Monday, 7 July 2014

Dia Seadanya Bab 18 & 19

(Entah kenapa, skrg ni kalau tak menulis setiap malam, tak senang duduk. Wal hal keje opis bwa balik ke rmh punya la banyak. Niway, endingnya ada org kuchiwa....er.... over sangat ke part tu? Sila komen :)

Bab 18 



Malam itu juga kaum kerabat Ngah Balom bermesyuarat di rumah Encik Ehsan. Penuh halaman rumahnya dengan kereta-kereta saudara mara. Agenda pertama adalah isi perut dahulu. Sudah isi perut, nanti senang hendak berbincang. Tidaklah nanti ada perut yang berkeriut-keriut. Seawal petang sudah ada saudara mara yang datang tolong memasak juadah makan malam.

Usai makan, mesyuarat kerja kahwin bermula, pengerusinya Andak Usop. Walau pun dia bukan yang paling tua, tetapi seluruh kerabat Ngah Balom akur dia yang paling cekap mengurus. Almaklumlah, dia ahli perniagaan berjaya. Antara keputusan yang dicapai adalah:

Pertama, kenduri akan dibuat sekali harung. Sebab kalau hendak dua kali kenduri, maka dua kali penatnya. Orang tu, orang tu juga yang nak masak, siapkan hantaran, bilik pengantin, pelamin. Lagi pula kalau hendak buat rombongan pengantin lelaki dan rombongan pengantin perempuan, silap-silap orangnya samalah masuk rombongan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan dan orang yang sama masuk rombongan pengantin perempuan pergi ke majlis menyambut menantu.

            “Aku tak tahu,” kata Uda Razak, “dua-dua rombongan aku nak ikut. Kome-komelah yang tinggal tolong masak lauk kenduri.”

            Komen Uda Razak disambut dengan protes seisi kaum kerabat. Maka keputusannya satu kenduri sahaja. Tidak terlintas langsung niat hendak menggunakan khidmat syarikat catering kerana memang keluarga mereka sudah biasa masak secara gotong royong apabila mengadakan kenduri, tidak kiralah kenduri kecil atau kenduri besar.

Hajjah Asmah mengalah, biarlah kenduri di buat di rumah pengantin perempuan. Lagipun ini anak perempuan sulung si Lila dan Lila pun tak pernah menerima menantu. Dia sudah merasa berkenduri kahwin sekali, semasa Suhail kahwin dulu. Dan dia masih ada Eiyaad, adik Tareq. Nanti kenduri Eiyaad, boleh dia merasa buat kenduri kahwin sekali lagi di rumahnya.

            Puan Suhaila dan Encik Ehsan pula berbesar hati menyuruh Haji Abdul Aziz suami isteri menjemput seramai mana tetamu yang mereka mahu.

            Kedua, belanja kenduri kendara akan ditanggung oleh pengantin lelaki. Encik Ehsan cuba membantah, segan juga kenduri di rumahnya tetapi pengantin lelaki pula yang tanggung.

            “Tak apa, Ehsan. Tareq ni bertahun-tahun pergi jauh, mana dia pernah kongsi rezeki dia dengan saudara-mara. Inilah peluangnya,” rasional Haji Abdul Aziz. Idea kahwin cepat kan dari sebelah keluarganya, maka adillah Tareq yang menanggung segala belanja. Nanti kalau tidak cukup, dia boleh tambah. Tetapi dia yakin dengan gaji berlipat-lipat Tareq di Qatar, tentu Tareq mampu.

            Hal yang ketiga, mereka membahagi-bahagikan tugas. Dari mencetak kad kahwin, kerja menjemput sehinggalah memasak dan menggubah hantaran. Telangkai berjaya, Uda Jah, ditugaskan untuk mempersiapkan hantaran. Oh, ini memang tugas yang paling Uda Jah gemar. Nak harapkan meriah kenduri anak sendiri, dia tiada zuriat. Maka menumpang meriah kenduri anak-anak buahlah, jawapnya.

