak cerita apa-apa?” tanya Hajjah Asmah lagi.

“Tak ada pun, Kak. Semalam balik, dia cuma sempat bagi tahu Tareq tak jadi balik ke Qatar. Kemudian terus menonong masuk ke bilik. Mengantuk sangat rupanya,” soalan dijawab, kemudian giliran Puan Suhaila pula bertanya, “Tareq pula, ada cakap apa-apa kepada Kak Mah?”

“Tak ada, sengih sahaja dari semalam sampai ke pagi ni,” jawab Hajjah Asmah.

“Yang nak nikah Sabtu ni, bukan rancangan Tareqkah, Kak Mah?” tanya Encik Ehsan pula.

“Yang cerita nak nikah Sabtu ni, rancangan kakak kamu ni!” sampuk Haji Abdul Aziz, “tak boleh tidur dia semalam. Tak sabar-sabar nak hantar cincin risik ni. Tak mahu anak kesayangan pergi ke Tanah Arab tu lagi.”

“Oooo….,” panjang harkat ‘o’ Puan Suhaila dan Encik Ehsan.

“Dibuatnya lepas nikah, deme berdua nak balik ke Arab nun, apa kamu nak kata, Hajjah Mah?” soal Haji Abdul Aziz kepada isterinya sendiri.

“Ish, Abang ni…..,” paha suami ditampar.

“Ish, tak naklah Abang Aji. Anak perempuan kami tu pun baru je balik dari England,” Puan Suhaila menyokong bakal besannya.

“Hah, tu, amende yang deme bincang kat dalam tu?” soal Haji Abdul Aziz.

“Bincang hal nak nikahlah tu, apa lagi….,” jawab Hajjah Asmah, “biorle deme bincang kat dalam tu. Meh, kita bincang kat luar ni.”


Di dalam dapur…

Dua tiga langkah ke dalam dapur, langkah Emmalyn terhenti. Dia menoleh ke belakang lalu merenung tepat ke arah wajah Tareq, “Abang!! Sabtu? Sabtu ini?!!” cawan dan piring kotor masih di tangan.

Tareq hanya menjungkitkan bahu. Bernikah Sabtu ini bukan rancangannya tetapi tidak bermakna dia tidak suka dengan rancangan itu. The sooner, the better! Senyuman meleret-leret tidak lekang-lekang dari bibirnya.

“Abang!! Sabtu?!! Hari ini Isnin. Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu. Sabtu! Lima hari lagi, Abang!” suara Emmalyn jelas kedengaran gelabah.

“Haah, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu.” Nak jawab apa lagi, memang betul kiraan Melin.

“A…baaaaaang!!!” panjang harkatnya tetapi suara Emmalyn tidak meninggi.

Ralit Tareq merenung Emmalyn. Emmalyn tidak pernah marah, tidak pernah lose her cool. Inilah kali pertama dia melihat Emmalyn dalam keadaan begini… gubra, tidak tentu arah. Super cute! Geram, rasa macam hendak cubit-cubit pipi Emmalyn.

Melihat Tareq yang senyum bagai kerang busuk, panas pula hati Emmalyn, kali ini hamper terjerit kecil, “A…baaaaaaang!!!”

A…baaaaaaang, A…baaaaaaang. Seru banyak-banyak kali, nanti bukan malam Sabtu kita bernikah, Emmalyn, tapi malam ini!! Makin menjadi angau si Tareq.

“Laaaah. Mana Abang tahu? Semalamkan Lin yang ajak Abang kahwin?” usik Tareq, seronok melihat Emmalyn gelabah.

“Tsk! A….baaaaaang!” Nasib baik tangan penuh dengan cawan dan piring, kalau tidak, dah kena cubit si Alpha Male seorang ini. Saja nak buat orang malu. Semalam yelah kan syahdu ya amat buah hati hendak pergi jauh, kalau tak ajak kahwin, mahu menyesal seumur hidup. Ini siang terang benderang, mana ada syahdunya. Disebutnya pula hal aku ajak dia kahwin, ish!! Malu!

Mengekek Tareq mendengar panggilan Abang terlebih panjang harkat dari bibir Emmalyn.

“Abang ni!!” marah Emmalyn mendengar tawa Tareq. Kaki kanannya dihentak-hentak ke lantai.