            Pada hari Selasa dan hari Rabu, Emmalyn tetap pergi kerja. Pada petang Rabu, sebelum dia balik, Andak Usop, bapa saudara merangkap bosnya, menegah Emmalyn dari datang bekerja esok sehinggalah majlisnya selesai.

            “Tapi, Andak, akaun tak settle lagi,” protes bakal pengantin.

            “Alah tak bangkrap company aku kalau kamu tak datang kerja, Melin,” selamba protes Emmalyn dikilas Haji Yusof. “Berlambak budak keluar universiti yang mencari kerja. Esok lusa, dapatlah aku gantinya.”

            “Andak, Melin ni kena buang kerjakah?” polos soalan Emmalyn.

            “Kamu bincang dululah dengan suami kamu tu. Dia itu nak kerja kat mana? Malaysiakah? Qatarkah? Kalau dia nak kerja di Qatar, dah tentu kamu kena berhenti kerjakan. Kalau dia nak kerja di Malaysia pula, di Ipohkah atau di KL. Di Ipoh ni mana ada kerja carigali.”

            Sempoi betul bapa saudara aku ni, fikir Emmalyn sambil terkulat-kulat memikirkan hujah-hujah Haji Yusof.

            “Kamu berdua dah berbincangkah belum?” sergah Haji Yusof.

            “Bincang apa, Andak?” soal Emmalyn, blurr habis.

            “Leeerrr, budak ini! Bincang hal kerja Tareqlah!” kan kena sergah lagi.

            “Belum.”

            “Ate… pergilah balik, sambil pergi cari hantaran, bincang-bincang. Pujuklah Tareq tu jangan balik ke sana lagi. Kesian emaknya, bertahun tunggu anaknya balik.”

            “Okey, Andak,” jawab Emmalyn, menonong keluar dari pejabat. “Melin balik dulu ye.”

            Keluar dari pejabat, Toyota tua datuk Tareq sudah sedia menunggu. Bakal tuning menjadi pemandu-tak-berbayar sekarang. Petang itu mereka perlu pergi ke butik pengantin sekali lagi. Nak cuba baju pengantin buat kali kedua.

            Dalam perjalanan ke butik pengantin, selepas satu, satu hal perkahwinan mereka dibincangkan. Nasib baiklah kedua-dua belah keluarga bersetuju untuk mengadakan majlis yang sederhana. Namun sederhana-sederhana pun, hampir 3 ribu orang juga jemputannya. Satu, kerana saudara mara yang ramai yang sememangnya wajib dijemput. Dua, kerana sahabat handai yang dijemput adalah sahabat handai dari dua keluarga.

            “Lin, esok cuti?” soal Tareq.

            “Haah.”

            “Jom gi KL.”

            “Nak buat apa?”

            “Beli hantaran.”

            “Hah? Nak beli hantaran sampai ke KL?” Dalam hati berkira-kira juga, aku ni ada duitkah nak beli barang-barang hantaran untuk dia? Tengok dari cara gaya Tareq berpakaian, boleh tahan juga…. Masuk dalam kategori penggemar barang-barang berjenama. Alamak! Mampus aku.

            “Kat sana, senang cari.”

            “Kat rumah bukan banyak kerjakah?” Cubaan lemah untuk mengelak.

            “Kita pergi pagi, balik hari.”

            “Ummi dan Mama kata apa?”

            “Green light.”

            Sudah habis alasan, dengan tiada pilihan, Emmalyn bersetuju, “Hmm hmm.”

            Jeda seketika. Toyota tua sudah menghampiri butik pengantin.

            “Lin…”

            “Hmm?”

            “Kita pergi Singapore nak?”

            “Hah?!!” Melampau si Alpha Male ni!


Bab 19 



Pagi Sabtu sebelum majlis Emmalyn, kawan-kawan baiknya naik dari Kuala Lumpur. Nawwal Husna yang beranak kecil turut datang bersama anak dan suaminya. Mereka merancang untuk menginap semalam di sebuah hotel di Ipoh.

            “Uit! Inilah yang dinamakan ‘Cinta tanpa ribut atau taufan’,” komen Pet, sambil tangannya laju berkerja mengisi cawan air mineral ke dalam goodie bags.

            “Ada-ada saja kau ni, Pet,” komen Nawwal Husna. Beg goodie yang dihulurkan oleh Pet disambut dan dimasukkan kuih baulu.

Baby Zayd, Daddynya yang dukung di luar rumah. Biarlah suaminya menjaga Zayd, fikir Nawwal Husna, sebab bukannya dia tahu pun macam mana hendak tolong kerja-kerja kahwin secara gotong royong ini. Yang dia tahu, kalau hendak berkenduri, panggil sahaja caterer, atau berkenduri di hotel sahaja.

“Yelah, Una. Ribut tidak, taufan tidak, tup-tup kahwin,” Iman Fatihah teguh dengan pendapatnya.

“Nak kahwin perlu ribut dan taufankah? Inilah yang dinamakan jodoh. Kalau dah tersurat di Luh Mahfuz tu, nikah juga,” matang komen Nawwal Husna, almaklumlah sudah jadi mak orang.

“Na… kau doakan jodoh aku dengan Atai pun tersurat di Luh Mahfuz ye,” berubah nada suara Pet.

Sudah setahun dia memujuk ibu bapanya untuk menerima Atai, respon yang diberi kurang memberangsangkan. Setiap kali nama Atai disebut, ibu dan bapanya berlagak bagai tidak dengar. Bila Atai pergi menziarahi mereka, ibu dan ayahnya ke luar kota. Aleh-aleh, boleh pula bawa dia ke rumah kenalan mereka di Kota Kinabalu, sebuah keluarga Melayu Brunei yang mempunyai anak lelaki yang sebaya dengan Pet. Barulah Pet sedar, dulu sebelum dia menyebut dua kalimah syahadah, ibu bapanya sibuk mahu match make dia dengan Alvin. Sekarang selepas dia memeluk Islam, mahu match make dia dengan Awangku Feisol pula. Terlintas juga di benaknya, ibu bapanya mahu dia berkahwin dengan lelaki dari keluarga yang kaya sahajakah? Adakah itu syarat utama bagi ibu bapanya? Sedih…. Tetapi cepat-cepat Iman Fatihah mengingatkan dirinya supaya bersangka baik, apatah lagi dengan ibu bapanya sendiri.

            “Amiiiiiiiiiiin,” panjang harkat Nawwal Husna aminkan doa Pet. “Rajin-rajin buat solat hajat, rajin-rajin berdoa. Kalau itu yang terbaik buat kau dan Atai, Pet, InsyaAllah, tentul Allah makbulkan. Kalau tidak, Dia lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui.”

            Sayu wajah Pet mendengar nasihat ‘mak orang’ di sebelahnya. Nafas ditarik dalam-dalam. Jia yu! Jia yu! Iman Fatihah. Jangan putus asa. Selagi belum berjaya, usaha bagai yang Una katakan tu.

            “Eh, korang! Dah berapa jam duduk di sini, mengisi goodie bags? Maaflah menyusahkan korang,” sempat Emmalyn menyinggah sekejap, menegur kawan-kawan baiknya.

            Walaupun kaum kerabat Ngah Balom turun padang secara ‘full force,’ namun sebagai tuan rumah tak menang tangan juga dia dibuatnya. Sekejap-sekejap ada yang minta cello-tape, sekejap-sekejap ada yang minta set pinggan mangkuk untuk makan berhidang. Ada sahaja benda yang dia perlu carikan untuk bala jentera majlis perkahwinannya.

            “Apa pulak menyusahkan?” protes Nawwal Husna. “Bukan kena angkut beras berkampit-kampit pun. Isi goodie bags saja pun.”