Omigosh! Emmalyn ni bila dia tunjukkan perasaannya, super cute bordering to sexiness! Kering tekak Tareq. Yup, Saturday, it is. I won’t have it any other way. Terima kasihlah, Ummi! Terima kasih banyak-banyak!

What’s wrong with Saturday, sayang?” Pujuk Tareq, pujuk!

“Abang, lima hari saja tu! Lima hari! Sempat nak buat apa?”

“Laaa…. Simple matter,” selamba jawapan Tareq.

Simple matter? Simple matter, Abang kata?”

“Kaum kerabat Ngah Balom kan ada?” mudah solusi Tareq. Typical men!



Thursday, 3 July 2014

Puppy Love (Cerpen...no ending so far)

"Tak makan lagikah?"

Tangan yang sedang membilas pinggan terhenti. Kepala dikalih ke belakang. Dari suara dia sudah kenal siapa, tetapi dek kerana terkejut disapa oleh lelaki itu, itu yang dia kalih kepala, mahu memastikan betul itu tuan punya suara.

Wajah lelaki itu direnung sesaat cuma, kemudian mata memfokus semula kepada pinggan mangkuk di dalam sinki. "Belum."


"Lambat makan nanti perut masuk angin. You should know your self."


Jika nasihat ini diberikan empat bulan yang lalu, sebelum si penasihat menjabat tangan kadhi untuk menikah dengan doktor dari Johor itu, sudah tentu kembang mekar bunga-bunga di taman hati Ne'a. Tapi ini sudah jadi suami orang, apa kejadah nak ingatkan aku untuk makan?


"Masuk ke ceruk dapur untuk mengingatkan bekas tunang untuk makan, sangatlah inappropriate, Encik Azrul. You should know yourself."


Si bekas masih berdiri di belakang, tidak bergerak-gerak. Walau pun tidak bersuara, Ne'a tahu Azrul Fahmi masih di situ. Semakin laju tangannya bekerja. Mahu cepat selesaikan kerja, mahu cabut dari ceruk dapur ibu. Nanti dilihat ahli keluarga lain, apa kata mereka.

Sedang elok selesai mangkuk terakhir dibilas, telefonnya yang diletakkan di sebelah sinki berbunyi. Ah.. saved by the bell. Cepat-cepat telefon dicapai, skrin dibelek, tertera nama abang sulungnya. Butang dicalit, mesej dibaca: Dik, bawa nasi tambah.

Astaga... dia makan di depan, aku di dapur yang disuruh bawa nasi tambah? Mengada-ngada betul Abang Yeh ni, dalam hati abang sulungnya Elyas menjadi orang kedua malam ini yang dikerutu.

Tanpa pamitan, Ne'a keluar dari dapur dengan tengan memegang mangkuk nasi tambah. Nak jeling ke arah Azrul Fahmi pun dia tak sudi. Aku bukannya omputih, nak 'civil-civil' bagai. Aku pompuan Melayu, sekali putus, menyampah aku nak tengok muka!

Baru sahaja hendak melangkah ke arah abangnya, Ne'a dikelui oleh kakak iparnya.

"Ne'a, tolong kejap," 


"Apahal, Kak Min?"

"Ambik Fana kejap," minta Mazmin, anak kecilnya yang berusia 8 bulan dihulurkan kepada Ne'a, "Iwan nak pergi bilik air pulak. Kak Min takut dia terkucil." Tidak menunggu balasan dari Ne'a dia sudah berdesup masuk ke dalam rumah sambil menarik tangan anaknya, Faridzuan.

Sudahnya dengan anak kecil yang bertenggek di pinggangnya, dikendong dengan tangan kanan, mangkuk nasi tambah dipegang dengan tangan kanan. Bibir bawah diketap sambil cuba mengimbangi anak kecil dan mangkuk nasi.

Pabila kakinya menghampiri meja makan abangnya di bawah khemah, mulutnya mendesah, "Bang, bang,bang,bang,bang......" Plop, mankuk nasi separa jatuh, separa diletakkan ke atas meja.

"Eh, Ne'a, apasal ni?!" terkejut Elyas yang sedang makan.

"Beratlah, dahlah nak dukung Fana ni lagi, mangkuk nasi lagi. Nasib baik tak patah tangan Ne'a," terbit suatu kenyataan hiperbola yang penuh manja. Adik bongsu dengan abang sulung, tak boleh lari dari manja.