            “Eh! Mana Zayd?” Emmalyn baru tersedar yang anak kecil Nawwal Husna tiada dengan emaknya.

            “Daddynya jaga. Biarlah anak bapa bonding time.” Bukan sinis pun, sejujurnya. Zahrain Alimin sentiasa sibuk. Maka bila hujung minggu wajib meluangkan masa dengan anak kecilnya.

            Emmalyn bangun menjengah ke luar tingkap memerhatikan keadaan sibuk di halaman belakang rumahnya.

            “He he, Una, iyalah Abang Zack bonding dengan Zayd. Bonding dengan periuk besar adalah,” mengekek-ngekek Emmalyn ketawa, melihat anak orang kaya ternama itu didera sepupu-sepapat dan bapa-bapa saudaranya.

            “Hah?!” melompat bangun Nawwal Husna, turut menjenguk ke luar tingkap.

Betul kata Em, suaminya yang selalunya bersut bagai di pejabat mewah di KL sedang mengangkat periuk untuk diletakkan ke atas tungku. Biarlah suaminya mengangkat periuk belanga. Sekali-sekala eloklah belajar hidup cara kampung. Rasa Nawwal Husna, suaminya kelihatan lebih macho  dengan kemeja T yang basah dengan peluh, dengan tangan kelihatan kekar mengangkat periuk dari bersut, bertali leher. Sampai menelan air liur dia merenung…. Oh my!

            Asyik merenung suami, kemudian baru Nawwal Husna tersedar, “Eh, Zayd mana?” Si daddy sibuk menolong team tukang masak, anak parking di mana?

            “Tu,” Pet yang turut menjenguk ke luar tingkap menjawab, bibirnya dijuihkan ke sudut halaman belakang rumah Emmalyn. “Anak kau dah jadi bola ragbi, Una. Dah kena pass-pass.”

            Memang betul Zayd dah jadi bola ragbi. Sekejap sepupu Emmalyn yang dukung, sekejap bapa saudaranya. Semua orang geram melihat pipinya yang gembol. Nak-nak pula, bila kena gomol, bukannya dia menangis, lagi mengekek-ngekek ketawa. Suka mendapat layanan dari ramai orang.

            “Hoi!” sergah Kak Yah sepupu Emmalyn, “udah-udahlah mengintai bakal tunang awak tu, Melin. Takkan lari gunung di kejar. Malam ni dah boleh dakap-dakap.”

            Usikan Rukayyah disambut tawa terburai semua rakan taulan yang bergotong royong di ruang makan rumah Puan Suhaila.

            “Kak Yah ni,” marah Emmalyn, “orang skodeng anak Unalah.” Mukanya sudah merah bagai udang terbakar. Tak habis-habis jadi bahan minggu ini, sejak mak bapa Tareq datang merisik Isnin lalu.

            “Iyelah tu skodeng anak Una. Sebenarnya skodeng ‘Fahrin Ahmad’ dia. Malu nak ngaku le tu!”

            Hailah, Kak Yah, semakin hari ‘hailer’nya semakin kuat nak mengalahkan ‘hailer’ Uda Jah. Geram betul Emmalyn dengan sepupunya.

Tapi… memang mengancam habis Tareq yang sedang ‘beraksi’ di belakang, angau si Emmalyn, sedaya upaya cuba menyembunyikan senyumannya. Angkat periuk belanga, segala macam tapis berisi daging, ayam, sayur-mayur pun nampak… ehem… jantan. Itu baru pakai T-shirt Pagoda tu, malam ni dia pakai baju Melayu, bersampin bagai….. mahu pengsan aku!

Petang itu selepas Asar, majlis pertunangan Tareq dan Emmalyn selamat dijalankan. Walaupun majlisnya ringkas tetapi tetap meriah dengan kehadiran penuh kaum kerabat Ngah Balom. Selepas berehat sekejap dan menjamu selera dengan juadah ringkas yang disediakan, keluarga pengantin lelaki pulang untuk bersiap untuk majlis akad malam ini pula. Ahli keluarga yang lain pula meneruskan kerja masak-memasak di halaman belakang rumah. Di dalam bilik pengantin perempuan, kelam kabut sanak saudara menyempurnakan hantaran kahwin. Sudah siap sebenarnya, cuma last minute touch-ups.

Emmalyn yang turut sibuk membantu, sekejap-sekejap merenung cincin berlian mata satu yang asyik mengerdip-ngerdip nakal ke arahnya. Bagai tak percaya yang dia sudah menjadi tunangan Tareq. Memang berbaloi-baloi pandu kereta berjam-jam ke KLIA, konon-konon hendak menghantar buah hati balik ke Qatar. Tetapi sebenarnya buat drama sebabak! Nasib baik buah hati tukar fikiran tak jadi terbang ke Qatar, kalau dia terbang juga, sekarang ni tentu aku mandi tak basah, tidur tak lena.

“You couldn’t believe it, huh?” bisik Nawwal Husna, yang entah bila datang berdiri di sebelahnya. Matanya sama seperti Emmalyn, merenung cincin berlian yang berkerdip-kerdip nakal.

“It happened so fast,” balas Emmalyn, sambil tersenyum penuh bahagia ke arah kawan baiknya.

“Jodoh yang baik buat apa ditangguh,” pendek namun penuh makna komen Nawwal Husna.

“Alhamdulillah, that he is,” kebahagiaan yang melimpah ruah dizahirkan dengan titisan air mata yang menuruni pipinya.

“Ish…dah…dah, jangan nangis. Bukannya kau kena kahwin paksa macam aku pun,” gurau Nawwal Husna.

Terburai tawa dua orang kawan baik itu. Terkenang seketika jodoh Nawwal Husna yang juga datang begitu laju, jodoh melalui kedua belah keluarga.

Selepas Isya, keluarga pengantin lelaki datang lagi. Kali ini membawa lima dulang hantaran. Tok Kadhi sudah tiba dua tiga minit sebelumnya. Emmalyn diiringi sepupu sepapat perempuannya beserta Nawaal Husna dan Iman Fatihah turun ke ruang tamu untuk majlis akad nikah.

Pengantin lelaki yang sudah menetap di Tanah Arab selama lima tahun, hampir terlupa dengan adat Melayu, tidak cover langsung! Tanpa segan silu, dia merenung pengantin perempuan menuruni tangga tanpa terkebil langsung. Petang tadi semasa majlis pertunangan, dia tidak dibenarkan datang. Maka, inilah kali pertama Tareq melihat Melin dirias sebegitu rupa. Sungguh berbeza dari riasan yang Melin kenakan seharian, bedak muka tipis dan lip gloss. Tak sangka mata Emmalyn boleh kelihatan sebegitu galak sekali, bagai bintang kejora.

“Ooiii, ‘Fahrin Ahmad’ ni. Kok ye pun dah berkenan, cover-cover sikit woi! Renung macam nak telan!” Entah sepupu mana mengusik, disambut gelak besar hadirin di dalam ruang tamu.

Emmalyn yang jalan dengan mata menunduk ke lantai terasa mukanya sudah panas membahang. Perlukah dera pengantin semasa saat-saat getir hendak akad nikah ni? Sudahlah jantungnya berdegup macam jantung kuda berlari, rasa nak pitam pun ada. Ini kena usik teruk-teruk pula. Ini yang tak seronok ada keluarga besar ni, asyik jadi bahan!