"Propa tak habis-habis," selamba adik bongsu dikutuk.

"Hah! Yang dia tu perintah-perintah orang...ambik nasiklah...apalah..."

"Eleh suruh ambik nasi tambah pun, ungkit! Macamlah hari-hari Abang suruh ambik nasi," Elyas membebel.

"Yelah, yelah...manja, macam dia tu pulak adik bongsu," mulut melawan tapi nasi disendukkan jega masuk ke dalam pinggan abangnya. Si abang pula lebar senyumannya mendengar bebelan si bongsu. Biarlah bikin Ne'a marah-marah, bebel-bebel.... dah tak larat tengok muka stres Ne'a bila Azrul Fahmi muncul dengan ibu bapanya ke kenduri di rumah kelaurga mereka malam itu.

Farhana yang bertenggek di pinggang Ne'a pula merengek. Sudah nampak Papanya, tangan sudah didepangkan ke arah Elyas Bibir atas sudah muncung, bibir bawah sudah mula terketar-ketar.

"Ololo....," senduk nasi diletakkan semule ke dalam manguk, sambil menimang Farhana, mulut Ne'a berdodoi, " Fana, Fana, fofana, fee fye Fofaaaaana.....FANA!"

Bunga-bunga tangis Farhana masih belum reda, lalu Ne'a menimangnya sekali lagi, "Fana, Fana, fofana...fee fye fofaaaaana, FANA!"

Mengekek Farhana dibuatnya. Baby mengekek hingga nampak gigi dua batang, comel tiada bandingnya. Bibir Ne'a sendiri lebar dengan senyuman. Farhana yang comel dicium pipinya kiri dan kanan.

Leka melayan Farhana, Ne'a tidak perasan lelaki yang duduk berhadapan abangnya. Ne'a terpesona dengan keletah Farhana, lelaki itu pula terpesona dengan keletah Ne'a.

Bila Farhana kembali bertenggek dipinggangnya, barulah Ne'a tersedar ada lelaki yang tak dikenali sedang merenungnya. Termalu juga dia jadinya. Tapi apa nak buat? Buat selamba sahajalah...

Mata bertembung.

Pinggan nasi dihulur, "Abang pun nak tambah...." 

nota: sudah lama tak taip cerita, ayooo...sudah berkaratzzzz...



Thursday, 19 June 2014

Update tentang Seteguh Fayqa

Salam semua.

Saya mohn maaf kerana blog ini sudah lama bersawang. Sibuk tak cukup tanah. Sehinggakan balik rumah pengsan tak larat nak menaip apa-apa.

Ramai yang bertanyakan Seteguh Fayqa. Alhamdulillah saya sudah emelkan kepada penerbit semalam. Jika tiada aral dan jika ada rezeki akan diterbitkan pada bulan Ogos ini. Tolong doakan ye. Terus terang saya menulis bukan untuk nama tetapi untuk menambah tabungan untuk masa depan anak-anak.

Tentang Dia Seadanya pula, saya teringin sekali hendak siapkan tahun ini juga. Dan tahun ini hanya tinggal separuh, begitu cepat masa berlalu. Saya akan cuba, manalah tahu kalau ada rezeki... sebab jalan cerita semua sudah jelas di dalam minda, Alhamdulillah. Moga penyakit M tidak akan menular ke dalam diri saya.

Yah dan Azhari sudah bermain2 di minda. Begitu juga dengan Madeline Nur Zakiah, gadis penjual char kuey teow. Jual kuey teow pakai knee-length pants dan baby-T. Kemudian ada seorang andalusia, businesswoman catering. Ada lagi tak? Oh too many stories, too little time.

TQVM for all your support. Sangat saya hargai. Saya minta maaf kerana tidak dapat membalas semua komen dan emel yang dihantar. Bila balik ke rumah, anak-anak pula menuntut perhatian.

Toodle-doo!