Emmalyn dibawa duduk di sebuah pelamin mini di sudut ruang tamu. Khutbah nikah dibacakan. Dengan lafaz Bismillah, Tok Kadhi menghulurkan tangan kanannya lalu disambut oleh Tareq. Lafaz akad dibacakan oleh Tok Kadhi, tangan kanan Tareq digoncang, lalu Tareq melafazkan akad dengan lancar. Maka dengan suatu lafaz sahaja termeterailah ikatan sah di antara Tareq Abdul Aziz dan Emmalyn Mohd. Ehsan.

Terdengar sahutan kesyukuran di kalangan semua yang hadir. Nawwal Husna dan Iman Fatihah adalah antara yang pertama merangkul Emmalyn diiringi dengan linangan air mata kegembiraan. Tareq pula dijabat tangannya oleh ahli keluarga. Adegan peluk memeluk pengantin perempuan dihentikan apabila doa selamat dibacakan.

Selepas doa selamat diaminkan, Tareq datang menghampiri Emmalyn, lalu sebuah kotak kecil dihulurkan oleh umminya. Kotak kecil dibuka, seutas rantai diambil lalu dipakaikan ke leher Emmalyn. Loket gelung-gelung ditaburi berlian, sedang elok tergantung di dadanya. Tangan suami disalami lalu dicium, dibalas pula oleh kucupan lembut di dahi isteri. Berkelip-kelip lampu flash dari entah berapa puluh kamera dan telefon pintar.

“Phee weet!” siulan nakal dari sepupu-sepapat mereka.

“Jangan lama-lama, Tareq,” rasanya itu suara Uda Razak.

“Shabas, bette,” lerrr itu suara Elyasa’, adik Emmalyn.

Usai, upacara membatalkan air sembahyang, pasangan pengantin bersalaman dengan kedua belah ibu bapa. Basah mata Mama Emmalyn, dia menangis kerana sayu juga hatinya mengingatkan anaknya yang akan ‘pergi’ mengikut suami, walhal terasa bagai Emmalyn baru sahaja pulang dari asrama sekolah menengahnya di selatan tanah air. Ummi Tareq pula, tangisannya sudah mencapai tahap banjir kilat. Leganya hati Hajjah Asmah Tuhan sahajalah yang mengetahui. Selama ini, tidak pernah putus-putus dia mendoakan agar Tareq bertemu jodoh yang baik setelah hidupnya kacau bilau dek perbuatan Inessa. Sekarang, dia berdoa supaya Tareq akan terbuka hati untuk membina rumah tangganya di tanah air.

Tok Kadhi serta para tetamu dijemput untuk menjamu selera di khemah di luar. Tareq pula meminta diri untuk naik ke atas, mahu menunaikan solat sunat pengantin baru.

“Eeeeyy, boleh percaya ke tu? Solat sunat ke agenda lain tu, Fahrin Ahmad oi!” Tak habis-habis pengantin kena usik. Tareq yang sedang memanjat tangga naik ke tingkat atas tersenyum lebar. Emmalyn yang mengikutinya dari belakang berdoa-doa agar muncul jubbah halimunan Harry Potter, agar di adapt mengghaibkan diri.

Masuk ke dalam bilik Emmalyn yang sudah dihiasi indah, Tareq terus ke bilik air dan mengambil wudhu. Emmalyn pula mengambil sehelai sejadah, dihamparkan mengikut kiblat, kemudian dia duduk di birai katil.

Muncul Tareq dari bilik air dengan muka, ubun-ubun, tangan serta kaki yang basah dari wudhu, dia berkata kepada isterinya, “Pergilah ambil wudhu Sayang, Abang tunggu.”

Dengan muka yang merah padam, Emmalyn terpaksa menjawab, “Saya tak boleh.”

Laju terbit soalan dari mulut lelaki yang baru sangat-sangat menikah, “Kenapa pula tak boleh.”

Emmalyn terasa mahu menjuling ke langit! Apasallah lembap sangat Alpha Male malam ni?

“ABC,” jawab si isteri.

“ABC?” tanya si suami. Ini kod apa ni?

“Allah bagi cuti….” Mata tak lepas-lepas memandang lantai bilik.