P/s: nak kumpul balik cerita Melin dan Tareq :)

Saturday, 12 April 2014

SETEGUH FAYQA: Teaser


Dzariff yang sudah makan tengahari tadi dipujuk-pujuk untuk menemankannya makan, atas alasan segan makan berseorangan. Akhirnya Dzariff mengambil sedikit nasi mandey dan diletakkan di atas pinggannya. Sukanya Musyrifah! Selalunya makan dengan Dzariff di pejabat dan di restoran. Kali ini makan berdua di dalam rumah. Oh, beginilah indah rasanya bila berumah tangga dengan buah hati ya. Rasa bagai berada di syurga.
Sambil makan, panjang sembang Musyrifah. Sedia maklum yang Dzariff suka berbincang tentang bisnis, maka topik itulah yang dibukanya. Sambil meneman Musyrifah makan, Dzariff teringatkan isterinya di tingkat atas. Okey agaknya, sebab tadi dia kata dia mahu tidur. Takkan hendak dihalau Musyrifah balik?
Usai makan, lambat-lambat Musyrifah mengemas. Setiap butir nasi yang bertabur dikutipnya. Meja dan kaunter kabinet dilap sehingga bersih berkilat. Puas Dzariff menghalangnya, sebagai tetamu Musyrifah tidak perlu berkemas bagai. Tetapi si rakan kongsi niaga sebenarnya hendak berdua-duaan selama mungkin dengan buah hati.
Sudah habis semua pinggan, mangkuk, gelas dicuci dan dilap kering. Meja, kaunter kabinet dan sinki dilap bersih, habislah modal Muyrifah untuk tidak bertolak balik ke pejabat. Lalu dicari idea lain, “Jif, you nak minum kopi? Kalau di pejabat, you selalu minum kopi selepas makan nasi.”
“Eh, tak payahlah, Musy. Dah pukul berapa ni? You tak nak balik ke pejabatkah?” Dzariff menolak.
“Er.. tak apa. Alah, berapa minit sangat nak bancuh kopi seteko,” sebuah senyuman manis dilemparkan. Setiap saat dengan buah hatinya, dia mahu pastikan yang Dzariff hanya berasa bahagia.
Tak reti Dzariff hendak menyuruh tetamu pulang, namun teringat Fayqa di atas, “Bukan I tak nak hidangkan you kopi, Musy...”
“Tak apa, walau pun ini rumah you, biar I yang hidangkan,” potong Musyrifah.
“No, what I mean is that... I need to go and check on my wife upstairs,” Dzariff menuding ke atas menggunakan ibu jarinya.
“Eh, you go ahead and check her. Biar I buat kopi, nanti you turun minum sahaja,” seperti biasa Musyrifah tetap gigih mencari peluang.
“Tak apalah, Musy. I think I want to spend some time with her. Kut dia nak I picitkan kepala dia ke apa,” selembut-lembutnya Dzariff memberikan alasan.
“Oh..ya...haah lah...,” tak ada modal lagi untuk bertahan di rumah buah hati, “apalah I ni, asyik berbincang hal kerja, lupa yang isteri you tak sihat. So thoughtless of me.” Senyum manis menyembunyikan hiba di hati. Isteri juga yang diutamakan.
“No-lah, Musy. Bukan thoughtless, you ni cuma obsessed pasal kerja. You should take it easy, you know.”
Dalam hati Musyrifah berbisik, Jif, I'm obsessed with you, actually. Sedih sungguh, buah hati di depan mata tetapi tak dapat bersama. Ya Allah, ku mohon Kau kurniakan ku kesabaran dan kejayaan dengan kasih sayangku terhadap lelaki yang hebat dan istimewa ini.
Si rakan kongsi niaga dihantar cuma hingga ke pintu depan. Selepas berpamitan, laju langkah Dzariff ke tingkat atas. Mahu memastikan isterinya okey. Rasanya sedang lena tu.
Bila pintu bilik tidur dibuka, Fayqa tiada. Dzariff mencari isterinya di dalam bilik air, pun tiada. Hairan. Di bilik TVkah dia? Sebelum ke tingkat bawah, dia mencari Fayqa di dalam tiga lagi bilik tidur yang masih kosong di tingkat atas. Tiada. Laju kakinya melangkah ke bawah. Fayqa dicari di bilik TV, juga tiada! Jantungnya bagai terhenti beberapa saat.
Nombor telefon isteri didail. Lima, enam, tujuh kali. Tiada jawapan. Dzariff merengus. Sabar Dzariff, mungkin ini akibat trauma yang dia lalui. Sabar. Nafas ditarik dalam-dalam.
Where can she be? Jim. Of couse, Jim.
(p/s: SF tak sempat keluar semasa PBSKL ni )