“Allah bagi….oh!” Terpaku sebentar pengantin lelaki.

“Oh!” bisiknya sekali lagi, sambil bergerak ke sejadah.

“Oh,” dan sekali lagi. Ada… nada…. kecewa.

Lalu, laju-laju Tareq berastaghfar dan mengangkat takbiratul ihram.

35 comments:

  1. Alaaa...frust sudah si alpha male...bride ABC yerr...hehehe

    ReplyDelete
  2. hahaha tabah je laa tareq...best n3...sukaaa...tahniahhh kak nina....selamat pengantin baru both of u...baby zayd...cute yerr

    ReplyDelete
  3. oh...oh...oh..OMG ! sabaq Tareq sabaq..
    **Nina, esok rasa2 x sedap duduk gak kot, kalau x up bab 20..hihi
    Best 2 bab ni..TQ

    ReplyDelete
  4. tareq .....tareqqq
    http://amirahmustapha.blogspot.com/
    do follow my blog please .. ;)

    ReplyDelete
  5. Best..best..haha sila bwa bsabar ye en tareq..

    Pn writer dh bg hint ni..kalo didramakn nvel ni, haruslah fahrin ahmad blakon as tareq..huhu

    ReplyDelete
  6. Oh wait! Eiyaad adik tareq ni yg nnt dgn heroin baru Ne'a tu ke?

    ReplyDelete
  7. Yayy... ada entry baru.

    best ... (thumbs up).

    ReplyDelete
  8. Oh... hahaha. Sian si umminya tareq. Tahap banjir kilat. 😂😂😂

    ReplyDelete
  9. hahah...frust sbb x dpt solat sm ke frust bab lain...tareeq2...

    ReplyDelete
  10. hahaha....soo sweeettttttt......rasa cam kita lak yang naik pelamin....

    ReplyDelete
  11. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  12. Best3x.....so sweet... x sabar nak tunggu nx n3.

    ReplyDelete
  13. ohhh ohh oh.....hahaha takpe, alpha male boleh tunggu. hehehe

    ReplyDelete
  14. wawawawa......kuciwa tareq yer.....apa pun....suka sgt sebab depa dua dah nikah....hehehe.......so sweet n interesting.......

    ReplyDelete
  15. Ooo
    Ooo

    Oooo
    Oooooo
    Oooooooo


    ABC ka???

    ReplyDelete
  16. 3x oh??? Mmg sesangat la kuchiwa !!!

    ReplyDelete
  17. ohhhhhhh~~alaa...hahaha.
    laju je majlis kahwinnya. teringat gotong-royong keluarga kami, serupa beginilah lah kot...nanti dah semua org2 tua meninggal dunia, anak2 muda dah kahwin semua tak pasti sama ada tradisi itu ada lagi ke tidak.

    ReplyDelete
  18. Wah best, rilek ar tariq, x ke mn pun melin tu

    ReplyDelete
  19. hihihihi...kesian pengantin lelaki hampa...takpe tak lari emalyn tu

    ReplyDelete
  20. ohhhhhhhh jugak la. hahahaha
    ala rileks r tareq. sok lusa ada lagi. neway selamat pengantin baru to both of u!

    ReplyDelete
  21. tak sabar nak pegang printed copy di tangan!!!

    ReplyDelete
  22. Terbaiklah Nina. Thank you.

    ReplyDelete
  23. best sgt..dr mula cite smpi abis senyum je..hehe..
    nk lgi..

    ReplyDelete
  24. Hahaha...sweetttttttttt sangat. Tqvm hanina

    ReplyDelete
  25. Hhmmm. ...happy tak terkata...syabas bette nina....ha.ha.ha

    ReplyDelete
  26. tareq tareq.. nampak sangat kecewanya tu..apolah..ntah kusyuk ke idak solat tu..

    ReplyDelete
  27. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  28. Kuciwa betul dia yerr... :)

    ReplyDelete